+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, May 28, 2011

Di Sebalik Musibah





Ketika sedang berjalan pulang dari tempat kerja tengah hari tadi, kebetulan seiring pula dengan seorang lagi rakan sekerja. Perbualan ringkas antara kami, sempat dia menceritakan sebuah cerita ringkas yang dibaca dari majalah Solusi.

Ceritanya begini.

Ada seorang hamba Allah (kita namakan sebagai Abdullah) telah terdampar di sebuah pulau keseorangan. Setiap hari, dia menanti di pesisiran pantai, berharap agar ada kapal yang lalu di sekitar pulau itu dan dapat membawanya keluar dari situ. Hari demi hari, Abdullah terus menanti dan menanti tanpa jemu, hingga akhirnya dia berputus asa, kemudian membuat keputusan untuk tidak lagi terus menanti. Dia nekad untuk meneruskan kehidupannya seorang diri di pulau itu.

Abdullah mencari ikhtiar untuk membina hidup baru. Dia kemudiannya mencari dan mengumpulkan kayu-kayu dan daun-daun untuk membuat tempat berteduh. Setelah berusaha gigih, akhirnya, rumah yang dibina pun siap. Abdullah gembira dengan kejayaannya itu, dan mencuba meneruskan kehidupan baru.

Pada suatu hari, Abdullah telah masuk ke dalam hutan untuk mencari makanan. Sekembalinya dari hutan, Abdullah terkejut melihat rumahnya hangus terbakar. Sedih, kecewa, marah, hingga akhirnya Abdullah benar-benar berasa putus asa.

Namun, tidak disangka-sangka, sebuah kapal akhirnya datang ke pulau tersebut untuk menyelamatkan Abdullah. Lalu Abdullah tertanya-tanya. 

Rupa-rupanya, rumahnya yang terbakar itu, telah memberi isyarat kepada orang yang melihatnya - api dan asap, membawa makna - ada orang dalam kecemasan yang memerlukan pertolongan. Lalu Abdullah insaf, di sebalik musibah rupanya ada hikmah yang menanti.

Sahabat..

Ingatlah firman Allah,

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. "(At-Taghaabun 64:11)

"Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." (At-Talaaq 65:7)
 
Bila diri diuji dengan musibah. Pujuklah diri sendiri agar sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Percaya diri bahawa setiap apa yang Allah ciptakan, tiada yang untuk sia-sia. Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Barangkali kita menyangkakan ianya buruk buat kita, tapi Allah lebih mengetahui segalanya, dan mungkin itulah sebenar-benarnya yang terbaik buat kita. Wallahua'alam.

Mungkin kita pernah terlupa dan alpa.. Astagfirullahalazim...

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.. "(At-Tahriim 66:8)

No comments: