Di mulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat Nabi junjungan, Muhammad saw, keluarga dan para sahabat.
Alhamdulillah. Kita masih lagi hidup hingga ke saat ini. Sedangkan telah banyak orang yang kita kenal, seorang demi seorang, pergi meninggalkan kita. Mereka telah kembali ke rahmatullah meninggalkan dunia yang fana ini. Oleh kerana Allah telah berfirman bahawa setiap yang bernyawa, pasti akan mati, maka, giliran kita (mati) juga pasti akan tiba. Cepat atau lambat, hari ini atau hari esok, hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.
Persoalannya, apakah kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi mati?
Apakah kita sudah membeli 'tiket' yang betul untuk menuju ke arah destinasi yang betul yakni syurga?
Apakah kita sudah mempunyai bekalan yang cukup untuk dipersembahkan kepada Tuhan kita ketika hari pembalasan?
Apakah kita sudah bertaubat dengan sesungguh taubat, penuh keikhlasan dan rasa kehambaan?
Apakah kita sudah menempah tempat yang paling selesa di Jannatul Firdaus?
Kaki akan terus melangkah. Tanpa henti mencari arah. Selagi nyawa masih dikandung badan. Selagi itulah Allah izinkan kita mengumpul amal, bertaubat, memohon ampun dan mensuci segala dosa. Selagi itulah peluang untuk kita ke syurga, mahupun ke neraka terbentang luas. Namun, jalan yang manakah yang akan kita pilih? Ke syurga atau ke neraka?
Muhasabah untuk diri ini, moga kita dijauhi dari azab api neraka dan dimasukkan ke syurga bersama mereka yang soleh. Moga kita menjadi orang yang selalu mengingati mati, dan sentiasa bersedia untuk menghadapi mati, insyaAllah.
Amin ya rabbal alamin
No comments:
Post a Comment