Lifeline 4 Gaza, atau Talian Hayat Untuk Gaza adalah satu usaha kerjasama di antara NGO-NGO di Malaysia untuk menyertai kempen antarabangsa bagi menembusi kepungan Israel terhadap Gaza. Lifeline 4 Gaza akan bergerak bersama Free Gaza Movement yang berpangkalan di Cyprus, IHH di Turki, MERC dan Kispa di Indonesia dan NGO-NGO lain dari USA, Greece, Perancis, Sweeden, Jerman, Itali, Venezuela dan lain-lain.
Konvoi tersebut dijangka akan berlepas dari Istanbul pada 15 Mei 2010, disertai 20 kapal dan bot kargo. Konvoi kemanusiaan terbesar di dunia ini akan membawa bantuan asas keperluan seperti bahan pembinaan hospital, bahan perubatan, peralatan sekolah dan bahan-bahan makanan. Mereka juga akan diiringi oleh tokoh-tokoh politik dan tokoh-tokoh kemanusiaan sedunia yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Di ambil dari SINI.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita penahanan kapal bantuan Mavi Marmara, ramai yang tertidur terus terjaga, lanjut boleh baca DI SINI..
Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan mendengar sendiri pengalaman beberapa rakyat Malaysia yang melalui peristiwa penahanan tersebut di kaca televisyen. Kata mereka, jika sebelum ini mereka cuma mendengar dan membaca mengenai kezaliman tentera Zionis, kali ini segalanya terbukti di hadapan mata.
Betapa mereka semua dilayan dengan teruk oleh tentera Israel seperti layanan terhadap penjenayah sedangkan terang-terangan mereka tidak membawa barang-barang yang mencurigakan seperti yang didakwa. Malahan, di atas kapal itu juga ada penumpang yang berusia 80 tahun dan seorang kanak-kanak yang berusia kurang daripada setahun.
Adakah tuduhan Israel terhadap konvoi tersebut boleh diterima akal? Tuduhan palsu semata-mata kerana ingin menghalalkan tindakan mereka, namun ternyata, yang benar tetap benar. Video yang menggambarkan keganasan Israel tersebar jua. Mereka yang menjadi saksi juga tidak mungkin akan berdiam diri. Apa agaknya yang berlaku pada episod seterusnya? Dalam debaran mendoakan, agar kebenaran tertegak. Dan jangan lupa juga mendoakan satu lagi kapal yang dalam perjalanan ke Gaza (insyaAllah tiba ke Gaza dalam masa 24 jam) agar selamat tiba dan misi mereka tercapai. Amin ya rabb.
Cuma sedikit sahaja yang mampu saya tulis. Kerana dengan rendah diri saya mengaku, saya kurang cakna terhadap isu ini. Sekadar alasan barangkali, namun ini yang terjadi, sibuk dengan dunia baru sendiri, kerja baru, rumah baru, maka banyak perkara yang terlepas dari sudut pandangan mata saya. Khilaf sendiri yang sepatutnya saya perbaiki.
Jika sebelum ini saya ada menulis mengenai Nakba, cuma hanya sekadar di situ, kemudian sekali-sekala 'update' berita dari komen sahabat2 melalui forum iluvislam. Sekadar membaca. Adakah saya juga Muslim bermusim? Yang tahu menjerit bila ramai orang menjerit. Tahu memekik bila ramai orang memekik? Rasa terpukul kerana mungkin saya adalah golongan itu. Bila keadaan sepi, tiada isu hangat dan sensasi, maka saya ikut sepi seperti debu-debu di jalanan yang terbang bila ditiup angin. Lansung tiada sebarang kesan kepada sesiapa dan apa pun. Malunya saya.
Kononnya saya mengaku mereka saudara saya. Kami sujud dan rukuk pada kiblat yang sama. Sembah Tuhan yang sama. Hamba kepada Pemilik yang Satu. Namun mengapa, tatkala mereka masih bergelut dengan kesengsaraan, saya bersikap tidak peduli dan lepas tangan? Malahan sibuk mengejar dunia saya dan sempat pula ketawa dan bergurau senda? Pedulikah saya?
Saya masih tertanya-tanya, pada diri sendiri. Adakah saya benar-benar peduli? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam? Atau sekadar bermuka-muka, kononnya saya juga seperti orang lain, juga ambil peduli? Atau apa? Benarkah saya juga peduli? Anda pula bagaimana?
Tanya diri sendiri, dan jawapannya, hanya kita dan Allah yang tahu. Allahu rabbi.. Aku malu...
No comments:
Post a Comment