Seseorang telah mengingatkan saya tentang entri ini.. Seorang sahabat yang begitu dekat di hati. Sebelum ini pernah saya kongsikan DI SINI.. Kali ini, suka saya kongsikan sekali lagi. Moga-moga bermanfaat, buat saya sendiri, dan kita semua, insyaALlah..
Saya sendiri lupa, entah berapa kali saya ucapkan dan bisikkan kata-kata ini kepada diri saya sendiri.
"Allah kan ada." "Allah kan ada." "Allah kan ada."
"Allah kan ada." "Allah kan ada."
Atau mungkin hakikatnya, saya sebenarnya tidak pernah menghitung bilangannya, tidak mampu mengingati bila kali pertama saya membisikkan kalimah itu dan sesungguhnya juga, baru sebentar tadi saya mengucapkan kata-kata itu lagi.
"Allah kan ada."
Inilah kalimah keramat yang menghubungkan aku dengan Tuhanku. Agar aku sentiasa ingat. Agar aku tidak lupa, bahawa sesungguhnya aku tidak pernah sendirian.
Allahu. Ikutkan hati mati. Ikutkan rasa, binasa. Sungguh, kadang-kadang saya sendiri lelah dalam mengharungi arus kehidupan. Ada masanya saya nyaris berputus asa, mahu saja mengalah tidak mahu meneruskan langkah untuk terus mara ke hadapan. Pernah juga terlintas di fikiran senteng ini, 'alangkah bagusnya andai diri ini tidur.. sampai... bila-bila..'
Astagfirullahalazim. Singkat sungguh pemikiran hamba-Mu ini. Seolah-olah mati mampu menyelesaikan segala masalah. Ibarat mati penamat segala derita. Lupa, bahawasanya sesudah mati, alam abadi sedang menanti. Ampunkanlah dosaku Ya Tuhan. Mudah benar hamba-Mu ini menzalimi dirinya sendiri.
Sungguh Allah tahu. Betapa diri ini kian menghampiri keputus-asaan. Betapa diri ini makin goyah, mudah untuk menyerah kalah pada dugaan dan ujian yang datang menduga. Allah Maha Mengetahui dan walaupun saya tahu Allah tahu, tapi entah mengapa sering saja diri ini mahu memalingkan wajah. Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosaku Ya Rabbi..
Namun begitu. Biar apapun kesukaran. Saya masih lagi saya. Saya masih lagi mampu tersenyum, masih mampu meneruskan langkah. Sungguh. Saya bersyukur pada Ilahi, kerana Dia tidak pernah meninggalkan diri ini keseorangan.
Saya bersyukur sesungguhnya, kerana saya insan terpilih, yang dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam. Kerana saya beragama Islam, saya yakin bahawasanya Allah sentiasa ada bersama saya. Setiap kali kaki terasa penat, jiwa terasa kosong, hidup terasa sepi, bahu terasa berat, kepala bagaikan mahu pecah, kalimah ini terngiang-ngiang di telinga ini..
"Allah kan ada."
Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana agaknya hidup ini tanpa Allah.
Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana hidup mereka yang tidak yakin dan percaya pada Allah. Menyedihkan.
Bayangkan, diri terasa penat dan lelah, hidup sarat dengan penderitaan yang tidak pernah mahu berakhir, sering saja jatuh ditimpa tangga pula. Ujian bertali arus bagai tiada tanda akan bernoktah. Dada bagaikan mahu pecah tidak mampu menahan gelodak rasa. Jiwa meronta-ronta, menangis dan merintih, ingin mengadu, tapi tiada siapa di sisi. Hanya sepi. Hidup sebatang kara, seorang diri. Tiada teman, tiada saudara, tiada Allah. Hanya kesunyian.
Tidak!! Tak mungkin saya mampu meneruskan kehidupan andai saya di tempat itu. Tak mungkin... Tanpa Allah, hidup ini tak mungkin setabah ini. Tanpa Allah, ujian ini tak mungkin dapat saya gagahi.
Yakin dan percayalah. Allah sentiasa ada untuk kita. Allah bukan hanya ada saat kita duduk di atas sejadah. Atau ketika kita mengangkat takbir dan berdiri menunaikan solat. Allah sentiasa ada tidak mengira waktu, ruang dan ketika. Tidak kira samada kita susah atau senang. Dia sentiasa ada untuk kita, cuma kita yang sering saja melupainya. Kufur. Ego. Sombong. Takbur. Riak. Alpa. Leka. Lupa. Kita yang sering mengabaikannya.
Kitalah hamba yang hina.
Memungkiri janji dan mengkhianati.
Sedangkan tanpa Dia.
Kita binasa.
Dia yang memulakan.
Dia yang mengakhirkan.
Kun Fayakun.
Maka jadilah.
3 comments:
terima kasih di atas perkongsian.. amat memotivasikan diri ini :')
betul Allah itu ada....thanks
:)
as salam.
just want to drop a smile. and thank u for this entry...
:)
Post a Comment