+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, May 8, 2011

Jangan Kerana Kami Wanita!

Dipetik daripada akhbar harian Kosmo, bertarikh 25 hb April 2011. Tajuknya lebih kurang begini bunyinya - "3 orang dihukum penjara kerana merogol  seorang pelajar." Benar. Bukan itu satu-satunya berita yang dipaparkan tentang kes rogol. Dalam muka surat lain pula, ada berita tentang bapa rogol anak, datuk merogol cucu dan macam-macam lagi kes rogol. Bukan saja gadis, atau wanita yang dirogol. Malahan orang tua yang berpangkat nenek dan bayi semuda 2 tahun juga dirogol!

 
Bukan hari itu sahaja berita tentang pemerkosaan dipaparkan, hari-hari sebelumnya juga jarang sekali 'bersih' dari berita jijik lagi hina itu. Lebih menyedihkan lagi, hampir 99% kes rogol adalah melibatkan orang Melayu kita - Islam barangkali hanya pada namakah mungkin??

Apa dah jadi, apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini???

Haruskah saya 'berduka' kerana dosa kesalahan mereka? Atau patutkah saya mendiamkan diri sahaja. Bukan kakak atau adik saya yang kena rogol. Bukan saya pun yang kena rogol! Tapi maaf, kali ini, saya perlu bersuara tentang isu ini. Bukan sebagai sesiapa, tapi sebagai saya, seorang hamba Allah yang daif.

Mungkin ada yang tertanya-tanya. Kenapa hari ini saya beria-ia? Bukankah hampir setiap hari kita dijamukan dengan pelbagai cerita dan kes rogol? Bukan gadis itu orang pertama yang dirogol. Bukan dia yang paling malang. Banyak tersiar di dada akhbar dan kaca televisyen - ramai juga kanak-kanak di rogol -  malahan, sehingga menyebabkan kematian!

Kerana saya sangat geram dan marah. Ini tanda saya protes sepenuh hati saya! Cintakan kebaikan, bencikan kemungkaran.

Binasalah mereka yang tidak pernah takut pada azab Allah. Tunggulah balasan yang setimpal dari Allah kerana kemungkaran dan penganiayaan yang telah kamu lakukan!

Kembali kepada berita yang bertarikh 25 April 2011.

Mungkin juga kerana ceritanya yang agak terperinci itu telah berjaya membangkitkan kemarahan saya. Ceritanya begini.. Seorang lelaki (pesalah pertama) dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun, kerana telah merogol dan meliwat seorang gadis - dua tahun yang lepas. Dua orang lelaki yang lain pula, di hukum 3 hingga 17 tahun, atas tuduhan bersubahat dengan lelaki - pesalah pertama.

Menurut laporan akhbar tersebut lagi, gadis malang tersebut menaiki motor bersama rakan lelakinya. Mereka ditahan oleh beberapa orang lelaki yang kemudiannya membelasah rakan lelaki gadis tersebut. Kemudian, lelaki-lelaki tersebut menangkap dan mengheret gadis tersebut. Dua orang lelaki (salah seorang darinya baru berusia belasan tahun waktu itu) memegang bahu dan menutup mulut gadis tersebut dan lelaki pesalah pertama telah merogol dan meliwat gadis tersebut semahunya. Lagaknya lebih hina dari makhluk bergelar binatang!

Naauzubillahiminzalik! Kejam sungguh manusia-manusia itu!

Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:“Dan bantu-membantulah kamu dalam kebaikan dan takwa, janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pelanggaran.” (Al-Maidah: 2)

Wahai lelaki.

Cubalah untuk mengerti - kami kaum wanita diciptakan oleh-Nya bukan sebagai objek seks, pemuas nafsu anda semata-mata! Jangan kerana kami adalah wanita - kami diperlekehkan, dipijak-pijak dan diperlakukan sesuka hatimu! Bukankah kamu juga lahir dari rahim seorang manusia yang bergelar wanita? Dan bukankah nanti - kamu juga perlukan wanita untuk memanjangkan lagi susur galur zuriat keturunanmu?? Dan apa pula perasaanmu, andai ibumu yang dirogol? Atau isterimu, atau anak-anakmu?? Apakah kamu tiada akal mahupun naluri kemanusiaan?

Bukankah Allah telah berfirman;

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab kepada kaum perempuan. Oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” Surah An-Nisa: 34.

Jangan kerana kami wanita - kaum yang dianggap lemah, kamu tidak tahu menghormati dan menghargai. Allah tidak pernah menciptakan setiap sesuatu hanya untuk sia-sia. Segalanya pasti ada hikmah disebaliknya. Jika Adam dicipta dari tanah yang hitam - Hawa pula dicipta dari tulang rusuk Adam. Fitrah kejadian lelaki dan wanita berbeza. Ini semua kehendak Sang Pencipta yang Maha Kuasa. Kita cuma hamba!

Atau, apakah kamu mahu, setiap kali berselisih pendapat - isterimu mengajak kamu bertumbuk atau bertinju? Hebat sama hebat, kuat sama kuat la katakan.. 

Sungguh, Allah itu Maha Tahu, Maha Bijaksana!

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. " (Ar-Ruum 30:21)

Mungkin entri saya kali ini berbaur unsur-unsur 'kejantinaan'. Seolah-olah saya menghukum seluruh lelaki di luar sana. Tidak. Saya akui - ayah saya dan adik-adik saya juga lelaki. Dan saya akui, Rasulullah - kekasih Allah juga adalah lelaki. Dan saya akui, Adam, manusia pertama - dan darinya saya datang juga adalah lelaki. Saya cuma anti - dengan lelaki yang suka mengambil kesempatan dan menganiaya kaum wanita. Sahaja.

Dan, saya juga akui, bukan semua kaum wanita itu sempurna. Saya juga. Tak semua kaum wanita juga tahu menjaga diri sendiri. Peringatan untuk diri saya juga. Tutup aurat sebagaimana yang disarankan oleh Islam dan juga, jagalah pergaulan dan tingkah laku. Jangan terlampau bebas dan mengabaikan segala undang-undang Tuhan. Ianya bukan untuk menyusahkan kita, tapi kenyataanya - ia demi kebaikan dunia dan akhirat kita jua adanya.

Wahai wanita. 
Hakikatnya. Tiada buaya yang menolak bangkai. Teringat petikan lagu nasyid dari Hijjaz, tajuknya Puteriku Sayang..

"Malu mu mahktota yang tidak perlukan singgahsana. Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama. Tiada siapa pun akan, boleh merampasnya, melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri."

Muhasabah untuk diri saya sendiri. Jangan kerana kita wanita - kita meletakkan maruah kita di kaki para lelaki. Dan jangan pula kerana kita wanita - kita mengangkat martabat kita setinggi kepala para lelaki.

Ingat firman Allah swt..

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Astaghfirullah. Mohon ampun maaf atas segala salah dan silap.