+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, November 14, 2009

Adiwira dan Kudanya

Padang luas menghijau sayup mata memandang. Awan putih berarak menghias langit biru. Di suatu sudut penjuru, Adiwira duduk sendirian. Matanya sentiasa melilau mengawasi kesemua kambing ternakannya. Risau kalau ada kambing yang tersesat, terpisah dari kawanan. Adiwira resah kalau-kalau binatang pemangsa merebut peluang.

Kambing-kambing itu amanah yang terpikul di bahunya, dia tidak boleh leka atau alpa. Tugas yang diberikan oleh Tuan Jaguh itu digalasnya dengan penuh rasa tanggungjawab. Adiwira sudah berjanji dengan Tuan Jaguh untuk menjaga kambing-kambing itu dengan baik, dan dia berpegang teguh pada janjinya. Manusia hidup berpegang pada janji, itulah prinsipnya.

Suatu petang yang damai, Tuan Jaguh datang menemui Adiwira. Bersama Tuan Jaguh, ada seekor kuda berwarna putih. Adiwira tersenyum senang menerima kehadiran Tuan Jaguh sambil sekali-sekala menjeling ke arah kuda yang dibawa. Di dalam hati dia memuji kuda tersebut. "Alangkah indahnya kalau kuda ini menjadi milik aku.." sempat dia memasang angan.

Setelah berbasa basi beberapa ketika, Tuan Jaguh meminta diri untuk pulang. Sebelum pulang, dia menyerahkan kuda putih yang cantik bulunya itu kepada Adiwira.

Terkejut lalu Adiwira bertanya, " Kenapa Tuan berikan kuda ini kepada saya?"

Tersenyum, Tuan Jaguh menjawab, " Kerana kau berhak memilikinya. Selama ini aku lihat kamu bekerja keras. Aku mengerti kesukaran yang kamu lalui. Aku percaya, kuda ini dapat membantu kamu kelak, dengan izin Allah.."

Penuh rasa kesyukuran, Adiwira menerima pemberian itu dengan rasa gembira. Ucapan syukur dan terima kasih dilafaz berulang kali. Sebelum berlalu, Tuan Jaguh sempat berpesan.

"Jaga kuda ini baik-baik. Jika kamu silap langkah, dia akan mati. Jika kena gayanya, dia akan memudahkan kerja-kerja kamu."

Adiwira angguk berkali-kali. Mengerti. Gembira.

Tiga purnama sudah berlalu. Kuda putih yang diberi nama Juara itu makin sihat dan cantik. Bulunya berkilat kerana sering dibersihkan. Dibelai mesra. Juara juga makin gemuk berisi. Adiwira semakin senang melihat kudanya itu. Namun hatinya belum puas kerana dia masih belum mampu menunggang juara sambil mengawasi kambing ternakannya. Diberi makan dia makan, diminta tunggang dia liat. Pemalas.

Bukan Adiwira tidak pernah mencuba. Bukan sekali dua malahan berpuluh kali. Adiwira berjaya duduk di belakang Juara, namun bila disuruh lari Juara lengah-lengah sambil memakan rumput. Bila disuruh ke kanan, Juara membelok ke kiri. Bila disuruh berhenti, Juara selamba mengatur langkah. Bukan mudah rupanya mengawal makhluk yang tidak berakal. Adiwira mula berfikir.

Aku berakal, kenapa aku tidak boleh mengawal Juara? Aku tuan tapi kenapa aku tidak boleh menundukkan Juara? Adiwira sentiasa mencari jalan.

Suatu pagi yang terang, Adiwira bangkit dari tidur dengan penuh semangat. Hari baru, semangat baru. Selesai menunaikan solat Subuh, Adiwira segera ke kandang kudanya. Juara diberi makan dan minum, dibersihkan dan disikat bulunya. Adiwira senyum. "Hari ini aku pasti boleh melakukannya," bisik Adiwira di dalam hati.

Juara dibawa keluar dari kandangnya. Pelana dan tali siap dipasang. Perlahan-lahan Adiwira memanjat ke atas belakang Juara. Adiwira mengusap-usap kepala Juara sambil berbisik sesuatu ke telinga Juara. Selangkah, dua langkah, Juara mula mengatur langkah. Kian jauh dan kian jauh.

Mereka kini tiba di kawasan yang lapang. Adiwira tersenyum memandang ke hadapan. "Kita boleh lakukannya!" Ucapnya penuh bersemangat dengan harapan Juara juga mengerti kata-katanya. Juara mengangkat kedua-dua kaki hadapannya. Mungkin benar dia juga mengerti.

Adiwira memukul kedua kakinya ke perut Juara, dengan sekali pukulan, Juara terus berlari laju. Adiwira girang. Bila mahu membelok ke kanan atau ke kiri, Juara kini sudah mematuhi arahannya. Adiwira benar-benar gembira.

"Alhamdulillah Tuhan, Juara sudah mengikut kata. Berlari pantas sekali. Mudahlah aku bergerak, senanglah kerja aku mengembala kambing kelak, syukur pada-Mu Tuhan," di dalam hatinya tidak putus-putus melafazkan syukur.

Demikianlah kisah Adiwira bersama kudanya yang bernama Juara. Dalam kehidupan seharian kita pula bagaimana? Adakah watak Tuan Jaguh, Juara dan Adiwira sememangnya wujud? Siapa 'Tuan Jaguh', siapa 'Adiwira' dan siapa pula 'Juara'?

Allah berkuasa atas segalanya. Dia memberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan berhak mengambilnya semula. Jika usaha kita bersungguh-sungguh, kita ikhlas berdoa dan memohon dari-Nya dan melaksanakan segala suruhan-Nya dengan baik, insyaAllah Dia akan memberi sebaik-baik ganjaran kepada kita. 'Juara' itu mungkin anugerah untuk kita.

'Adiwira' itu adalah kita sendiri. Yang sentiasa berusaha untuk meneruskan kehidupan. Bekerja untuk Tuhan kita, mencari bekalan untuk akhirat sana. Bersama kita ada 'Juara'. Yakni nafsu dan akal kita. Jika kita lemah dan tidak mempunyai keupayaan, kita tidak mungkin dapat mengawal nafsu dan akal kita. Semuanya cuma sia-sia belaka malahan mampu merosakkan diri kita sendiri.

Namun seandainya kita berjaya mengawal keduanya dengan baik, kena gaya dan caranya, dengan izin Allah, nafsu dan akal itu berupaya mempermudahkan lagi segala urusan kita. InsyaAllah.

Jadi, mari kita muhasabah diri. Apa usaha kita untuk dipersembahkan kepada 'Tuan Jaguh', bagaimana rupa 'Juara' kita hari ini? Cermin diri, tilik diri. Semoga bermanfaat. InsyaAllah.

Wassalam.

1 comment:

ahya_ijja said...

Kakkkk... nice ayat2 kat dalam belog ni kali ni..

Teruskan menulis yea.. ;D