+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, March 3, 2009

Ketam.


-Ammar Ashraf -

Sabtu, jam 7.45 pagi, Ashraf terjaga dari tidurnya. Dia mundar mandir di dalam bilik. Saya sedang membuang masa di hadapan laptop kesayangan. Dia berbaju tidur hijau celoreng-celoreng. Masih mundar-mandir. Lucu pula saya melihatnya.

Demi janji saya kepada diri sendiri untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, saya merancang untuk keluar berjongging, biasanya kami (saya,emak,kakak dan 2 anak buah) berjogging di Taman Tasik Shah Alam, tapi memandangkan Alya ada latihan karate hari ini, saya tidak berniat untuk mengajaknya ikut serta. Lalu saya mengumpan Ashraf untuk menemani saya berjogging di taman permainan berdekatan. Skooter birunya menjadi mangsa. "Dik, jom gi jongging, nanti adik bleh main skooter" itulah ayat manis saya. Dengan muka tidak berbasuh, Ashraf beria ikut serta. Akhirnya pagi itu kami keluar bertiga termasuk emak saya.

Saya memandu cuma kira-kira lima minit. Tiba di taman, keadaan agak sunyi, cuma seorang wanita Cina sedang berjogging sendirian. Saya memulakan aktiviti pagi itu dengan senaman ringkas memanaskan badan. Ashraf ikut sekali. Emak saya duduk di wakaf. Cuma sebagai pemerhati. Beberapa minit kemudian kami mula mengelilingi taman permainan. Ashraf dengan skooternya, saya berlari.

2 pusingan berskooter, Ashraf kemudian meninggalkan skooternya lalu ikut berjogging bersama saya. Kami lari beriringan. Saya dengan tracksuit dan sweater merah adidas dan Ashraf dengan baju tidur hijaunya yang celoreng celoreng itu. Kami masing-masing memakai kasut sukan. Dua pusingan berlari lebih kurang, Ashraf mengadu sakit tulang, penat agaknya. Lalu saya menyuruh dia berehat, bermain buaian, gelongsor dan jongkang jongkit sendirian. Saya meneruskan larian. Cukup satu pusingan, saya ikut Ashraf bermain buaian.

Seperti biasa, Ashraf masih tak profesional bermain buaian. Di suruhnya saya menolaknya dari belakang. Saya 'menolak' permintaan dia lalu mengajaknya duduk di riba saya. Kami naik buaian bersama-sama. Tinggi-tinggi sampai lenguh kaki saya menahan dia agar tidak jatuh. haih.. Penat juga kaki saya meriba walaupun beratnya tak sampai 15kg. Kemudian, saya mengajak dia bermain jongkang jongkit..bayangkan si kecik bermain jongkang jongkit dengan 'si montel' seperti saya.Lol. memang sepatutnya dia sentiasa di atas la jawabnya..Maka saya mengambil inisiatif untuk menaikkan dan menurunkan papan itu.

Terlebih tenaga agaknya sampaikan Ashraf tiba-tiba bersuara..
"Mak Ngah perlahan la sikit, jangan kuat-kuat, nanti kepala adik terbuka.." yer, memang saya tak salah dengar, itu yang keluar dari mulut si kecik . Saya tak mampu menahan gelak, waktu itu juga saya tergelak besar. Aduh..camana agaknya yer kalau betul kepala dia terbuka? haih...Ashraf..Ashraf..

Selesai beriadah lebih kurang 30 minit, sasaran kami yang seterusnya adalah gerai makan. Breakfast. Haha..bakar 1 kalori ganti dengan 10 kalori..'Bijak' sungguh..Sampai di sana saya meminta sekeping roti canai untuk Ashraf dan mengambil sepinggan nasi berlauk untuk emak. Selesai mengambil makanan, saya mengorder air milo untuk saya dan Ashraf dan air teh untuk emak. Kemudian saya bangkit untuk mengambil makanan untuk saya sendiri. Saya memilih untuk makan lontong nasi himpit. Lama tak makan, kecur pula melihatnya.

Sambil makan-makan tiba-tiba Ashraf bersuara..
"Kalau kita tak baca bismillah, nanti syaitan masuk dalam perut kita.." dia mula berkata-kata. Saya terdiam. Berfikir sejenak. "Tadi aku baca bismillah ke?" saya berbisik di dalam hati. "Baca kot.." saya sendiri yang menjawab. Namun saya sedar, Ashraf berkata begitu kerana dia tidak mendengar kami membaca doa makan. Tidak melihat kami membaca doa, jadi saya harus bertindak bijak.

"Mak Ngah dah baca tadi, dalam hati..adik tak baca doa eh?" saya menjerat dia. Dia senyum dan angguk. "Haah" jawabnya ringkas kemudian menadah tangan membaca doa makan. Saya ikut serta. "Selamat.." sekali lagi saya berkomentar sendirian.

Selesai membaca doa, sambil makan-makan saya seperti biasa akan memancing dia supaya bercakap lebih lanjut aka berfikir lebih dalam.

"Kalau syaitan masuk perut kita nanti jadi macam mana?"
saya pula bertanya..

"Kalau dia masuk dalam perut kita, nanti dia makan dalam perut kita. Nanti dia jadi Gemuk. Nanti dia jadi mata merah keluar ekor bla bla bla.." aduh..ke situ pulak dia bercerita. Saya cuma mampu tersenyum. Haih..Asraf..Ashraf..

Selesai makan, kami ingin berangkat pulang..Tiba-tiba si kecik bersuara lagi.
"Berdosa tau makan tak habis" suaranya agak perlahan. Saya tak dapat tangkap lalu bertanya lagi. "Apa dia?" soal saya.

"Tok Mek tu laa..makan tak habis, berdosa tau makan tak habis, nanti Tuhan marah, nanti masuk neraka tau.." Aduh, panjang pula celoteh dia sambil menunjuk ke arah pinggan nasi emak saya yang masih bersisa.

Saya cuma tersenyum memandang emak kemudian tunduk memandang Ashraf..
"Haah tak baik, tapi takpela, kali ini jer..lain kali tak boleh" spontan hanya itu yang terkeluar dari mulut saya..Lalu kaki di atur keluar dari kedai makan menuju ke kereta. Sedetik dua detik kemudian saya terfikir..

Resmi Ketam.

Pepatah orang tua-tua pernah berkata, jangan jadi seperti ketam, mengajar anak berjalan lurus sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Nah, kena batang hidung saya kali ini. Kami (orang dewasa) sering mengajar si anak supaya mengikut peraturan, berbuat kebaikan dan jadi orang baik-baik sedangkan kami sendiri menunjukkan contoh yang tidak baik.

Sewajarnya, orang yang dewasa, harus mengubah sikap menjadi lebih baik sebelum menyuruh kanak-kanak berbuat baik. Orang dewasa juga mesti memberi contoh teladan yang baik. Kami selalu melarang si anak bercakap kasar dalam pergaulan. Aku, bodoh, gila etc adalah taboo. Tapi, ketika kami sedang leka berbual, ada masanya tiba2 si kecil mencelah.."Adik dengar ibu cakap aku tadi.." atau kadang-kadang " Ibu, Mak Ngah cakap bodoh tadi, adik dengar.." ..Aduh, harus gi mana ni sih..

Moral of the story: Jangan jadi ketam.


1 comment:

UkhwAh said...

ooo pandai mak ngah cover ea?hehe..

Alhamdulillah bijak ammar. Kecil2 dah pandai..dah la comel..

jeles seposen kat Mak Ngah!