+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, November 16, 2009

Sleeping Beauty vs Ashabul Kahfi

Sleeping beauty, mengisahkan mengenai seorang puteri yang dikenakan sumpahan oleh pari-pari yang sakit hati kerana tidak diundang ketika kelahirannya. Puteri tersebut akan tidur sehinggalah seorang lelaki yang berhati suci ikhlas menyintainya. Cinta sejati. Jika ditanya kepada kanak-kanak, kebanyakan dari mereka mengetahui kisah ini. Melalui bacaan atau kartun. Sticker atau buku mewarna dan lain-lain.

Bila bersedih dan ditimpa banyak dugaan, kadang-kadang akal senteng saya pernah juga terfikir, alangkah baiknya kalau aku jadi Sleeping Beauty. Tidur dalam keadaan yang cantik, bertahun lamanya, tidak peduli siang atau malam. Tidak terkesan oleh apa jua masalah mendatang, tidur dengan lena sehingga cinta sejati datang mengejutkan saya dari tidur. Tidur ketika semua masalah menghimpit dan terjaga setelah semuanya selesai. Alangkah indahnya hidup ini andai hidup di dunia khayalan, dunia fantasi, dunia rekaan. Eskapisme! Apakah ini akibat dipengaruhi cerita dongeng ini? Melarikan diri dari masalah. Tidur!

Semuanya hanya angan-angan. Kerana saya hidup di bumi yang nyata. Berpijak di tanah yang sama dan bernaung di bawah langit yang sama. Sama dengan kamu dan mereka. Saya tak mungkin boleh tidur sepanjang masa, kecuali jika saya mati.

Sleeping beauty cuma kisah dongeng, tapi kenapa anak-anak kita lebih mesra dengan kisah sleeping beauty berbanding dengan kisah-kisah para nabi atau pejuang muslimin? Nah! ini kisah benar, tercatit di dalam al-quran..Bukan cerita dongeng. Kisah Al-Kahfi, pemuda yang dipelihara oleh Allah, ditidurkan di dalam gua bagi melindungi mereka dari ancaman pemimpin yang zalim..

Ketika menyelamatkan diri, bersembunyi di dalam sebuah gua, mereka berdoa;

'Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi!’
‘Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya’
‘Jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.’


Akhirnya Allah telah tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu. Hari berganti hari, minggu bertukar, musim berubah…Biarpun matahari terbit dan memacar cahaya menembusi gua di sebelah kanan dan tenggelam di sebelah kiri mereka. Mereka terus lena.

Sesekali posisi badan mereka berubah, anggota mereka bergerak-gerak dan mata mereka tidak rapat tertutup lantaran cemas dan waspada. Tetapi mereka tidur bertahun-tahun dalam jagaan Allah dengan seekor anjing serigala penjaga di pintu gua yang menimbulkan rasa gerun jika ada manusia yang mampir.

Kemudian Allah bangkitkan mereka dari tidurnya, dan membuatkan mereka tertanya-tanya sesama sendiri.

‘Berapa lama kita tidur?
‘Mungkin kita tertidur seharian atau separuh hari’
‘Allah jua yang lebih mengetahui’


Tetapi hal tidur ini bukan utama bagi mereka. Biarlah waktu dan tempoh tidur itu terus menjadi rahsia di antara rahsia-rahsia Allah. Itu kesimpulan akhir mereka. Bukankah dalam kerja-kerja dakwah ini penuh dengan rahsia-rahsia dari Allah. Termasuk bilakah akan tibanya hari keimanan dan kemenangan. Andainya manusia tahu semua perkara, maka apa perlunya lagi usaha, langkah, rancangan dan waspada.

Dipendekkan cerita, Allah dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya manusia mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Mungkin bagi manusia, tidur hanya perkara yang kecil. Tetapi ia adalah suatu rahsia dari Allah yang amat besar.

Mungkin bagi Ashabul Kahfi, mengambil langkah kecil dan bertahan di gua adalah suatu mudarat kecil yang terpaksa mereka hadapi. Langkah bagi mereka untuk menyelamatkan mudarat besar yang tak terduga dan dakwah yang mereka harapkan terus berpanjangan.

Tetapi Allah jualah pemilik dan pengatur yang mutlak terhadap rahsia yang berlaku di gua yang kecil. Allah juga biarkan kita terus-menerus tertanya-tanya berapakah bilangan Ashab al-Kahfi seperti pemuda-pemuda bertanya-tanya sesama sendiri berapa lamakah mereka tertidur. Allah biarkan kita tertanya-tanya dan tidak terduga banyak perkara dan kejadian. Agar kita tidak berhenti untuk mencari-cari rahsia dan kemukjizatan-Nya. Agar jiwa kita hidup, tidak buntu dan sentiasa berfikir seperti pemuda Ashabul Kahfi.

Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran) dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Sesungguhnya kisah Ashab al-Kahfi hanyalah secebis dari rahsia keagungan Allah. Al-Kahfi: 22

Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dan sembilan lagi – Al-Kahfi 25

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNyalah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya. – Al-Kahfi:26

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? – Al-Kahfi: 9

Sumber: http://cheadek.wordpress.com

========================

Ibu dan bapa yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak. Fikir-fikirkan, bagaimana corak yang ingin diukir, adakah dengan acuan kisah dongeng atau kisah nyata, adakah buku 'fairy tales' atau Al-Quran yang ingin kita sematkan ke minda anak-anak?
Sesungguhnya Al-Quran itu benar. Berpegang teguhlah pada Al-Quran dan sunnah, semoga selamat dunia akhirat.

Wallahua'alam.

2 comments:

armouris said...

info tentang tidur siang kat sini - Faedah Tidur Siang Kepada Pekerja

ahmad alkhani said...

ana blaja kat bumi ashabulkahfi..
moga kite smua punyai iman yg teguh seperti mereka..
amiiiinn