+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, December 30, 2009

Pencarianku Ke Mana?

Hidup ini untuk apa? Untuk apa kita hidup? Mencari jawapan bagi mereka yang sedang tercari-cari. Dan kepada mereka yang masih tidak ketemui jawapan, bersabarlah, bersyukurlah, setidak-tidaknya kamu lebih baik dari mereka yang lansung tidak tercari-cari, malahan tidak sedar bahawa diri mereka sesat. Kasihan.

Hidup ini suatu persinggahan sementara, destinasinya tidak kita ketahui di mana. Hidup ini ladang untuk kita bercucuk tanam, berbuat amal dan akhirat sana tempat kita mengutip hasil. Bagaimanakah hasil amalanku? Ya Allah, aku banyak melakukan dosa.

Sedih, takut mengenangkan nasib diri. Resah dengan percaturan hidup. Ah, siapa yang salah? Kalau bukan aku sendiri yang tidak berfikir panjang, sering melupakan Tuhan, sering alpa dan leka. Salah aku kerana pernah buta, pernah pekak, pernah mensia-siakan segala anugerah Tuhan yang tidak terhitung banyaknya. Memang aku yang salah.

Melihat dalam diri, toleh kebelakang mengimbas kenangan silam. Terbit rasa benci, rasa jijik. Ah, itukah aku? Yang hitam, yang busuk, yang hina! Aduh~ Sejarah silam kenapa kau terus mengejar aku, membayangi aku? Kenapa masih ada di situ tidak pergi tinggalkan aku? Kerana kau adalah aku dan aku adalah kau. Aku tak mungkin aku, tanpa kau.

Aku mencoret, aku mengukir, aku melukis. Di sini, lembaran ini. Dan di mana jua. Mungkin, ada masa aku dikenang, ada masa aku diingati, dan ada masanya pula, aku akan dilupai. Aku bukanlah sesiapa. Bukan primadona bukan ratu. Bukan karyawan bukan sejarahwan. Bukan hartawan bukan sesiapa. Aku cumalah aku. Hanya insan biasa. Insan yang punyai seribu satu kelemahan.

Bila-bila masa, aku akan dilupai. Tulisanku juga mungkin padam. Mungkin luput. Aku akan sirna. Hilang dibawa masa. Namun satu aku percaya, catatan Sang Rakib dan Sang Atib. Tidak mungkin terpadam. Tidak mungkin terluput. Tidak mungkin dimakan masa. Kekal, selamanya di situ. Tersimpan, terlipat kemas, hingga sampai masa itu.

Aduh~ Aku jadi gentar, siapa yang akan hulurkan dulu? Di hadapan Tuhan kelak? Tangan kiri atau kanan? Buku Rakib atau Atid yang lebih berat? Aduh~ Aku takut. Bagaimana kelak nasib aku? Terampunkah dosaku. Tersucikah segala noda dan debu? Ke mana arah yang akan aku tuju? Di manakah destinasi aku?

Masih, di sini, setia mencari sebuah destinasi.

4 comments:

Anonymous said...

salam...
setiap org ada zmn silam nyer...
kak, nak copy blh?

AsNiza said...

Salam..

Sejarah yg tersendiri..T.T
Silakan sis, no probs ^_^

aanaen said...

salam...can i copy ur post??so nice.. :)

Rosmanora said...

satu tulisan yang cukup syahdu dan amat menginsafkan diri ini...