+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, November 8, 2009

Ditegur dan Menegur

Saya bertolak dari rumah sewa kira-kira jam 9.30 pagi, setengah jam kemudian saya tiba di rumah kakak. Hari ini kakak saya bekerja, suaminya pula menghadiri kenduri kahwin di Terengganu, jadi tinggallah anak-anak mereka bersama emak saya di rumah.

Tiba di rumah, Alya tersenyum menyambut kedatangan saya. Emak juga. Ashraf di dalam bilik pura-pura tidur, saja mengada-ngada mahu bermanja, buat-buat merajuk mahu dipujuk, itulah kanak-kanak, sentiasa memerlukan perhatian.

Tak lama kemudian, Ashraf merengek minta dibancuh susu. Sudah berusia 5 tahun, masih minum susu dan tidak suka makan. Seperti biasa, emak saya yang membuatkan susu untuk dia. Setelah diberikan susu kepadanya, barangkali dia lupa, lalu saya mengingatkan, "Adik, cakap apa?" saya menegur. Ashraf sengih lalu berkata, "Terima kasih Tok Mek," seperti biasa.

Jam menunjukkan pukul 11.30, kami bersiap-siap mahu ke klinik, emak kurang sihat sejak pulang dari Kelantan. Hujung minggu sebelumnya bercuti di Jakarta dan Bandung bersama keluarga kakak, kemudian ke Kelantan menziarah kakaknya yang sulung yand sedang sakit dan di tahan di wad. Emak mungkin kepenatan kerana beberapa malam sempat berjaga di hospital. Ketahanan badan menjadi kian lemah.

Setelah lebih sejam di klinik An-Nisa', selesai urusan di kaunter pembayaran, kami singgah di kedai Speedmart 99, niat saya mahu belanja budak-budak, upah kerana sudi mengikut kami ke klinik. Beberapa ketika di dalam kedai, akhirnya Alya dan Ashraf memilih aiskrim dan cokelat. Selesai membayar, kami lansung ke kereta, hari panas terik.

Masuk ke kereta, saya terus memandu pulang, cuaca benar-benar panas, Alya dan Ashraf seronok makan aiskrim. Ashraf duduk di kerusi sebelah saya. Tiba di simpang, saya berhentikan kereta kerana lampu isyarat bertukar menjadi warna merah. Sambil-sambil menanti, saya membodek aiskrim Ashraf, laju dia hulurkan aiskrim dia kepada saya.

Sesudah merasa aiskrim Ashraf, saya terus mahu menyambung pemanduan, terlupa sesuatu.
"Mak Ngah, cakap apa?" erk, Ashraf menegur saya. Hehehe.. lalu saya menjawab, "Terima kasih adik," . Spontan.
"Sama-sama Mak Ngah," jawab Ashraf pula. Kami senyum sama-sama. ^_^


Moral of the story, manusia ini mudah lupa. Kadang-kadang kita beria mengingatkan orang, beria menasihatkan orang, tapi ada masanya kita pula melakukan kesilapan serupa. Sesuai dengan saranan Islam, "sampaikan walau sepatah kata", jadi seharusnya kita menyampaikan apa yang baik untuk dikongsi agar di kemudian hari, jika kita terlupa, ada orang yang mengingatkan kita.

Berlapang dada ketika ditegur. Walaupun yang menegur adalah jauh lebih muda dari kita, terimalah ia dengan penuh kesyukuran dan berfikiran positif. Jangan terlalu menjaga air muka, mementingkan ego sehingga kita terlepas intipati yang baik dari si penegur. Jangan pekakkan telinga atau buat tak endah apabila menerima teguran.

Buang sikap syok sendiri yakni tidak mahu menerima teguran, dan sentiasa merasakan dirinya betul walaupun terang-terangan melakukan kesilapan.

Sentiasa mengucapkan terima kasih atau alhamdulillah bila orang atay Allah berbuat baik kepada kita.

Sebelum mengajar atau menunjuk cara kepada orang lain, pastikan diri kita sendiri sudah 'pass' melakukanya. Jangan jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, sebelum membetulkan orang lain, mestilah perbetulkan diri sendiri terlebih dahulu. Terutamanya ibu bapa, sebelum anak kencing berlari, haruslah ibu bapa mulakan dahulu dengan tidak kencing berdiri.

Okey, demikian sedikit sebanyak cerita untuk dikongsi, mana yang baik elok dijadikan contoh teladan, yang buruk buanglah jauh-jauh, semoga bermanfaat, insyaAllah.

1 comment:

budak nakal said...

k'As..cumellah ashraf ni...

mak Ngah cakap ape??

heE~cute cam k'As lah..