Dalam mengejar impian, tentu ada pelbagai cerita disebaliknya. Ada suka, ada duka. Ada tangisan ada ketawa. Ada pahit dan ada manisnya. Sebagai manusia biasa, ini adalah lumrah yang tidak dapat kita elakkan. Segala pengalaman yang dilalui, menjadi asam garam, rempah ratus kehidupan melengkapi sebuah proses kembara di alam fana. Ada yang terjatuh kemudian bangkit, melompat lebih tinggi. Ada juga yang jatuh terduduk lansung terus mengalah. Naauzubillah.
Kepada adik-adik yang baru mendapat keputusan PMR mahupun UPSR, sekalung tahniah kepada kalian yang mendapat keputusan yang cemerlang. Mabruk! Congratulations. Jangan mudah berasa puas dengan kejayaan hari ini, usaha lagi dengan lebih gigih untuk meraih lebih banyak kejayaan, seterusnya menggapai cita-cita yang diidamkan.
Kepada yang kurang cemerlang, jangan bersedih. Gagal sekali bukan gagal selamanya. Banyak orang yang berjaya pada hari ini, juga yang tercatit dalam sejarah dunia, mereka asalnya pernah gagal, tapi tidak pernah berputus asa. Akhirnya kejayaan menjadi milik mereka. Maka, teruskan berusaha ya!
Kepada adik-adik yang bakal mengakhiri zaman pengajian di universiti, jangan gentar dan jangan pula bersedih. Benar, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bernaung menimba ilmu membina ukhwah. Tentu ada yang berat hati untuk mengucapkan selamat tìnggal. Tapi ingat. Ulat tidak akan selamanya menjadi ulat. Bila Allah telah tentukan masanya bertukar menjadi rama-rama, ia pasti menjadi seekor rama-rama. Kata mak saya, life must goes on. Hadapinya dengan tenang dan hati yang terbuka. Bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal menjelma.
Buat sahabat yang bakal menamatkan zaman bujang atau pun baru melangkah ke alam berumahtangga. Alhamdulillah dan tahniah, akhirnya telah bertemu jodoh dan semoga berbahagia hingga ke akhirat. Hargai apa yang kita miliki hari ini seadanya, walaupun milik kita mungkin tidak seindah milik orang, kerana esok belum tentu ia tetap lagi ada dalam genggaman kita. Milik kita, semuanya adalah milik Allah. Ingat, kita sekadar peminjam, penjaga amanah. Begitu juga kepada sahabat-sahabat yang baru bergelar ibu atau ayah, semoga jadi ibu dan ayah yang mithali, yang ikhlas mendidik anak mengenal dan mencintai Allah.
Setiap dari kita, akan merentasi satu demi satu fasa kehidupan. Dilahirkan ke bumi kita tidak tahu apa-apa cuma menangis dan menangis. Tapi Allah telah memberi kita terlalu banyak anugerah dan nikmat, lalu kita membesar dan meningkat dewasa. Dari merangkak kita berlari. Dari seorang pelajar kita beralih ke alam pekerjaan dan begitulah seterusnya, hinggalah kita tua, atau mungkin mati sebelum tiba hari tua. Hanya Allah yang tahu. Bilakah masanya kita akan dijemput kembali ke rahmatullah.
Sungguh. Tiada siapa yang tahu apa yang menanti pada esok hari. Tapi Allah Maha Tahu. Jangan gentar, teruskanlah melangkah. Moga sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi. Semoga setiap langkah kita, membawa kita ke syurga. Amin ya rabb.
No comments:
Post a Comment