Kali ini menulis dari sebuah kamar, terletak di UIA Gombak, mencuri luang masa yang ada, semoga bermanfaat, insyaAllah..
Pandang ke belakang, sempena ulang tahun kelahiran saya, yang jatuh pada tarikh 1 Julai yang lepas, saya terharu dengan kasih dan sayang yang dicurahkan oleh sahabat-sahabat dan adik-adik, pelbagai ucapan selamat dan doa, namun yang pastinya, doa yang paling popular adalah "semoga cepat2 kawen".. Ada yang sanggup berkorban masa dan tenaga, bertungkus lumus menyiapkan video 20 minit istimewa untuk diri ini, dan ada juga yang sanggup post hadiah jauh dari seberang lautan. Subhanallah. Terima kasih semuanya.
Hubung Kait.
Antara hadiah yang saya terima adalah dua buah buku, yang bertajuk "Man from mars, women from venus" yang diterjermahkan ke dalam bahasa Indonesia dan "Bilik-bilik cinta Muhammad". Gembira bukan kepalang, berbesar hati dengan kedua-dua pemberian tersebut. Sejenak terfikir, apa hubungkait antara ke dua buku itu? Apa pula kena mengena dengan ucapan dan doa sahabat-sahabat yang mahukan saya segera bernikah? Saya belum mendapat jawapan, hinggalah, saya membaca isi kandung yang tercatit dalam buku itu, lama juga saya mengambil masa, ehehe..
Saya simpulkan, daripada buku "Man from mars, women from venus," si pemberi mahukan saya agar lebih memahami diri lelaki dan wanita, yang tersurat dan yang tersirat. Persediaan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Barangkali. Kerana sepatunya, begitulah :)
Daripada buku "Bilik-bilik cinta Muhammad" pula, apa yang saya simpulkan adalah, kita sebagai manusia biasa, yang bukan maksum, pastinya ada banyak kelemahan dan kekurangan. Buku tersebut mengisahkan bagaimana kehidupan Nabi saw bersama isteri-isteri baginda. (Maaf saya tidak mahu perdebatkan isu berapa bilangan Nabi dan berapa usia Aisyah ketika bergelar isteri, saya bukan orang yang arif).
Siti Khadijah.
Tidak saya nafikan, dalam kesemua isteri Nabi, saya paling mengagumi Siti Khadijah, isteri Nabi yang pertama, yang melahirkan zuriat Nabi, yang tidak dimadukan, yang sanggup mengharungi susah dan senang bersama Nabi, berkorban demi Rasul dan agamanya, menenangkan Nabi tatkala Baginda dalam ketakutan, memujuk dan menghiburkan baginda, merawat baginda tatkala luka berdarah dizalimi kaum musyrikin. Dan banyak lagi sumbangan beliau, mewangi namanya tercatit dalam lipatan sejarah, tergolong antara insan yang berjasa ketika permulaan penyebaran agama Islam.
Saya akui, mulanya, saya sangat mengagumi Siti Khadijah dan teringin untuk mencontohi beliau. Menjadikan beliau sebagai idola saya. Wanita sempurna, isteri kesayangan Nabi. Namanya tercatit dalam lipatan sejarah, bukan sedikit baktinya. Sungguh. Saya mahu. Mengejar kesempurnaan seperti Siti Khadijah sedangkan diri sendiri, jauh dari itu, malahan mempunyai sangat banyak kelemahan.
Sudahnya, saya kecewa sendirian. Mengutuk diri, menyalahkan diri sendiri dan adakalanya saya bagaikan sukar menerima takdir yang tertulis dalam perjalanan hidup saya. Astagfirullah. Khilafnya saya.
Terima kasih Atul kerana kasik akak buku tu.. Akhirnya terbuka mata akak, untuk menjadi seorang wanita, seorang isteri, kita tidak semestinya perlu menjadi sesempurna Siti Khadijah. Dia insan terpilih, buat menemani insan unggul kekasih Allah, mana mungkin kita mampu menandinginya. Jauh sekali bagai langit dan bumi.
Buku "Bilik-bilik cinta Muhammad" turut mengisahkan, sedikit sebanyak cerita mengenai kesemua wanita yang bergelar isteri baginda, tentang Aisyah yang terkenal dengan sikap cemburunya, kadang-kadang terburu-buru dan tidak matang, tentang Nafsyah, isteri pertama yang pernah di talak oleh baginda nabi, tentang isteri lainnya yang pernah bersubahat dengan Aisyah untuk 'mengenakan' isteri nabi yang lain, dan pelbagai lagi kisah yang sesungguhnya sudah ditakdirkan oleh Allah, yang bukan untuk sia-sia. Allahu Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Namun, di sebalik kisah-kisah yang tercatit, saya mengambil kesimpulan, pengajaran dari kisah tersebut mengikut takrifan saya sendiri, yakni pertama, setiap wanita, pasti punyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Sedangkan isteri nabi juga pelbagai keletahnya, apatah lagi kita manusia akhir zaman. Cuma terserah kepada si wanita dan si lelaki yang bergelar suami, bagaimana untuk menangani kelemahan dan kelebihan itu.
Kedua, untuk menjadi seorang isteri, kita tidak semestinya perlu menjadi wanita yang sempurna dahulu. "Just be yourself". Menjadi tanggungjawab suami untuk menerima isteri seadanya, melengkapi sang isteri dan melayani isteri sebaiknya biarpun apa jua kelemahan sang isteri. Tegur dan perbaiki dengan cara yang paling berhemah.
Ketiga, jangan terlalu mencintai kesempurnaan, hingga terlupa kelebihan yang ada pada diri sendiri, hingga mengabaikan keistimewaan yang sedia ada kita miliki, hingga melenyapkan keyakinan diri sendiri. Terimalah segala kelemahan dan kekurangan dengan redha dan syukur.
Keempat, setiap perancangan dan ketentuan Allah, tiada yang untuk sia-sia. Yakin dan optimis, bersangka baik sentiasa kepada Allah.
Kelima, entri ini adalah pesanan buat diri saya sendiri, peringatan buat diri saya yang sering lalai dan 'terkeluar' dari landasan yang sepatutnya. Allahu rabbi. Pimpinlah aku.. Sungguh aku ketakutan.
Surah Al-Baqarah, ayat 286:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah."
"Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. "
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Seandainya entri kali ini bermanfaat buat kalian, ucapkan syukur kepada Allah, kerana mengizinkan segalanya. Dia Maha Berkuasa. Maafkan saya atas segala salah dan silap ya, terima kasih kerana sudi membaca, dan minta doakan saya, agar menjadi wanita yang lebih baik, biarpun tidak sesempurna Khadijah. InsyaAllah.