+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, November 8, 2009

Semuanya Pinjaman

Emak saya gelisah tidak senang duduk ibarat cacing kepanasan. Jika diikutkan hatinya, hari ini juga dia mahu terbang pulang ke kampung halaman. Jasadnya di sini namun hatinya tidak. Dia benar-benar mahu pulang. Namun memikirkan hujung minggu lepas dia baru sahaja pulang dari kampung dan lagi dua minggu bakal pulang lagi, maka hasratnya terpaksa ditangguhkan. Dalam keterpaksaan.

Emak resah, serba tak kena, duduk atau baring dia tetap tidak tenang. Di hujung solat, lama dia menadahkan tangannya, barangkali terlalu banyak rayuan dan aduannya, terlalu banyak yang dia pohon, panjatkan doa kepada Ilahi, moga Allah makbulkan doamu duhai emak.

Hari ini, hari 'bersejarah' buat kakak sulung kepada emak saya. Kakinya akan dipotong kerana penyakit kencing manisnya sudah kritikal. Sebelum ini, makcik saya sudah di tahan di wad lebih dua minggu, namun tiada petanda penyakitnya akan sembuh, malahan makin teruk. Lalu jalan penyelesaian yang terakhir adalah memotong kakinya untuk mengelakkan ia makin merebak.

Saya mengerti perasaan emak. Hati adik mana yang bisa tenang mendengar perkhabaran itu? Emak saya runsing, risau memikirkan hari-hari mendatang yang bakal ditempuhi kakaknya. Tanpa kaki, bagaimana dia akan menguruskan diri. Siapa yang akan menjaga makan pakainya? Siapa yang akan menguruskan rumah tangganya? Makcik bukan orang senang. Tinggal di teratak buruk di hujung desa. Maha suci Allah, hebatnya dugaan-Mu buat makcikku Rokiah. Kakak kepada emakku.

Saya cuma mampu bersimpati, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sukar kami membayangkan kehidupan makcik tanpa kaki, sukar lagi hari-hari yang bakal ditempuhinya. Ya Allah, berikan kekuatan dan ketabahan kepada makcik dan keluarganya.

Insafi diri, muhasabah diri sendiri. Setiap apa yang kita miliki hari ini, semuanya hanyalah pinjaman sementara. Dia yang menghidupkan, Dia yang mematikan. Dia memberi dan Dia juga yang berhak mengambilnya semula. Allah Maha Besar, Maha Suci Allah segala puji hanya buat-Mu. Hanya kepada-Mu kami berserah diri. Dari-Mu kami datang, kepada-Mu kami kembali.

Innalillahiwainnailaihirajiun..



No comments: