+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, March 22, 2009

Berfikir, Belajar dan Berkongsi.

Assalamualaikum wbt..

Kali ini saya ingin menarik perhatian sahabat yang dikasihi mengenai perlunya berfikir dan belajar. Sebagai manusia yang dianugerahkan nikmat akal dan iman, kita seharusnya tahu memanfaatkan anugerah kurniaan Ilahi ini sebaik yang mungkin demi kemaslahatan diri kita, keluarga dan zuriat kita, masyarakat, seluruh umat Islam dan juga penghuni alam ini, dengan izin Allah.

Pembuka Kata.

Belajarlah hingga ke negeri China, belajarlah sejak dari buaian hingga ke liang lahad, saya setuju, selagi kita tidak menghembuskan nafas yang terakhir, selagi itulah kita tidak lepas dari proses pembelajaran, dan sesungguhnya, ilmu Allah Maha Luas.. Belajar tidak semestinya menghadap buku atau ketika kita duduk di kerusi bilik darjah, di mana-mana sahaja, jika kita rela membuka mata, hati dan akal untuk menerima ilmu secara positif, insyaAllah, kita akan mampu belajar benda baru setiap hari.

Selalunya, semakin banyak kita belajar, semakin banyak rupanya yang tidak kita ketahui. Dan seterusnya, jika semangat ingin tahu dan semangat ingin belajar itu tinggi, ia mampu menjadi pemangkin dan pembakar semangat kita untuk terus berfikir dan mengkaji, akhirnya dengan izin Allah, ilmu kita akan bertambah, dari hari ke hari, insyaAllah..

“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
(Adh-Dhukhaan: 38-39)

"Dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, dan bahtera yang berlayar di lautan untuk kemaslahatan manusia, dan air yang dikirimkan Tuhan dari langit - yang dengannya dihidupkanNya bumi sesudah mati (kering) dan disebarkanNya berbagai jenis mahluk - dan angin serta awan yang bergerak dengan patuhnya ke berbagai arah di antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda bagi mereka yang menggunakan akalnya. "(Surat al-Baqarah: 164)

"Dan Dia lah yang membuat segala yang di langit dan segala yang di bumi tunduk kepadamu. Itu semua dari Dia. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasan Tuhan) bagi orang-orang yang berpikir." (Surat Al-Jasiyah: 13)

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”
(Surah Ali-Imran: 190-191)

Lesen P.

Ketika mula-mula mendapat lesen P, saya berasa sangat tidak yakin ketika di jalan raya. Malah, hari pertama memandu kereta sendiri, saya telah berjaya mencalarkan kereta saya dan pemandu lain ketika hendak memarkir sisi, sedangkan ketika mengambil ujian mendapatkan lesen memandu, saya dapat menyelesaikannya dengan sempurna kurang dari 3 minit.

Sepanjang perjalanan dari rumah ke ofis mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja, tapi saya sering di hon oleh pemandu lain, terutamanya ketika melalui roundabout..Tanda saya sering melakukan kesalahan ketika memandu. Genap tiga bulan memandu kereta sendiri, saya dengan jayanya berjaya kemekkan kereta saya di bahagian sisi kerana tidak pandai mengagak ketika hendak keluar dari simpang, divider jalan telah saya langgar.

Lebih kurang lima bulan memandu, saya dikehendaki out station ke Pasir Gudang, tak lama kemudian saya mendapat surat cinta dari polis, di saman kerana memandu melebihi had laju lebuh raya ketika speed track. Saman RM 300.

Dua bulan kemudian, saya sekali lagi dikehendaki outstation di Pasir Gudang, dua minggu saya di sana dan sekali lagi saya berlanggar dengan kereta lain ketika ingin keluar simpang, nasib baik cuma calar di bahagian bumper kereta dan kereta satu lagi juga calar ringan dan kami tidak apa-apa. Alhamdulillah. Dengan izin Tuhan adanya.

Baru Belajar.

Mungkin lumrah, ketika mula-mula belajar dan mendapat 'ilmu' baru, jarang yang dapat menggunakan dengan sebaik mungkin. Kadang-kadang ower power kadang-kadang terlalu perlahan. Tidak tahu keadaan yang paling optimum. Tidak tahu kebolehan dan kemampuan diri.

Mula-mula memandu, saya selalu memandu 100km/h dan ke atas, sedangkan saya masih terlalu mentah dan tidak mahir selok belok jalan, hasilnya saya selalu terlajak jalan dan sering juga sesat. Kawan-kawan dan keluarga memang tak berani menjadi penumpang. Seram dengan pemanduan saya.

Alhamdulillah, setelah lebih setahun memandu, saya sedikit sebanyak mampu meningkatkan kemahiran/skill memandu saya. Tidak lagi tergopoh-gapah ketika di jalan dan lebih tenang dan selesa ketika memandu, Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita menjadi lebih baik. Memandu bukan lagi bebanan kepada saya.

Untuk sampai ke tahap ini (selesa ketika memandu) memerlukan masa dan kesabaran. Jatuh sekali sekala adalah perkara biasa. Asalkan kita ada niat dan kesungguhan untuk belajar, tidak mengalah dan tidak berputus asa. InsyaAllah dengan izin Allah, kita mampu menjadi yang lebih baik.

Di tangan kita ada pisau, kita boleh gunakan pisau itu untuk membunuh, untuk menajamkan kayu menjadikannya lembing, atau kita juga boleh gunakan pisau itu untuk memotong sayur dan buah. Kita juga mungkin boleh jadikan pisau itu sebagai perhiasan, biarkan pisau itu berkarat dan lama-kelamaan menjadi tumpul, terserah kepada kita kerana pisau itu milik kita dan kini digenggaman kita.

Kita ada kemahiran dan kebolehan, semua itu anugerah dari Tuhan, terserah kepada kita bagaimana untuk mengaplikasikanya dalam kehidupan seharian kita agar bermanfaat kepada kita bahkan, juga mungkin mampu memberi kebaikan kepada insan lain yang memerlukan.

Jadilah pohon rendang, menjadi teduhan kepada musafir yang singgah melepaskan lelah, dahannya menjadi persinggahan kepada burung yang kepenatan, akarnya teguh mencengkam bumi menahan runtuhnya tanah dan bukit...Pohon itu banyak jasanya..tapi alangkah lebih indah, jika pohon itu berhasil mengeluarkan buah yang masak ranum..Sesiapa saja boleh menikmati manisnya buah itu, tersenyum dan gembira dengan kelazatan buah itu..

Penutup.

Setiap yang hidup pasti akan mati. Saya juga akan mati. Semoga hayat yang ada ini dapat digunakan sebaik yang mungkin agar dapat memberi manfaat kepada insan lain dan semoga dapat dijadikan bekalan untuk di akhirat sana. InsyaAllah, dengan izin Allah.

"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (H/R Bukhari, Tirmidzi dan an-Nasaii)

Wallahua'alam.

2 comments:

kueh bakar said...

semoge sampai destinasi...

AsNiza said...

insyaAllah..ameen..