+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, May 16, 2010

Skandal: Suka-suka Jadi Duka

Meneliti thread-thread yang dibuka di ruangan forum iluvislam, semalam saya sempat membaca satu thread yang dibuka oleh seorang gadis berusia 20 tahun. Masalah yang beliau ajukan adalah berkenaan dengan dirinya yang telah terjerat dalam cinta tiga segi, cinta larangan, dengan seorang lelaki yang juga orang atasannya, berusia lebih tua 15 tahun dan telah mempunyai 3 orang anak dan seorang isteri yang sedang sarat mengandung.


Alkisah, begitulah. Dah tahu si lelaki sudah beristeri, mula-mula melayan sekadar suka-suka lama-lama bakal menerbitkan duka di hati, bukan hanya pada diri sendiri tapi juga membabitkan pihak lain termasuk isteri lelaki tersebut, anak-anaknya dan keluarga kedua belah pihak jika seandainya perkara ini dibiarkan berlarutan.


Suka saya ingatkan, poligami halal dalam Islam, selagi si lelaki berkemampuan dari segi zahir dan batin, emosi dan fizikal, adil kepada ke semua pihak yang terbabit dan bertanggungjawab kepada kesemua tanggungannya. Jujur dan ikhlas dalam niat mendirikan rumah tangga, bukan sekadar melempiaskan nafsu atau berhibur semata-mata. Islam ada meletakkan syarat-syarat untuk poligami dan selagi syarat tersebut dipatuhi, insyaALLAH, tiada pihak yang akan teraniaya.


Berbalik kepada kisah si gadis yang terlibat dengan cinta terlarang suami orang. Bagi gadis semuda itu, yang perlukan perhatian dan kasih sayang, bila disogok dengan kata-kata manis, janji-janji yang belum tentu kesahihannya, mudah benar terpedaya dan terperangkap.

Hakikatnya, dia sendiri tidak yakin sejauhmana keikhlasan lelaki itu terhadapnya. Adakah sekadar tempat bersuka ria, tempat melempiaskan nafsu atau 'spare part' sementara isteri sedang berpantang kerana melahirkan anak? Kalau baru beberapa hari kenal sudah mula mesej-mesej 'menggoda' dengan panggilan sayang dan sebagainya, adakah lelaki sebegini layak untuk menjadi suami dan ketua kepada dua buah keluarga? Mudahnya jatuh cinta, tidak mustahil kelak nanti bila berkenalan dengan perempuan lain pula, akan jatuh cinta lagi. Dan sampai bila? Fikir-fikirkan wahai wanita..



Seandainya dia benar-benar ikhlas mahu mengambil kita sebagai isteri, ada caranya yang bersesuaian dengan syariat Islam. Bukan dengan cara melanggar batasan. Bukan dengan cara menipu dan tidak jujur kepada isterinya. Bukan dengan hanya memberi janji-janji palsu. Berhati-hatilah dengan lelaki yang suka menabur janji dan kata-kata manis. Tambahan lagi lelaki yang sudah banyak pengalaman dalam berumah tangga. Tahu mana 'kelemahan' wanita dan mudah untuk mengambil kesempatan.


Bayangkan kita di tempat isteri si dia. Apa agaknya perasaan kita seandainya kita tahu suami yang kita cinta, kita sayang, kita percaya, rupa-rupanya mengkhianati kita. Pastinya hancur luluh perasaan kita. Siapa yang sanggup diduakan? Siapa yang sanggup dipinggirkan atau diabaikan? Siapa yang sanggup berkongsi kasih apatah lagi berkongsi suami? Mungkin ada, tapi tidak ramai yang mampu.


Jika kita tidak mahu disakiti, oleh itu, terlebih dahulu hendaklah kita jangan menyakiti hati orang lain. Jika kita mahu bahagia, oleh itu, jangan robohkan kebahagiaan orang lain. Jika kita mahu lelaki yang penyayang, bertanggungjawab, mencintai kita sepenuhnya maka jauhilah skandal yang hanya mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.


Ini sekadar pendapat dan pandangan saya semata-mata. Mohon maaf andai ada yang tidak berkenan.


Wassalam.

2 comments:

Rasailul Ashwaq said...

Entah kenapa saya rasa nak salahkan perempuan muda tersebut. Bukannya lelaki tu selindungkan status 'suami'. Dia mempunyai pilihan untuk melayan atau tak. Dia tahu isteri majikan dia mengandung~ sarat mengandung~ dan dia masih lagi kata 'tak mampu tolak setiap kali dihubungi'.

Adakah 'ayat lelaki' alasan yang munasabah untuk terjatuh dalam skandal ini? Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi~

eCcentric eL said...

Tak mampu tolak sebab takde pendirian diri atau sebab kedudukan bos yang tinggi & takut dibuang kerja? Aku rasa mana2 situasi dia pun kalau cukup kuat & berdiri atas kaki & rasional sendiri, pasti dapat selesaikan masalah ni, insyaAllah...

Aku sebenarnya ada sorang kawan yg agak rapat terjebak dalam hal ni jugak. Bila diteliti... semuanya memang berbalik pada pegangan agama yang rapuh. Terlalu hanyut mengikut perasaan. Puas dah nasihatkan. Sampai si Isteri sah sang Suami tu tahu hal 'skandal', on-off, on-off. Apa yang dikejar, wallahua'lam. Hanya ambil sebagai pengajaran diri supaya jaga suami sendiri baik2 :D