"Banyaknya masalah saya. Apa yang patut saya buat?"
"Solat!"
"Solat dapat menyelesaikan semua masalah? Tak percayalah. Kalau betul solat boleh selesaikan semua masalah, kenapa orang yang solat juga ada masalah?"
Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt.. Apa khabar sahabat yang dikasihi Allah? Moga sihat-sihat sokmo, bahagia hendaknya di sisi orang-orang yang tersayang. Oh. Jika pun sedang sendirian, ingat ayat ini, Allah swt berfirman dalam Surah Al-Hadid, ayat yang ke-4, maksudnya..
Audzubillahiminasyyaitanirrojim..
"Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."
Sadaqallahuladzim.
Wah, lama betul ni saya tak menulis. Excited pulak. Alhamdulillah, syukur kerana Allah izinkan saya untuk on laptop dan seterusnya klik blogspot ini. Syukur juga kerana Allah yang berikan ilham. Tak mengapalah walaupun tak banyak, tak indah, tak ilmiah, yang sikit ini saya syukuri. :)
Baik, kembali kepada tajuk asal (niat asal entri kali ini) - solat menyelesaikan masalah?
Apa pendapat kalian?
Tahukah kita. Kebanyakan pasangan suami isteri muslim yang bercerai puncanya adalah kerana mereka tidak solat? Kebanyakan masalah sosial dan gejala maksiat berlaku puncanya adalah kerana mereka tidak solat? Anak-anak derhaka kepada ibu dan bapa mereka kebanyakannya berpunca daripada tidak solat. Masalah kewangan menghimpit, pendapatan tidak menentu, hutang sekeliling pinggang, puncanya adalah kerana tidak solat? Benarkah begitu?
Nah. Cuma beberapa contoh. Kita sendiri boleh lihat diri kita dan orang-orang sekeliling kita. Kita lebih tahu samada ya atau tidak.
Soalannya lagi. Bagaimana pula tidak solat boleh menjadi punca permasalahan?
Allah swt berfirman, menurunkan perintah berulang kali, menyuruh hamba-Nya berulang kali, berulang-ulang kali di dalam Al-Quran...
"Tunaikanlah solat!" "Dirikanlah solat" "Kerjakanlah solat" "Bangunlah untuk solat" "Solat itu kewajipan" "
Hadis Nabi saw juga banyak menyebut tentang solat. Tunaikan yang wajib, juga jangan dilupakan solat yang sunat. Apa yang Nabi saw buat, ayuhlah kita ikut. Jika pun tak mampu lakukan kesemuanya, janganlah pula kita tinggalkan kesemuanya. Sesungguhnya, dengan mengikuti sunnah Nabi saw juga bermakna kita mengasihi Allah swt.
Allah swt berfirman,
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(A-li'Imraan 3:31)
Solat lima waktu itu merupakan suatu kefarduan kepada seluruh umat Islam yang berakal dan baligh. Wajib dilaksanakan. Jika kita tidak tunaikan solat tanpa sebarang keuzuran, kita berdosa. Kita 'berhutang' kepada Allah swt. Pun begitu, kita juga disarankan menunaikan solat-solat sunat kerana, selain daripada ia dapat 'menampal' kekurangan dalam solat fardu, solat sunat juga banyak fadilatnya seperti yang telah disebut dalam banyak hadis Nabi saw.
Solat sunat juga dapat menambahkan lagi 'kelazatan' dalam beribadat. Meneguhkan lagi keimanan kita. Mengindahkan lagi perasaan sebagai hamba. Memantapkan lagi kehidupan seharian kita sebagai seorang muslim. Mendekatkan lagi kita dengan ALlah kerana lebih kerap 'berhubung' dengan-Nya.
Soalannya lagi. Bagaimana pula tidak solat boleh menjadi punca permasalahan?
Allah swt yang menciptakan kita dan seluruh alam ini. Dia yang berkuasa ke atas seluruh alam ini, juga setiap apa yang ada di alam ini termasuk kita, manusia yang diciptakan sebagai hamba untuk beribadat kepada-Nya. Allah juga telah memilih insan-insan terpilih sebagai Rasul untuk menyampaikan risalah-Nya, membawa umat manusia kepada kebenaran, menyelamatkan manusia daripada azab api neraka dan sebagai rahmat ke seluruh alam. Allah juga menurunkan kitab kepada Rasul-rasul pilihan-Nya, Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw sebagai petunjuk dan penerang kegelapan. Di dalam al-Quran terkandung pelbagai suruhan dan larangan-Nya. Antara suruhan dan kefarduan bagi ummat Islam adalah mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Jika tiangnya runtuh, apa lagi yang tinggal? Apabila agama telah runtuh, di mana Allah di hati kita? Bagaimana keimanan kita? Apa pula panduan dan pegangan kita? Siapa teladan kita? Jika Allah tiada di hati, siapa/apa yang berada di hati kita pada tangga yang teratas?? Siapa yang paling kita yakini? Bagaimana kita boleh percaya pada syurga dan neraka? Pada malaikat-malaikat yang sentiasa mencatit segala amalan dan perbuatan kita? Kepada siapa kita berserah diri dan memohon pertolongan?
Jawab semua soalan ini, dan kerana itulah, dengan izin ALlah, tidak solat sering menjadi punca utama tercetusnya pelbagai masalah.
Oh. Begitu.. Tapi, mengapa pula orang yang solat juga tidak sunyi daripada masalah?
Bukankah dunia ini penjara bagi mereka yang beriman? Allah tidak pernah menjanjikan kesenangan di atas dunia kepada mereka yang beriman tetapi Allah menjanjikan syurga kepada mereka yang taat segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Allah juga berfirman bahawasanya, akhirat itu jauh lebih baik daripada dunia. Allah berfirman lagi, dunia ini hanyalah taman tempat bergurau senda, akhirat itulah yang abadi.
Orang yang solat kerana Allah, bila ditimpa musibah, dia akan bersabar dan bertambah keimanannya. Orang yang solat kerana Allah, apabila berhadapan dengan masalah, dia akan merujuk kepada al-Quran dan hadis Nabi saw. Orang yang solat kerana Allah, apabila dalam kesusahan, dia berserah sepenuhnya kepada Allah. Memohon pertolongan daripada ALlah swt. Orang yang solat kerana Allah, tidak merasa sunyi walaupun hidup sendirian kerana yakin Allah swt sentiasa ada bersamanya.
Orang yang solat kerana Allah, biarpun dugaan yang menimpanya terlalu hebat, walau sehebat manapun dugaan itu, akan dirasakan kecil kerana keyakinannya kepada kekuasaan Allah, yakin bahawa Allah menjadikan setiap sesuatu bukan untuk sia-sia. Orang yang solat kerana Allah sentiasa bersangka baik kepada Allah.
Percaya dengan sepenuh hati. Kerana Allah itu Maha Besar, semua masalah dirasakan kecil. Kerana Allah itu Maha Kuasa, segala ujian dapat diharungi dengan tabah.
Orang yang tidak solat menempah masalah. Jika pun di dunia terselamat, di akhirat tidak akan lepas. Orang yang solat akan mendapat kejayaan. Jika pun di dunia 'belum berjaya,' di akhirat nanti pasti mendapat hasilnya.
Bukankah dalam seruan azan juga berbunyi..
"Haiyya alassolah.. Haiyya alalfalah.."
"Marilah dirikan solat.. " " Marilah mendapat kejayaan"
Ayuh. Jom kita solat. Tunaikan yang fardu, tambah lagi dengan yang sunat. Cuba, amalkan setiap hari, solat-solat sunat berikut;
1- Solat sunat sebelum Subuh
2- Solat sunat Dhuha
3- Solat Sunat sebelum Zohor ( 4 rakaat)
4- Solat Sunat selepas Zohor (2 rakaat)
5- Solat Sunat selepas Maghrib
6- Solat Sunat Selepas Isyak
7- Solat Sunat Witir
8- Solat Sunat Tahajud.
InsyaALlah, jika dapat laksanakan solat-solat sunnat ini, ditambah dengan solat Sunat Taubat dan Solat Sunat Hajat, insyaAllah, nikmat solat itu makin terasa 'efeknya'. Sebelum tidur, lakukanlah solat Sunat Witir. Cuba tidur awal, dan niatkan untuk bangun awal untuk Solat Tahajud. Solat Sunat Tahajud lebih afdhal dilakukan pada dua pertiga malam. Tapi, jika tak mampu untuk bangun dua pertiga malam, tak mengapalah. Bangun seawal pagi, jam lima pagi.
Terus mandi dan sesudah itu tunaikanlah solat Sunat Tahajud. InsyaAllah ada sedikit masa untuk zikir atau membaca al-Quran sementara menanti waktu Subuh. Kepada muslimin, tunaikanlah solat di Masjid/Surau. Kepada muslimah, segerakanlah tunaikan solat Sunat Subuh dan seterusnya dirikanlah Solat Subuh.. Sesudah itu, mulakan hari dengan membaca Al-Mathurat. Saya sekadar berkongsi.. Cubalah. Susun jadual begini.. Cuba amalkan setiap hari.. Semoga memperoleh kemanisan iman, kelazatan dalam beribadat.. Semoga bertambah keimanan kita, insya Allah..
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku." Surah Ibrahim, ayat 40
* Disclaimer. Kesemua gambar dalam entri kali ini bukan hak milik semut2comel.blogspot. Gambar-gambar ini diambil daripada carian google. Harap maklum.
1 comment:
Sepatutnya.. Makan nasi dah cukup untuk kita merasa kenyang. tapi kenapa kita tak mahu makan nasi kosong? kita mahu kuah mahu lauk mahu sayur mahu budu mahu sambal belacan.
Begitulah sepatutunya solat solat sunat menambahkan lagi kelazatan dalam beribadat. Sebagai 'perisa tambahan'..
Jom. Tambah lagi ilmu. Solat sunat jom...
Post a Comment