+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, November 28, 2009

Perjalanan Belum Berakhir

Lama juga saya tidak menulis dan menconteng sesuatu di ruangan blog "Mencari Sebuah Destinasi". Hingga terbit pula rasa janggal dan kekok tatkala jari ini mula menari mencatit sesuatu di kotak kecil ini. Bukan sengaja menyepikan diri, tapi kerana kelemahan diri ini yang tidak mampu mengawal masa sebaik yang mungkin, lalu mengakibatkan ruangan masa untuk blog ini kian mengecil.

Masa terus berjalan berlalu tanpa henti, sedikit pun tidak pernah simpati kepada diri ini yang ada masanya pincang dalam mengatur langkah. Jatuh tersungkur dalam mengejar angan yang tidak pernah berkesampaian. Berdarah dan menangis merayu dan memohon. Tiada siapa yang mendengar melainkan Allah. Lalu diri ini cuma mampu tersenyum dan melambai. Mengucapkan selamat tinggal kepada masa yang berlalu pergi, melapangkan tangan meraikan ketibaan hari baru. Hari baru namun diri ini masih serupa. Kosong. Tiada warna warni.

November kian berlalu meninggalkan kita. Disember akan tiba lagi sehari dua. 2009 akan kita tinggalkan, 2010 akan kita raikan andai umur kita panjang, andai bumi ini belum kiamat. Ajaibnya masa yang hingga kini tidak mampu diri ini taksirkan, terlalu misteri untuk dimengertikan. Lalu kubiarkan segalanya, hanya kepada Allah. Kerana diri ini yakin dan percaya, Dia lebih mengetahui.

11 Zulhijjah datang lagi.. Maha Suci Allah.. Sempena sambutan aidiladha tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam aidiladha kepada semua sahabat yang membaca. Mohon maaf ya segala salah dan silap.. Saya cuma manusia biasa yang punyai banyak kelemahan diri..

Mari hayati pengorbanan Siti Hajar, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Gigihnya Siti Hajar yang berlari berulang alik dari Safa ke Marwah demi mencari setitik air untuk si anak yang menangis kelaparan. Alangkah indahnya andai kisah mulia ini dapat disematkann dijiwa ini, dijadikan panduan bagi meneruskan kehidupan.

Betapa nikmat Allah itu diberikan kepada hamba-Nya, kadang-kadang dalam keadaan yang tidak di sangka-sangka. [Ya Allah, moga aku dapat mencontohi Siti Hajar]. Biarpun berlari berulang kali, air tetap tidak diketemui namun Siti Hajar tetap tidak berputus asa. Akhirnya, betapa Allah itu Maha Besar, air ditemui mengalir dari bawah tapak kaki Ismail. Sungguh, rahmat Allah sangat luas, semoga diri ini terus percaya dan yakin, memohon agar tidak berhenti berharap, agar diri ini tidak berputus asa dengan rahmat Allah.

Wahai Pemilik jasad dan nyawa ini.. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tintaku kali ini berhenti di sini, namun hidup ini masih jua tetap diteruskan, selagi Kau izinkan.. Pimpinlah aku wahai Tuhan.. Jangan Kau biarkan aku kembali sesat.

2 comments:

AhmadNizamuddin said...

Assalamu'alaikum...

perjalanan akan berakhir hingga waktu hisab...

ahakss..

tapi kenapa 11 zulhijjah, bukan 10 ek??

hmmm....

wallahu a'lam...

AsNiza said...

Huk3.. tulis pg td dh 28hb=11zulhijjah..
kui3..

Debaran menanti, bilakah tiba saat itu?

Wallahua'alam