+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, May 4, 2011

Dialah Permata



19 Mei nanti, insyaAllah, ibunda saya akan menyambut ulangtahun kelahirannya, yang ke-61. Jika Allah panjangkan lagi umurnya.. Sudah lebih enam dekad rupanya ibu menghirup udara di atas bumi indah ciptaan Ilahi. Sudah lebih enam dekad juga ibu berjalan di atas tanah, di bawah langit ciptaan-Nya. Maha suci Allah yang menciptakan segalanya, menciptakan ibu yang melahirkan saya. Alhamdulillah.

Mungkin ramai antara kita yang masih belum punyai anak, tapi yang pasti, kita semua punyai ibu. Tidak kira siapa atau bagaimana rupa ibu kita, sebagai anak yang dikandung dan dilahirkan olehnya, kita diwajibkan agar berbuat baik kepada ibu dan bapa kita, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Israk;

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
(Al-Israa' 17:23)


"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' 17:24)  

Harus saya akui, ibunda saya bukanlah seorang ibu yang seratus peratus sempurna. Harus juga saya akui, di mata dunia, ibunda bukanlah sesiapa, namun di mata saya -  ibulah dunia saya. Tanpa dia, tidak mungkin saya wujud di dunia ini dengan izin Allah. Tanpa dia, saya hari ini belum tentu saya yang seperti sekarang ini. Pada saya, dialah ibu yang terbaik yang pernah saya temui.

Sempena cuti umum baru-baru ini, saya sekeluarga, bersama emak, kakak sekeluarga dan adik-adik telah diberi keizinan oleh Allah untuk kembali ke kampung - asal usul kami - Kelantan. Dengan izin Allah juga, kami berkesempatan untuk kembali ke rumah pusaka arwah ayah, yang kian lama kian uzur, bagai menanti masa ingin tumbang.

Rumah usang itulah yang menyimpan pelbagai kisah suka dan duka kami sekeluarga. Rumah usang yang menjadi saksi pelbagai episod kehidupan kami sekeluarga. Rumah usang yang merakam setiap kenangan kami anak beranak selama kami bernaung di dalamnya. Dan ya. Tentulah ibu paling banyak kenangannya bersama rumah ini. Bersama arwah ayah. Sejak mula mendirikan rumah tangga sehingga saat terakhir, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir - juga di rumah usang itu.

Semenjak arwah ayah kembali ke rahmatullah - 2006, ibu telah menetap bersama kakak saya di Selangor. Kami anak beranak semuanya berpindah - tinggallah rumah pusaka penuh memori itu kosong tanpa penghuni. Saban hari berganti hari, tahun berganti tahun, rupa-rupanya sudah hampir 5 tahun rumah itu tidak berpenghuni.. Patutlah ia merajuk, 'memakan dirinya' sendiri. Habis reput lantai dan dinding. Atap pula tiris. Mungkin itu tandanya ia sedang 'memprotes'. Berkecil hati kerana ditinggalkan tanpa tuan.
Rumah usang itu bagai memanggil-memanggil aku pulang. 

Sedih kami melihat rumah kenangan itu jadi begitu. Apatah lagi ibu. Tentu sekali hatinya tersayat pilu jauh berganda-ganda dari kami adik-beradik. Sayang meninggalkan kampung halaman, rumah kenangan -  tapi apakan daya, ibu juga tiada pilihan. Kami adk beradik semuanya telah berkerja dan berhijrah ke kota - andai ibu memilih untuk terus menetap di kampung - maknanya - ibu bersendirian. Manalah kami adik-beradik sanggup membiarkan ibu sendirian jauh di desa. Maka ibu 'diheret' sekali ke kota. Sejak itu, jadilah ibu bagai sang burung di dalam sangkar emas.. 

Hati ibu meronta-ronta ingin kembali menetap di kampung. Aku juga mengerti ibu - tapi bagaimana yang seharusnya aku lakukakan?

Tahun berganti tahun - kadang-kadang saya lupa. Usia ibu kian meningkat dan membawa makna, ibu juga kian menghampiri mati. Ah. Ajal maut tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Mungkin juga saya yang pergi dulu, tapi apakah nanti ibu cukup kuat untuk melepaskan saya pergi? Cukuplah ibu menangisi pemergian arwah atuk dan nenek, kemudiannya arwah ayah. Saya tidak sanggup melihat ibu menangis sekali lagi.

Saya sayang ibu, tapi saya tahu, ibu lebih menyayangi saya. Terkini, saya 'termerajuk' dengan ibu. Ibu sangat serba salah dan sedaya upaya memujuk saya. Sungguh saya malu dengan ibu. Tergamak saya buat ibu begitu. Ibu adalah ibu saya. Tak seharusnya ibu merendah diri begitu. Saya malu. Maafkan saya ibu.

Baru-baru ini juga, ketika sedang mencuci pinggan mangkuk di dapur. Ibu dan keluarga di ruang tamu. Prangg!! Bunyi kaca pecah. Gelas terlepas dari tangan. Ibu cepat-cepat datang. "Ajalnya dah sampai." Itu kata ibu seperti kala dulu setiap kali saya memecah pinggan mangkuk tanpa sengaja. Bukan saja tak pernah memarahi, tapi ibulah yang sentiasa setia membersihkan serpihan kaca yang berserakan. Itu ibu lakukan sejak saya masih kecil - hingga kini saya berusia hampir tiga dekad. Ibu masih begitu. Tiada ibu yang boleh menggantikan tempat ibu - ibulah yang terbaik.

Terima kasih Allah kerana pinjamkan ibu sebagai ibu saya.

Bercerita tentang ibu, tak mungkin akan pernah habis. Namun cukup setakat ini saya berkongsi. Selebihnya, biarlah saya simpan kemas dalam kotak memori. Moga saya dan adik beradik diberi keampunan, menjadi anak yang soleh dan solehah, agar kami dapat memimpin tangan ibu dan ayah - bersama menuju syurga.

Allah. Bukannya mudah ke syurga dan bukan pula susah ke neraka. Namun aku tak ingin menjadi penghuni neraka-Mu. Aku juga ingin bersama keluargaku - di syurga kelak.

Aku rindu ibu. Aku rindu ayah. Al-fatihah untuk ibu dan ayah, juga untuk semua yang bergelar ibu dan ayah.





No comments: