+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Datang

Makin lama blog ini tidak ter-update, makin terserlah kekalutan dan keserabutan dalam kepala saya. Allahu. Sungguh aku malu dengan diri sendiri, malu dengan-Mu Tuhan, baru sedikit cubaan mendatang, betapa terjejasnya diri ini hanya Engkau yang Maha Tahu.

Apapun, hidup harus diteruskan. Penuh makna dan penuh kesyukuran. Alhamdulillah kerana tahun ini kita sekali lagi diberi kesempatan oleh-Nya untuk menikmati bulan yang penuh keberkatan, yakni Ramadhan al-Mubarak. Datang setahun sekali, cuma 30 hari kemudian berlalu pergi meninggalkan kita. Tahun hadapan belum tentu lagi kita dapat bersua dengannya. Mungkin kita sudah meninggalkan bumi ini, atau mungkin juga bumi ini yang telah musnah. Sesungguhnya hanya Dia yang mengetahui segalanya. Apa yang ada di langit dan di bumi. Semuanya dalam kekuasaan-Nya.

Tertunduk malu, merenung diri sendiri. Apakah layak diri ini menjadi ummat Muhammad saw? Mulia pekertinya, kesabaran dan ketabahannya. Kekuatan dan keyakinannya. Keimanan dan ketakwaannya. Kerendahan diri dan keluhuran budinya. Segalanya, ternyata diri ini masih punyai banyak kekurangan.

Baginda pernah dibaling batu dan dihalau namun baginda memaafkan dan menghadiahkan doa. Baginda pernah dicaci dan dikatakan gila oleh sang buta namun baginda menyuapkan makanan ke mulut sang buta itu. Baginda dicaci maki namun bagindalah orang pertama yang menziarah apabila si pemaki jatuh sakit. Allahu. Apakah aku mampu mencontohi baginda? Aku ingin namun sungguh diri ini masih punyai banyak belenggu. Menjerut leher mengikat kaki ini. Bagai meniti bara merah.

Harapan saya, moga dengan kehadiran Ramadhan ini, saya dan kita semua, dapat memperbaiki diri, pertingkatkan amalan. Semoga dosa-dosa kita terampun dan semoga kita benar-benar menghayati bulan yang mulia ini penuh rasa syukur.

Ramadhan menziarah cuma sekejap, mari kita hargai ia sebaik yang mungkin.

Hidup harus diteruskan. Semoga hari-hari mendatang, lebih baik dari sebelumnya. Amin ya rabb.

1 comment:

Anonymous said...

selamat berpuasa =)..

raya tahun ni, balik klate dop?