+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, August 19, 2010

Seteguh Kaki Melangkah

"Aku dengar kamu nak masuk asrama. Betul ke? Buat apa lah susah-susah habiskan duit, sudahlah tidak berharta. Makan pakai pun belum tentu lepas. Masuk asrama konon. Menyusahkan orang tua. Membazir saja," Mak Munah yang datang entah dari mana tercegat di atas batas. Tanpa salam, tanpa bertanya khabar tiba-tiba menganggu kosentrasi Halijah. Halijah pura-pura tidak mendengar. Kedua kaki kecilnya terus meredah lumpur.

"Bila besar nanti mahu jadi apa?" tanya Mak Munah sambil membetulkan topi di atas kepalanya. Dia duduk mencangkung di atas batas sambil matanya tertancap ke arah pelosok tubuh gadis kecil di hadapannya. Sekejap kemudiannya dia mengipas-ngipas tubuhnya dengan topi lusuh itu. Panas. Cuaca petang itu sememangnya panas, peluh terbit dari setiap liang roma namun Halijah tetap juga terbongkok-bongkok meredah selut dan lumpur.

Biarpun penat dan lelah, petak sawah itu harus dikerjakan juga. Lintah dan pacat menjadi teman sepermainan, apalah sangat teriknya mentari. Itulah lumrah kehidupan yang pernah dilalui oleh kedua ibubapanya, dan kini gilirannya pula memikul beban. Ya. Biar susah, biarpun payah, Halijah tidak mahu mengalah.

Mak Munah bertanya lagi. Soalan yang sama buat kali yang kedua. Kali ini pertanyaan itu berjaya mencuri perhatian Halijah. Soalan Mak Munah kini berjaya menyentuh gegendang telinga Halijah. Dia berhenti menyemai anak padi, meluruskan tubuhnya yang bongkok kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Mak Munah. Wanita berusia lingkungan 45 tahun itu bukan baru dikenalinya. Wanita itu juga bukan baru mengenalinya. Mereka hidup berjiran semenjak ibu dan ayah Halijah mula-mula bernikah, mereka sememangnya saling kenal.

Halijah mengukir senyuman. Bukan sukar baginya menghadiahkan senyuman biarpun kepenatan setelah sepetang mengerjakan sawah. Biarpun hatinya merintih dan mengaduh, dia senyum. Biarpun hatinya menangis, dia tetap juga tersenyum. Padanya, biarlah hanya Allah yang tahu segala yang tersirat di dalam hati. Biarlah hanya Allah menjadi tempatnya mengadu dan bermohon. Kerana Halijah yakin, Allah sentiasa ada bersamanya, setiap waktu dan ketika. Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

"Saya pun tak tahu besar nanti mahu jadi apa Mak Munah. Apa yang saya tahu, bila besar nanti saya mahu ubah nasib keluarga saya. Saya tidak mahu kami susah selamanya, moga Allah izinkan," dalam senyuman Halijah menyusun kata. Sememangnya dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dihadapinya pada masa depan lalu harus bagaimana dia menjawab dia sendiri tidak tahu. Hanya itu yang dia mampu katakan.

Mak Munah mencebik. Bibir bawahnya terjuih ke hadapan. Beberapa detik kemudiannya dia ketawa sinis.

"Orang miskin macam kamu ni boleh ke ubah nasib keluarga? Kalau emak miskin, ayah miskin, anaknya nanti pun tentulah miskin juga. Kamu ni kuat berangan saja. Tak usah lah fikir panjang. Jadi petani ajelah, macam mak ayah kamu, habis cerita." Sambung Mak Munah lagi. Halijah tetap juga berdiri tegap menghadapkan wajahnya ke arah Mak Munah. Bibirnya tetap juga menguntumkan senyuman, semanis tadi.

Ah. Hidup selalunya begini. Bukan selalunya mudah. Ramai orang lebih suka melihat kita di bawah. Tanpa mahu menarik kita ke atas.

====================================================

Hasniza Ibrahim
19 Ogos 2010


P/s: Pernah dipaparkan di laman web komuniti.iluvislam

No comments: