Pada saya, merasa bersalah adalah suatu bentuk hukuman yang sangat berat. Merasa bersalah boleh buat hidup saya jadi tak keruan. Merasa bersalah boleh buat saya berubah tingkah laku. Merasa bersalah boleh buat saya hilang segala fokus. Terasa berat bebanannya. Tak mampu saya tanggung.
Kerana merasa bersalah pernah menipu ustazah bila ditanya pagi tadi ada solat subuh ke tidak, saya akhirnya mula belajar solat subuh. Kerana takut merasa bersalah, saya tak pernah bawa anak-anak saudara saya dalam kereta yang saya pandu keluar jauh dari rumah walau serapat mana pun kami. Kerana berasa bersalah juga, saya sering berendam air mata menadah tangan memohon doa.
Moga Allah beri jalan keluar. Moga Allah bantu permudahkan urusan. Moga Allah tunjukkan apa yang terbaik.Walau pun merasa bersalah ini berat, namun saya berasa bersyukur kerana dianugerahkan rasa itu. Setidak-tidaknya, selagi saya waras, saya tidak akan sengaja suka-suka menyakitkan orang. Kerana saya tak mahu rasa bersalah.
Kerana saya tahu betapa azabnya perasaan bersalah itu, saya sering melindungi orang-orang yang saya sayang daripada rasa bersalah atas apa yang mereka lakukan pada saya.
Untuk setiap apa yang telah mereka lakukan terhadap saya, tidak pernah saya tunjukkan bahawa saya menyesal menjadi mangsa keadaan mereka. Saya tunjukkan pada mereka, akibat dari perbuatan mereka, saya bahagia. Saya tunjukkan pada mereka, akibat apa yang mereka lakukan, saya terhutang budi pada mereka.
Saya sembunyikan airmata saya, kerana saya tidak mahu mereka tahu bahawa saya terseksa. Saya sembunyikan airmata saya, kerana saya tidak mahu mereka tahu bahawa akibat perbuatan mereka itu adalah sangat buruk untuk saya.
Saya belajar untuk redha, untuk bersyukur. Untuk tidak menyalahkan sesiapa apatah lagi takdir saya. Padahal, jauh di lubuk hati saya terdetik, "kalau bukan kamu menjadi penyebab, hidup aku tidak akan menderita begini". "Kalau bukan kerana kamu yang memulakan, hidup aku tidak akan susah begini." "Kalau bukan kerana kamu yang campur tangan, hidup aku mungkin jauh lebih bahagia."
Saya berperang dengan diri sendiri. Saya seorang pejuang. Saya yakin segala firman Allah swt dalam kitabNya. Setiap apa yang berlaku, hanya berlaku dengan izin Allah swt. Saya beriman pada qada' dan qadhar. Saya percaya bahawa Allah ada berfirman bahawa Dia beri ujian setimpal dengan kemampuan kita. Saya percaya, Allah swt Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Sehelai daun yang jatuh ke bumi Dia tahu. Apatah lagi gelora perasaan saya. Apa yang saya ucap atau tidak, Dia tahu. Derita sengsara saya, Dia tahu. Dan itu cukup untuk memberi kekuatan untuk saya terus berjuang. Cukup untuk memberi dorongan kepada saya agar tidak menyalahkan sesiapa. Termasuk kamu!
Tiada siapa yang mahu derita. Dan saya percaya, setiap daripada kita, ada menyimpan derita sengsara kita sendiri. Kita tidak nampak penderitaan orang bukan bermakna dia bahagia sepanjang masa, tapi hakikatnya dia adalah insan yang kuat, insan yang berjaya menyembunyikan penderitaannya.
Berhenti mengadili manusia lain.
Kerana pengetahuan kita tersangat sedikit. Jika seseorang insan punya Allah swt untuk mengadu segala keluh kesah, meluah segala penderitaan yang menggunung dalam dadanya, adakah dia masih perlu manusia lain untuk mendengar luahan hatinya? Adakah perlu untuk dia meluahkan segala penderitaanya pada insan lain sedangkan dia punya Allah untuk mendengar?
Adakah perlu dia meluahkan setiap apa jua rasa dan fikirnya pada insan lain, sedangkan dia tahu, manusia itu banyak kelemahan. Manusia sering mengingkari janji. Manusia sering terlupa. Manusia selalu mementingkan diri. Manusia suka berburuk sangka. Manusia ini sifatnya lemah. Sedangkan Allah swt Maha Sempurna..
Jadi, seandainya kamu tidak melihat air mata sesiapa pun, jangan seenaknya kamu menyangka dialah insan yang paling bahagia lansung tidak punya apa-apa masalah.
Jadi, seandainya kamu lihat dia sentiasa tersenyum senang, jangan seenaknya kamu menyangka dialah insan beruntung yang sentiasa bahagia dengan apa jua miliknya..
Kerana barangkali, dia sedang mempamerkan kebahagiaannya kerana ingin melindungi kamu dari rasa kesusahan, dari perasaan bersalah kesan akibat perbuatanmu terhadap dia.
Dan ingatlah selalu, kamu tidak tahu apa-apa.
No comments:
Post a Comment