+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, December 8, 2011

Bukan Superman

Kalau dibandingkan dengan Superman, bezanya seperti langit dan bumi. Kalau Superman rupanya kacak, Sapuman Cuma biasa-biasa saja. Kalau Superman punya tenaga dan kuasa yang luar biasa, boleh mengangkat sebuah lori dengan menggunakan sebelah tangan, Sapuman Cuma seorang lelaki biasa yang kerjanya setiap hari menggunakan penyapu dan mop untuk membersihkan pejabat dan tandas di tempat saya bekerja. Namun begitu, saya sangat mengkagumi Sapuman sejak hari pertama beliau bertugas.


Sapuman adalah gelaran yang diberikan kepada pekerja negara asing yang bertugas untuk menyapu dan melakukan kerja-kerja mencuci bangunan. Entah siapa yang memberi gelaran - tapi ia digunapakai di tempat kerja saya dan diterima ramai.


Sebelum kehadiran Sapuman sekarang ini, saya sempat kenal Sapuman yang lama. Saya tidak pasti telah berapa lama dia mencari nafkah di sini, tapi melihatkan dia seolah-olah sudah bosan dengan kerja sehariannya. Gerak langkahnya perlahan dan tiada inisiatif untuk melakukan kerja-kerja lain selain daripada cuci tandas, menyapu lantai, mengemop dan mengutip sampah dari bakul sampah setiap pekerja di pejabat. Itu saja.

Tiba-tiba, Sapuman lama tidak muncul. Tempatnya kini digantikan dengan Sapuman yang baru – Sapuman sekarang ini. Dengar-dengar cerita, Sapuman lama diberhentikan kerja kerana telah beberapa kali ‘kantoi’ balik tidur di asrama ketika waktu bekerja.
Wallahua’alam.

Kembali kepada cerita tentang Sapuman sekarang ini. Umurnya mungkin lewat 40-an. Atau awal 50-an. Entahlah, susah saya hendak mengagak umur orang, apatah lagi mereka lain bangsa, lain budaya, lain tempat kelahiran, lain makanan asasinya. Fizikalnya pula tinggi dan kurus. Berasal dari Bangladesh dan tidak tahu bertutur bahasa inggeris apatah lagi bahasa melayu. Sukar untuk berkomunikasi, sekadar angguk, geleng dan bahasa isyarat tangan – entah apa yang dia faham pun kami tidak tahu sebenarnya. Hehe. Tapi, sehingga ke saat ini, kami satu ofis tidak pernah komplen hasil kerjanya. Pendek kata, memuaskan. Jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Sapuman sebelum ini.

Sapuman ini, sejak hari pertama bekerja – dia sentiasa kelihatan bersemangat. Walaupun mukanya serius, sukar untuk senyum, tapi dia bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukannya. Kalau sapu, sapu bersungguh-sungguh. Kalau mop, mop bersungguh-sungguh. Saya tidak pernah terserempak dengan dia, melihat dia tidak berbuat apa-apa, ada-ada saja kerja yang dia lakukan – tanpa henti. Rehatnya mungkin tepat-tepat jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, bila tiba waktu kerja, dia meneruskan kerjanya. Cuma sekali sekala bertegur sapa dengan rakan senegara, itupun dengan penyapu atau mop tetap di tangan.

Di tempat kerja saya, ada jadual untuk menyapu, mengemop, membuang sampah. Untuk ruang pejabat, sehari satu kali. Entah berapa bilik pejabat yang dia kena bersihkan – saya tidak pasti tapi lebih kurang, lebih dari 10 bilik pejabat. Untuk tandas pula, ada 3 tandas (setiap tandas ada 3 bilik) yang dia perlu bersihkan. Setiap tandas, lebih kurang 4 kali sehari dia perlu bersihkan. Atau mungkin lebih kerana sering saja melihat lantai tandas bersih baru lepas di mop. Bukan itu saja, lantai luar pejabat tempat pejalan kaki dan tangga bangunan setinggi 3 tingkat, juga di bawah tanggungjawabnya. Kalau nak bayangkan tugasnya seharian – tak mampu saya lakukannya. Tapi itulah hakikatnya, setiap hari dia melakukan kerja yang sama.

Di samping itu, saya juga sering melihat dia membersihkan cermin kaca dan tingkap. Tidak cukup dengan itu, aircond setiap pejabat juga dia lap. Ada juga kadang-kadang dia lap setiap kerusi pekerja di tempat kerja saya. Yang mana – Sapuman lama tak pernah buat benda-benda macam ni. Atas inisiatif sendiri juga saya kira, dia mengutip semua bakul sampah kecil setiap pekerja, masukkan beg plastic di dalamnya dan selotap sehingga kemas. Dalam pergerakannya jugaa, dia kelihatan cergas dan pantas melangkah.

Pernah satu hari – superiornya datang bertemu kami. Katanya Sapuman terjumpa wand di atas lantai di pejabat kami. Memandangkan Sapuman tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Melayu, barangkali, dia telah melaporkan kepada superiornya untuk memulangkan duit kepada kami. Jujurnya dia. Sedangkan gajinya tidak seberapa, untuk datang bekerja ke Malaysia juga selalunya pekerja asing perlu mengeluarkan duit yang banyak – tapi dia tidak pula rambang mata.

Melihat Sapuman – lelaki biasa dengan kerja biasa sering membuat saya muhasabah diri sendiri. Pada saya, dia luarbiasa kerana mampu ‘enjoy’ dengan pekerjaannya itu biarpun kerjanya jauh lebih berat. Gembira kerana mempunyai kerja – barangkali. Tidak seperti saya yang sering merungut tentang gaji, tentang kerja dan macam-macam lagi. Seolahnya, saya ini tidak tahu bersyukur.

Peringatan untuk diri sendiri.

Jika rasa kerja yang dilakukan adalah berat dan sukar, ingat, ada lagi orang lain yang kerjanya jauh lebih sukar. Jika rasa gaji tidak lumayan, ingat, ada lagi orang yang gajinya jauh lebih rendah. Jika rasa bosan dengan tugasan harian, ingat, kerja orang lain jauh lebih membosankan.

Yang paling penting adalah bagaimana 'mata hati kita' melihat sesuatu perkara. Samada positif atau negatif. Bagaimana penilaian atau 'judgement' kita terhadap sesuatu kerja yang sedang kita lakukan. Jika kita menganggapnya berat - maka beratlah ia. Tapi jika kita menganggapnya ringan, insyaAllah - bahu yang memikul beban akan terasa lebih kuat. Anggaplah setiap kerja yang kita lakukan adalah ibadat. Kerjalah bersungguh-sungguh ibarat inilah kerja yang terbaik di dunia. (Mampukah saya??)

Mungkin kerja kita susah - tapi ingat - ramai lagi di luar sana yang jauh lebih susah kerana tiada pekerjaan. Maka, jom bersyukur jom.

Happy dan semangat selalu ketika bekerja! Saya ingin contohi Sapuman! =)

2 comments:

faiez said...

Insaf :-)

LadyBird said...

salam akak.. dah lama x jenguk sini..

sapuman mmg keje sungguh2..
pernah kat tmpt keje iza ni kan.. ade sorg pekerja bangladesh.. kalau pekerja melayu x angkat karpet bert tu.. tp bila iza mtk tlg sapuman tu bersihkan.. dia pi angkat karpet yg berat tu dan sapu bersih2.. siap hentak2 lagi atas lantai tuk buang debu.. kagum sgt2..