+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, May 28, 2010

Yang Baru

Salam wbt..

Semoga semuanya dirahmati Allah, Tuhan sekelian alam. Saya menyusun sepuluh jari, mohon maaf banyak-banyak, kerana sudah lama tidak update blog ini dengan entri-entri baru. Kelemahan dari pihak saya sendiri yang gagal menguruskan masa dengan lebih baik, sibuk berpanjangan, tiada masa sengkang dan macam-macam lagi.

Sekadar berkongsi, tanggal 13 Mei yang lepas, saya sudah mula bekerja di tempat baru. Setelah lebih sebulan tidak terikat dengan mana-mana majikan, akhirnya saya berjodoh dengan tempat kerja baru. Setelah lebih 3 tahun tidak hadiri mana-mana interview dan tempat kerja saya ini adalah interview pertama yang saya hadiri. Syukur, setelah interview kedua, keesokannya saya mendapat panggilan telefon dari pihak majikan untuk meminta saya hadir melapor diri, memulakan kerja di tempat baru itu. Alhamdulillah.

Saya tidak tahu masa depan saya bagaiamana, apa nasib saya pada masa akan datang. Namun saya hanya mampu berdoa dan berusaha, agar pilihan saya ini adalah yang terbaik, untuk dunia dan akhirat saya.

Sebaik sahaja saya memulakan kerja setelah dua hari mendapat panggilan telefon, banyak pula panggilan telefon yang saya terima untuk memanggil saya menghadiri interview, ada juga yang memanggil untuk hadir interview kali ke dua (80% biasanya dapat). Mentah-mentah saya tolak panggilan lain dan dalam hati berdoa agar pilihan saya di tempat kerja sekarang adalah yang terbaik dan moga Allah tetapkan hati saya.

Lari dan lari bukan penyelesaian terbaik. Sebaiknya adalah berhadapan dengan kenyataan dan cuba mengubahnya menjadi yang terbaik. Saya ingin mencuba agar dapat jadi seperti itu.

Selain mula bertugas di tempat baru, minggu lepas juga saya bersama teman serumah sekali lagi terpaksa berpindah rumah, setelah baru lebih kurang 6 bulan menyewa di rumah lama. Begitulah yang jadi bila tuan rumah mementingkan diri dan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesusahan pihak lain. Tuan rumah telah menjual rumah tersebut lalu kami diberi notis sebulan setengah untuk mengosongkan rumah. Kena pulangkan kunci rumah pada 30 Mei 2010. Penat memunggah barang dari rumah terdahulu belum hilang, kini berpindah lagi, memang agak mendukacitakan. Namun kami juga tiada pilihan.

Kerja baru, rumah baru. Hijrahlah diri. Semoga diri jadi lebih baik. Berhijrah dari seorang yang kurang baik kepada seorang hamba Allah yang lebih baik.

Kadang masanya, bukan semua yang kita mahu kita miliki. Kadang masanya, apa yang kita dapat adalah bukan apa yang kita mahu.

Sesungguhnya, Allah jualah yang lebih mengetahui. Biar baik atau buruk, semuanya di tangan Dia. Mungkin di tangan kita bukan apa yang terbaik pada firasat kita, bukanlah apa yang kita mahu, tapi cubalah untuk redha dan bersyukur, terima anugerah dan pemberian Allah seadanya, dan, berusaha untuk menjadikannya yang terbaik, Allah sentiasa ada untuk kita.

Moga impian jadi kenyataan, insyaAllah.


No comments: