+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, December 13, 2011

Anak Bergaduh, Emak Bertinju

Sejak menyambung persekolahan ke sekolah berasrama, saya jarang balik ke kampung. Sekadarnya bila cuti sekolah. Dan apabila mendapat keputusan SPM, saya terus menyambungkan pengajian dan begitulah, makin lama - saya makin jarang pulang ke kampung.

Namun begitu, ketika emak masih menetap di kampung bersama ayah, emak sebagai 'reporter' selalu mengemaskini berita-berita 'terkini' lagi sensasi yang terjadi di sekelilingnya - kampung kami. Selalunya yang tidak pernah dia 'miss' - berita kematian orang sekampung, pernikahan - dan lain-lain. Lain-lain itu termasuk berita penangkapan budak kampung kerana kes dadah, cerita anak jiran yang melahirkan anak sebelum bernikah dan tak kurang - perang mulut emak-emak, ayah-ayah kerana anak-anak. Huhu.


Bukan sekali dua. Banyak kali juga saya dengar cerita tentang pergaduhan ibu A dan ibu B kerana A dan B bergocoh. Yang paling 'top' - si anak C bergaduh dengan si anak D. Si anak C mengadu kepada si ibu C. Lalu si ibu C mengamuk dan naik angin - menyerang si Ibu D di premis kedai makan Si ibu D. Habis periuk gulai kari di terbalikkan. Si ibu C kena simbah dengan kuah panas - kemudian terjadi kes report mereport saman menyaman di balai polis - sudahnya. Masalah tak selesai sampai sudah. (Polis tak ada masa agaknya nak melayan, ya ka?)

Haih. Tarik nafas panjang-panjang. Anak-anak bergaduh, kalau boleh, ibu-bapa tak perlulah cepat sangat melatah, kaji dan selidik terlebih dahulu. Periksa betul-betul mana akar mana umbi. Mana punca permasalahan dan bagaimana cara yang terbaik yang sepatutnya di lakukan.

Bawa-bawa berbincang. Contohi adab yang ditunjukkan oleh baginda Nabi saw. Bertenang. Jangan bertindak membabi buta. Membuta tuli. Usah diikutkan sangat hawa nafsu, tambahan lagi perasaan yang meluap-luap ketika marah. Ketika marah - akal kadang-kadang gagal berfungsi dengan waras. Orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. Kawal diri.

Dan kalaupun anak kita 'down' kerana di buli. Jangan kita terikut-ikut rasa down. Be strong dan semoga kita dapat menjadi kekuatan kepada anak kita pula. Kalau kita lemah - atau mengikut kata hati - bayangkan bagaimana pula dengan anak kita? Mereka bergantung kepada kita, jadi, suka atau tidak, kalau kita ingin dia positif - yang pertama harus positif adalah kita sendiri. Tunjukkan contoh yang baik, tonjolkan sifat-sifat terpuji seperti pemaaf, berlapang dada, bersangka baik dan positif. Hindari sifat-sifat negatif yang hanya merugikan diri sendiri.

Jika benar kes adalah serius - yang boleh memudaratkan secara keterlaluan. Maka, bertindaklah seperti yang sewajarnya. Keji maki dan kata nista tidak menguntungkan sesiapa. Kita hidup bukan kerana pujian dan moganya, kita tidak mati kerana kejian. Jika ingin dihormati, pertama, kita yang harus menghormati. Jika ingin orang lain berbudi bahasa dengna kita, pertama, kita terlebih dahulu yang harus menjaga budi bahasa.

Untuk meruntuhkan gunung mungkin mustahil tapi kita mungkin mampu menarah busut. Untuk menjadikan sebatang sungai masin mungkin mustahil tapi kita mampu menjadikan secawan air berasa masin.

Untuk mengubah orang lain, tentulah sukar. Tapi insyaAllah, kita mampu mengubah diri sendiri. Mulakan dari diri kita sendiri. Terlebih dahulu.

Kasihi sesama manusia, moga Allah mengasihi kita.


Api lawannya air. Panas lawannya sejuk. Negatif lawannya positif. Barulah natural =)~

Wassalam.

No comments: