+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, November 30, 2009

iLuvislam.Com: Sebelum dan Selepas

Bagai semalam saya mengenali iLuvislam.com. Bagai semalam saya jatuh cinta pandang pertama padanya. Bagai semalam saya berdaftar sebagai user iLi.com. Bagai semalam saya menerima amanah sebagai moderator umum iLi.com. Juga bagai semalam saya menggalas amanah sebagai ketua moderator umum. Semuanya masih segar dalam ingatan, bagai semalam saya mendapat nafas baru, meneruskan sisa kehidupan di alam yang fana ini.

Mengimbas kembali sejarah diri. Merentasi perjalanan hidup yang berliku-liku penuh cerita suka dan duka, ada masanya tanpa perlu merancang, ALlah telah mengaturkan segalanya terbaik buat kita. Suratan takdir yang tertulis buat kita, biar pahit atau manis, itulah ketetapan Ilahi yang sepatutnya kita terima dengan hati yang redha.

Jika terjatuh, bangun. Jika tersesat, carilah jalan keluar. Jangan hanya terus menangisi nasib diri tanpa berusaha memperbaiki, Allah tidak akan membantu hamba-Nya yang malas berusaha. Jadikan pengalaman silam sebagai pendorong semangat agar kita lebih kuat, lebih kental, lebih bersemangat dan jangan sekali-kali biarkan sejarah silam merosakkan masa depan kita.

Sebelum dan Sesudah.

Sebelum saya mengenali iLuvislam.com, saya merupakan salah seorang pengguna laman web Friendster.com. 'Hebatnya' saya waktu itu hinggakan saya pernah memiliki dua akaun friendster. Jumlah 'friendlist' saya melebihi 800 orang, samada terdiri dari rakan-rakan yang pernah saya kenali sepanjang saya belajar dan ada juga rakan baru yang lansung tidak saya kenali. Kawan kepad kawan kepada kawan kepada kawan, haish~ panjang susur galurnya, namun itulah hakikatnya saya pada waktu itu.

Dengan memiliki jumlah rakan yang ramai, menuntut saya mengunjungi laman itu hampir setiap hari. Ada sahaja cerita ingin dikongsi. Update status, profile, hantar testimonial, update blog, reply mesej dan sebagainya. 'Bahagianya' saya pada waktu itu, perasaan bagai seorang bintang yang punyai ramai peminat. Aduh, astagfirullahalazim..

Internet pada saya waktu itu tak lebih dari sekadar tempat melepaskan kebosanan, mengisi kesunyian. Jujur saya pernah berkongsi gambar serupa seperti teman-teman lain. Jujur saya mempunyai lebih ramai rakan lelaki daripada rakan perempuan dalam senarai 'friendlist'. Dan jujur, ikhtilat antara kami tidak terjaga bagai tiada batasan. Astagfirullahalazim..

Saya tiada memori, detik pertama mengenali iluvislam.com. Saya lupa bagaimana saya pertama kali 'menceroboh' masuk ke iLuvislam.com, tapi saya ingat, kali pertama saya melihatnya, saya terus berdaftar untuk membolehkan saya menghantar komen di ruangan forum. Saya masih ingat, saya jatuh hati kepada iLuvislam kerana ruangan forum, jadi, hingga kini saya masih cinta dan sayangkan forum.

Namun saya masih ingat, antara faktor penyebab saya 'mencari sesuatu' di alam maya, adalah kerana seseorang yang saya kenali melalui friendster, seseorang yang membuatkan saya terfikir tentang alam selepas mati, seseorang yang membuat saya terfikir bahawa saya belum terlambat untuk mengejar syurga. Kerana dia tapi bukan untuknya, saya berusaha mencari diri, mencuba menjadi lebih baik dari sebelumnya hingga akhirnya menemukan saya dengan iLuvislam.com.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Dia Maha Mengetahui, pencarian saya tidak sia-sia dan saya bersyukur kerana dipertemukan dengan iLi.com. Merangkak perlahan-lahan, saya cuba untuk memperbaiki diri. Bukan untuk sesiapa, tapi demi kehidupan selepas mati.

Bukan sedikit iLi.com mempengaruhi hidup saya. Besar impaknya hanya Allah yang tahu. Insan yang dahagakan ilmu seperti saya bagai terisi jiwanya. Bagai ketemu jalan yang sebenar. Bagai kembali berpijak di bumi yang nyata. Sungguh besar jasa iLi.com dan hanya Allah yang mampu membalasnya.

Sebagai tanda syukur itu juga, hingga kini saya masih bertahan sebagai moderator umum, saya cuba untuk membantu selagi termampu, agar lebih ramai insan-insan yang 'terlena' seperti saya dahulu bangkit dari tidur. Kembali mengenal diri, menginsafi diri, mengejar redha Ilahi, mencari cinta yang hakiki, mengatur langkah yang jitu menuju syurga yang abadi.

InsyaAllah, sampai di sini dahulu, insyaAllah saya akan sambung menulis, berkongsi pengalaman selama memegang amanah sebagai moderator umum iLi.com.

Sampai bertemu lagi. Wassalam.








No comments: