+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, January 9, 2009

Umi, Benarkah Allah Wujud?

Aiman masih diam membisu. Nasi di dalam pinggan sedikit pun belum luak.

Perlahan-lahan dia menguis-nguis ayam goreng di dalam pinggannya itu, pandangan kosongnya melayang entah ke mana. Kosong, dalam dan terlalu jauh. Sukar untuk di tafsirkan. Kusut.

Elaini hilang selera melihat putera kesayangannya itu muram sejak tadi. Biasanya dia tidak begini. Aiman anak yang lincah dan petah, selalu ketawa menghiburkan hatinya. Penyeri hidupnya yang tiada tolok ganti.

“Aiman, kenapa sayang tak makan? tak sedap ke lauk umi masak malam ni?”

Sapa Elaini setelah hampir 10 minit Aiman membisu di meja makan. Sunyi, sepi. Aiman masih membatukan dirinya. Mungkin sapaan lembut uminya tadi tidak mampu mengembalikan Aiman ke alam realiti. Elaini bertambah risau. Dia bangkit perlahan menuju ke kerusi Aiman, satu-satunya permata hati bukti cintanya dan Taufik. Elaini mengusap lembut bahu anak lelakinya yang kini sudah menginjak usia 8 tahun.

“Aiman, kenapa tak jawab tadi umi Tanya? Aiman sakit ke?”

Tegur Elaini seraya meletakkan belakang tapak tangannya ke dahi Aiman. Elaini akhirnya berjaya mengejutkan lamunan Aiman. Aiman lantas memberi reaksi. Tangan uminya di tepis lembut..Dia menggeleng-gelengkan kepalanya lalu menolehkan wajahnya ke arah uminya..dia menatap uminya dalam-dalam.

“Umi, betulkah Allah ada?”

Tidak semena-mena Aiman tiba-tiba mengajukan soalan itu. Elaini tersentak seketika. Tertanya-tanya apa yang sedang bermain di minda anak kecilnya itu. Elaini menyembunyikan resah lalu mengukir senyum..Senyuman yang paling manis buat putera kesayangannya.

“Sayang, Allah memang ada, Allah wujud!”

Elaini menjawab lembut tapi penuh keyakinan, di saat menyebut perkataan wujud, dia mengeraskan sedikit suaranya, menunjukkan betapa dia yakin Allah itu wujud. Suasana sepi seketika.

“Betul ke umi? Ustazah Aiman kat sekolah cakap, Allah ada 99 nama, Aiman ingat lagi, Ustazah Aminah bagitahu, Allah wujud dan Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani..”

Aiman menyambung kata-kata kemudian menundukkan pandangannya menghadap ke lantai. Dia kembali bisu. Seolah-olah ada sesuatu sedang mengganggu fikirannya. Elaini mendiamkan diri mengharapkan Aiman meluahkan segala apa yang sedang di benaknya. Namun hampa. Aiman kembali membatu. Beberapa minit dia membeku membuatkan Elaini kembali di ulit resah.

“Aiman sedang fikir apa sayang? Cuba cerita dekat umi, Aiman kan tahu Allah benar-benar wujud, tapi kenapa malam nie Aiman nampak ragu? Sayang, kita sebagai orang Islam, kena yakin seratus peratus bahawa Allah itu wujud. Sedikit pun tak boleh goyah. Umi kan selalu cakap kat Aiman, rukun Iman ada 6 dan yang pertama adalah beriman kepada Allah..Rukun iman ni bukan macam mathematic yang Aiman selalu buat kira-kira tu tau, rukun Iman yang 6 ni, jika kurang walaupun satu, maka jadi kosong Iman kita. Jadilah kita org yang tidak beriman..Jadi, kesemua keenam-enam rukun Iman ni, kita kena yakin, kena percaya dan kena buktikan dengan amalan kita..Aiman ingat kan?"

Panjang lebar Elaini bercerita sambil mengusap kepala anaknya. Aiman mengangguk perlahan.

“Aiman ingat semua yang Umi cakap, Aiman tak lupa..Tapi..tapi kalau Allah wujud, kenapa Dia tak lindungi Abah, kenapa Dia tak lindungi rakyat Palestine? Aiman kasihan melihat mereka..”



Akhirnya Elaini dapat membaca apa yang sedang bermain-main difikiran anaknya itu. Sebelum menuju ke meja makan, mereka berdua sama-sama menonton berita tv. Berita yang mendukacitakan malah meremuk redamkan hatinya. Elaini tersentak melihat Gaza di belasah. Hatinya bagai di carik-carik. Melihat anak kecil menjadi mangsa membuatkan titik manik mengalir deras di pipinya. Aiman di sebelahnya yang diam membisu nyaris dia lupakan kewujudannya.

Elaini mencemuh di dalam hati. Saudara seakidahnya di Gaza benar-benar dalam kesusahan. Jiwanya resah. Dalam seluruh umat Islam sedang membuat persediaan untuk menyambut Maal Hijrah, bumi Gaza di lanyak. Seluruh berita dan akhbar melaporkan peristiwa yang sama. Keganasan Israel terhadap Palestine bukan lagi omongan kosong. Kini menjadi kenyataan.

Mimpi ngeri yang melanda penduduk Gaza masih belum ketemui titik noktah. Beberapa jam jet pejuang Israel membelah angkasa Gaza, berpuluh-puluh orang awam maut, beratuss-ratus yang cedera dan hilang tempat tinggal.

Penduduk Gaza merintih lagi. Bumi Gaza merah di simbah darah. Bom dan peluru berserakan di mana-mana sahaja. Rakyat ketakutan, anak-anak kecil menangis tanpa henti. Trauma dengan bunyi bedilan dan tembakan. Mayat-mayat bergelimpangan.

Hari ini masuk hari ke sebelas Israel melancarkan perang. Lebih 600 rakyat Gaza maut. Dan beribu-ribu orang cedera. Rumah kediaman musnah. Bekalan elektrik dan air terputus. Bekalan makanan juga tidak mencukupi. Hospital kehabisan ubat dan vaksin. Sampah sarap terbiar tidak terangkut. Angka kematian kian meningkat. Bantuan yang diharapkan tiba di sekat. Mereka kian terhimpit. Hari-hari di lalui semakin kelam, cuma perhitungan antara dua, hidup atau mati.

Peperangan sedang melanda. Malangnya, perang yang tidak seimbang. Suatu pihak kaya dengan teknologi dan senjata pembunuh dan sebelah pihak lagi sekadar bersenjatakan batu dan doa. Satu pihak sedang menyerang dan satu pihak sedang mempertahankan..Argh. Benar-benar berat sebelah. Bertambah menyedihkan apabila mereka yang menyerang bertambah angkuh dengan sokongan kuasa veto dunia, Amerika.

Mereka yang membaling peluru menyorok tangan lantas menuduh Hamas punca serangan. Menuduh Hamas yang memancing perang. Menyalahkan penduduk Gaza, kononnya mereka yang inginkan perang dengan cara mengundi Hamas. Aduh.. Butakah mata atau buat-buat buta? Siapa sebenarnya yang tertindas? Siapa pengganas? Dan jika pun ingin menghapuskan Hamas, kenapa orang awam yang menjadi mangsa? Kenapa kanak-kanak dan wanita tidak berdosa di tembak? Kenapa robohkan kediaman mereka? Kenapa sempitkan hidup mereka? Mereka bukan sahaja terdera fizikal, malah jiwa mereka juga terganggu akibat hambatan perasaan takut tanpa henti memburu. Pengganas..Celakalah engkau! Kutuk Elaini di dalam hati.

Diam seketika, Elaini sempat mengutuk kekejaman Israel. Beberapa minit membisu, Elaini akhirnya menyambung bicara,

“Sayang..tiap apa yang berlaku, semuanya dengan keizinan Allah, dan jika Allah ciptakan sesuatu, pasti ada sebabnya, tiada yang sia-sia. biar pun Cuma sebesar zarah, tapi pasti ada hikmahnya,”

“Umi, jika Allah wujud dan Allah berkuasa, kenapa Allah tidak musnahkan Israel saja? Mereka tu jahat umi, Aiman Nampak kat tv, Israel tembak ramai orang, Israel jahat, Palestin kan baik umi, kenapa Allah tak tolong orang baik?”

Aiman masih belum berpuas hati dengan jawapan uminya. Pandangannya di tancapkan tepat ke dalam mata Elaini. Menanti jawapan dari uminya penuh harapan. Elaini Cuma tersenyum, diam seketika menyusun ayat agar dapat mengungkai persoalan yang sedang bermain di jiwa anak nya.

“Betul Allah Maha Berkuasa. Dan Allah mampu lakukan apa saja. Tapi, Aiman kena tahu, kadang-kadang Apa yang kita benci itu baik untuk kita dan kadang-kadang apa yang kita suka itu buruk buat kita. Memang kita bencikan penindasan, kita kesian melihat nasib penduduk Gaza, tapi hikmah di sebaliknya siapa tahu?”

“ Mungkin di sebalik peperangan ini, Allah ingin melihat kita saudara seakidah dengan Palestin ni bagaimana bertindak? Adakah sanggup korbankan harta? Atau sedekahkan doa? Atau bagaimana? Dalam al-quran ada menyebut, tidak sempurna iman seseorang jika dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri..jadi, mungkin melalui perang ini, Allah ingin melihat bagaimana reaksi umat Islam yang lain? Pedulikah kita dengan nasib rakyat Palestin atau langsung tidak peduli? "

"Allah Maha Mengetahui..Biar apa pun kita cuba sembunyikan, Dia tetap akan tahu..Umi pernah cakap dengan Aiman sebelum ini, buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat..mungkin di dunia ini, Israel ketawa megah meraikan kemusnahan Gaza tapi di akhirat kelak? Tanggunglah nasib mereka di neraka..Allah kan Maha Adil. Lagipun, Allah menguji hamba-hambanya mengikut kemampuan mereka. Allah tahu rakyat Gaza mampu mengharungi dugaan ini maka sebab itulah juga dugaan ini di turunkan…tapi itu juga tidak bermakna kita boleh lepas tangan, kita juga kena yakin kpd kuasa Allah dan jangan berhenti menadah tangan memohon dari Allah..”

Suasana sepi seketika..Aiman kelihatan kusyuk mendengar. Mungkin sedang merakam rapi semua kata-kata ibunya ke dalam pita memorinya. Pesan ibu sentiasa di semat di jiwanya.

“Aiman pernah tengok hujan lebat?”

Tanya Elaini setelah diam seketika. Aiman Cuma menganggukkan kepalanya longlai.

“Kalau macam tu, Aiman pun pasti pernah tengok pelangi, kan? Pelangi cantik tak?”

Sambung Elaini semula setelah melihat response dari anaknya itu.

Aiman tersenyum kemudian menjawab..

“Cantik, Aiman suka pelangi..”

“Umi pun sama, umi pun suka pelangi..”

“Jadi, awan yang hitam, hujan yang lebat di sebaliknya ada pelangi yang cantik, berwarna warni…bila awan hitam, puas kita mencari dan bersedih, mencari matahari sudah tidak kelihatan, tp Allah Maha Bijaksana..Dia turunkan hujan dan dia juga yang ciptakan pelangi. Begitu juga hidup ini, kita di uji dengan segala ujian, tapi di sebalik ujian itu, pasti ada hikmah yang tersembunyi..Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana.”

Panjang Elaini menguraikan..Aiman masih setia mendengar..

“Aiman, segala yang di dunia ini dan juga di akhirat, semuanya milik Allah. Dia yang mencipta kita dan Dialah yang paling berhak. Kekuasaan Allah termasuk yang di langit dan di bumi, dan Allah tidak pernah penat menjaganya, Dia Maha Berkuasa. Segala apa yang kita lakukan atau akan lakukan, semuanya Dia tahu..di kiri kanan kita, ada malaikat yang sentiasa mencatat amalan kita. Baik ke, buruk ke..jadi, Umi harap Aiman jadi anak yang baik, selalu dengar cakap Umi dan ingat pesan umi yer..jadi anak yang soleh...”

Aiman masih diam, sekali sekala dia anggukkan kepalanya..

“Umi, betul ke Allah sayangkan Aiman?”

Tiba-tiba Aiman bersuara..Elaini sekadar tersenyum lalu menanggukan kepalanya.

“Jika Allah sayangkan Aiman, kenapa Allah ambil ayah Aiman?”

Soal Aiman lagi. Elaini tersentak. Rasa belas membuak-buak. Simpati mengenang nasib anaknya yang terpaksa mengharungi hidup tanpa insane bergelar ayah. Malah Aiman tidak pernah sempat bermanja dengan ayahnya.

“Kerana Allah juga sayangkan ayah, dan Allah sudah tetapkan segalanya untuk ayah. Tiba masa, ayah pasti di jemput pulang kembali ke sisi Allah. Aiman kena selalu doakan ayah, semoga roh arwah ayah sentiasa di rahmati Allah..jauh di mata tak mengapa, tapi di hati Aiman, jangan sekalipun lupa kan ayah, jangan lupa sedekahkan al fatihah utk ayah yer sayang”..

Aiman angguk, airmatanya mula mengalir perlahan, mungkin ada sesuatu sedang mengusik hati kecilnya. Elaini merapati putera kesayangannya lalu memelunya erat.

“Aiman ingat kan? Umi pernah cerita pasal Nabi Muhammad saw. Ingat tak? Tahu tak siapa dia?”

“Dialah Rasul kita..Aiman ingat..” jawab Aiman perlahan..

“Jika Aiman masih ingat, Nabi juga anak yatim, malah ayahnya Abdullah meninggal sejak dia dalam kandungan ibunya..Ibunya Aminah pula meninggal sejak dia masih kecil, dia di jaga datuknya dan kemudian datuknya serta isterinya Khadijah juga meninggal dunia. Sesungguhnya mati bukan ujian yang kecil. Malah sangat besar dan bertimpa-timpa buat Nabi junjungan kita. "

"Tapi, akhirnya Nabi bangkit dari segala kesedihan. Bersabar dan teruskan kehidupan.. Malah menjadi Rasul yang terulung, besar bakti dan jasanya kepada seluruh ummat manusia..Allah Maha Pengasih dan Allah sayangkan hamba2Nya yang sabar. Aiman harus contohi baginda Nabi saw..”


Elaini mengesat lembut airmata yang mengalir di pipi Aiman.

“Sayang cuba senyum, senyum k..kita makan dulu, dah sejuk dah nasik tu, nanti ada masa umi sambung lagi..Aiman harus ingat, walau bagaimanapun susahnya Aiman, sedih atau sakit, Allah sentiasa ada bersama Aiman, berharaplah hanya drpd Dia. Umi juga sentiasa menyanyangi Aiman.jom kita makan yer sayang...”

Anak ibarat kain putih dan ibubapa yang berhak mencoraknya. ingin belang2 atau bertompok2 atau berwarna warni semuanya di tangan si ibu dan si ayah..Anak juga anugerah dan nikmat dari Allah dan sepatutnya dia di sayangi.

"Kerana umi kasih, umi akan pastikan Aiman bahagia dunia dan akhirat.." bisik Elaini di dalam hatinya.

Elaini menamatkan bicaranya bersama Aiman, sambil tersenyum dia mencubit lembut pipi gebu Aiman kemudian kembali ke meja makan. Aiman juga kembali senyum, berpuas hati dengan penjelasan uminya tadi. dalam hati Aiman juga bersyukur di anugerahkan Umi yang benar2 menyanyanginya..sekian.

Habis cerita.

2 comments:

Anonymous said...

bagusnya cite ni...betul2...moga ana sentiasa dlm peringatan...insyaAllah...

Jolynn said...

Subhanallah. Hampir menangis saya baca cerita ni. =(

Segala yang terjadi ada hikmahnya. Dugaan ni semua utk test kita punya belief kepada Allah. =)