+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, May 14, 2011

Mencuba Menjadi yang Lebih Baik




Alhamdulillah. Jumaat datang lagi. ALhamdulillah juga, kerana Jumaat ini, bukanlah Jumaat yang Allah takdirkan datangnya Kiamat. Dan sekali lagi ALhamdulillah, kerana Jumaat ini, saat ini, Allah belum tuliskan ajal untuk kita.

“Maka nikmat Tuhanmu yang mana lagi ingin kamu dustai?” – Ar-Rahman.

Kata bijak pandai, orang yang hari ini lebih teruk dari hari semalam adalah orang yang rugi, atau dengan kata lain, orang yang beruntung adalah orang yang lebih baik dari hari-hari yang lepas. Maknanya, kita setiap hari, harus mestilah bertambah baik dan baik. InsyaAllah, dengan niat baik dan usaha – kita mampu melakukannya. Mungkin gaji kita tak mungkin akan bertambah setiap hari, tapi apa yang mampu kita lakukan, mungkin senyuman kita hari ini lebih baik dari semalam. Kalau semalam kita senyum apabila orang yang memulakan senyum, mungkin hari ini – elok kita pula yang mendahului.

Bukankah senyum pun sedekah? :)

Okeh. Mari kita hijrah! Tanpa perlu menunggu 1 Muharam. Setiap hari juga perlu berhijrah, dari kondisi yang kurang baik kepada yang lebih baik, insyaALlah. Hari ini, ingin saya sentuh isu “hubungan sesama manusia..”

” Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungan-Nya dengan orang tersebut.”(HR. Hakim)

Mencuba.

“Jagalah hubungan dengan Allah. Jagalah hubungan dengan manusia!”

Allah berfirman, dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8, maksudnya;

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampong halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.”

Jadi, suka saya ingatkan diri saya sendiri, agar dapat mencontohi keperibadian sebaik-baik manusia, yakni Muhammad saw. Dalam bermuamalat, berurusan sesame manusia, janganlah kita melampau batasan. Sentiasa berbuat baik dengan semua orang. Jika Nabi pernah dibaling batu dan najis namun apabila malaikat ingin membalas perbuatan keji mereka – Nabi yang mulia menegahnya. “Jangan! Mereka belum tahu!”. Malahan, sempat pula Nabi mendoakan kebaikan untuk mereka. Selawat dan salam buat Nabi junjungan.

Wahai diri. Apalah sangat ujian dan dugaan kita? Adakah kita pernah dibaling batu sehingga selipar kita basah dengan darah? Tidak! Tak pernah! Jauh sekali. 'Dibaling' dengan kata-kata sinis pun kita sudah melenting sebenarnya. Apatah lagi dengan batu atau najis. Belum ada dalam kamus hidup kita. Sedangkan Nabi Muhammad SAW, menanggung segala keperitan dan kepayahan - demi menyebarkan dan menegakkan Islam.

"Wahai Nabi - terimalah kami sebagai ummatmu. Berikanlah kami syafaat..."

Wahai diri. Jangan kerana benci dan dendam, kita telah melakukan kezaliman. Menganiaya orang mahupun diri sendiri. Apalah sangat hidup di dunia ini jika ingin dibandingkan dengan hidup di akhirat yang kekal abadi, apalah sangat pandangan manusia jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah? Bukankah kita hidup untuk mati – untuk mengumpul bekalan menuju hari mati?

Untuk apa kita bermusuh-musuhan, (tidak kira mereka seagama dengan kita atau pun tidak) – andainya hanya ganjaran Allah semata-mata yang kita harap-harapkan? Kepada semua yang pernah saya lukai - saya minta maaf.

Malaikat di bahu kanan dan kiri sentiasa mencatit ke dalam buku catitan amal, setiap apa yang kita lakukan. Buku catatan amal di kanan dan kiri inilah yang akan menjadi bukti – menentukan samada kita ke syurga atau ke neraka. Biarpun sekecil-kecil amalan kebaikan atau kejahatan, semuanya akan dicatit dan kelak akan dihitung. Ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah suka kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan. Ini terbukti apabila Allah berfirman bahawa Dia menggandakan ganjaran berlipat kali ganda kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan, tetapi, hanya membalas setimpal kejahatan yang dilakukan. Maha suci Allah.

Allah berfirman, dalam surah Al-Qasas;

"Barangsiapa datang dengan membawa kebaikan maka dia akan mendapat pahala yang LEBIH baik; dan barang siapa yang datang dengan membawa kejahatan,maka orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu hanya diberi balasan yang SETIMPAL dengan apa yang mereka kerjakan." (Al-Qasas : 84)

Jadi..

“Niikmat Tuhanmu yang mana lagi ingin kamu dustai?” – Ar-Rahman.

Jom! Marilah kita berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan!

"Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang di antara kamu dengan orang-orang yang pernah kamu musuhi dari kalangan mereka. Allah maha kuasa. Dan Allah maha pengampun, maha penyayang." (Al-Mumtahanah : ayat 7)

Kita. Setiap dari kita adalah duta kepada agama kita. Bukankah agama kita indah. Agama kita menyuruh ummatnya melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Usah menyakiti hati orang, sindir menyindir, perli-memerli. Kitaran ini tidak akan ke mana-mana, dan tidak mendatangkan keuntungan kepada sesiapa. Ingat Allah dalam setiap apa yang kita lakukan.

Peringatan untuk diri saya sendiri. Kita adalah duta agama kita. Jangan kerana kita, sifat negative kita – agama kita yang dipersalahkan. Ayuh. Tunjukkan sikap dan keperibadian yang mulia. Biarpun diberi racun, kerana Allah, cubalah untuk membalasnya dengan madu. Biarlah mereka berterus-terusan berbuat kejahatan, mungkin mereka tidak tahu, jom, kita sama-sama doakan kebaikan buat mereka. InsyaALlah.

"Ya Tuhan kami, janganlah Kau jadikan kami sasaran (fitnah) bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami, ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau yang maha perkasa, yang maha bijaksana.” (Al-Mumtahanah : ayat 5)


SAHABAT.  DOAKAN AGAR SAYA, DAN KITA SEMUA, MENDAPAT KEBERKATAN DAN RAHMAT, SERTA KEAMPUNAN DARI-NYA. WASSALAM.

No comments: