+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, May 13, 2010

Bagaimana Kita?

Alhamdulillah, segala pujian hanya milik Allah, Dia yang menghidupkan, Dia yang memberi kita rezeki, memberi kita kesihatan, memberi kita kekuatan, memberi kita keluarga yang sentiasa di sisi, sahabat-sahabat yang sentiasa menemani. Dia yang menunjuk jalan, Dia yang memberi cahaya, Dia yang memberi ilham, Dia yang memberi ketenangan dan kebahagiaan.

Kita nikmatinya percuma tanpa perlukan apa-apa bayaran. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang tergamak kita dustai?

Dia yang memberi kita sakit, Dia yang memberi kita kedukaan, Dia yang memberi kita kepedihan, Dia yang memberi kita kegagalan dan Dia jugalah yang mematikan.

Adakah kita pernah mensyukurinya?

Baik dan buruk semuanya dari Allah, hanya dengan keizinan-Nya.

Berjalanlah di muka bumi milik Allah, hiruplah udara milik Allah. Tapi jangan lupa untuk beribadat dan mensyukuri segala nikmat yang Dia berikan.

Kita hidup, dengan keizinannya, hingga bila, hanya Dia yang tahu. Jangan lupa bahawasanya setiap detik masa berlalu, itu juga bermakna sedetik kita menghampiri mati. Mati kian mendekat, mungkin esok atau lusa.

Apa bekalan kita untuk di bawa ke negeri abadi?

Harta kekayaan, kereta, rumah, semua pinjaman. Bila mati semuanya ditinggalkan. Kita seorang diri juga, masuk ke kubur berdepan dengan Malaikat Munkar dan Nakir. Saat mulut terkunci, tangan dan kaki berbicara. Apa agaknya jawapan tangan dan kaki kita kelak? Menangiskah mereka? Ketakutankah mereka? Apalah agaknya nasib mereka yang akan menjawab setiap pertanyaan malaikat?

Jauhilah kami dari azab kubur. Ya Tuhan. Jauhilah kami dari azab sengsara di hari akhirat kelak Ya Rabbi.

Di dunia abadi kita sebatang kara. Tiada saudara mara. Tiada harta benda. Tiada segalanya kecuali amal ibadat kita ketika hidup.

Bagaimana timbangan kita kelak? Amalan baik atau buruk yang lebih berat? Buku kanan atau kiri yang akan diambil dahulu. Bagaimana keadaan kita ketika meniti titian siratul mustakim? Merangkak atau berlari? Atau terjatuh ke dalam api neraka yang dasyat? Bagaimana rupa kita kelak ketika berkumpul di padang mahsyar? Menyerupai anjing atau babi? Berwajah cemberut atau bercahaya?

Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dari-Mu aku datang, kepada-Mu jua aku kembali.

No comments: