+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, November 28, 2011

Tak Tahu

Aku tahu
Malam ini kau takkan pulang
Tapi aku tidak tahu
Mengapa pintu rumah
Sering aku tatap

Aku tahu
Kau takkan panggil aku
Tapi aku tidak tahu
Mengapa telinga ini
Terngiang-ngiang suaramu

Apakah ini rindu?
Aku tidak tahu
Yang ku tahu
Aku perlu kamu.



Friday, November 25, 2011

Rindu Buat Seorang Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat Nabi junjungan, Muhammad saw...

Syukur atas segala anugerah dan nikmat yang telah Allah kurniakan. Alhamdulillah.


Sungguh, saya sayang ayah! Tiada kata-kata mahupun ungkapan yang boleh saya lafazkan atau titipkan untuk menggambarkan betapa saya benar-benar sayangkan ayah. Moga Allah masukkan kami ke syurga bersama hamba-hamba yang soleh, dan semoga, saya dapat bertemu dan bersama dengan ayah lagi.. Ayah yang saya rindui.

Tuesday, November 22, 2011

Jangan Tentang Poligami

Amni yang bongsu, paling disayangi tapi Alya yang sulung, paling lama disayangi. Tidak dilupakan Ashraf yang tengah, pandai memikat hati, berpanjangan menyebabkan sayang untuknya tidak pernah surut. Konsisten. Jadi, bila dicampur dan ditolak, didarab dan dibahagi, jumlah sayang yang mereka terima adalah setara. Sama.

Kita ada banyak anak, kita boleh menyayangi kesemua anak-anak kita dengan kadar yang sama tanpa ada yang terlebih dan terkurang. Kita ada ibu dan bapa, kita boleh menyayangi ibu dan bapa kita setara, tanpa ada yang terlebih dan terkurang. Cuma mungkin yang tak sama adalah ‘jarak’ samada kita lebih rapat dengan anak A atau B, ibu atau ayah. Tapi hakikatnya, bila salah seorang daripada mereka meninggal, apakah berbeza-beza tahap kesedihan kita?

Saya tidak dapat lupa, pendapat seorang sahabat Muslimah (A). Bila sahabat-sahabat lain bercerita tentang gambaran di syurga, ada sungai yang indah, bidadari-bidadari yang cantik melayan, sahabat saya (A) menambah, ‘saya tidak sanggup berkongsi suami saya dengan bidadari lain’. Di syurga pun tak ingin poligami, apatah lagi di dunia!



Monday, November 14, 2011

Anak Juga Ujian


Tiada siapa yang dapat melihat masa depan. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita pada esok hari. Kita hari ini mungkin ulat yang hodoh. Kita hari ini mungkin awan yang gelap. Tapi mungkin esok kita adalah rama-rama yang indah. Mungkin juga esok, mentari kembali menyinari alam.

Lain orang, lain ujiannya. Lain orang, lain pula kisah perjalanan hidupnya. Watak-watak sampingan yang berlainan, skrip kehidupan yang berbeza. Tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan, tiada pipi yang tidak pernah dibasahi dengan airmata. 

Hidup ini, hanyalah sebuah kembara, destinasinya hanya satu, samada syurga atau neraka. Tiada selain itu. Hanya syurga atau neraka.

Andai sengsara di dunia, berbahagialah kerana sengsara itu akan berakhir jua apabila nyawa meninggalkan jasad. Andai gembira di dunia, beringatlah kerana kegembiraan itu juga mungkin akan berakhir bilamana kita kembali ke alam barzakh.