+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, June 21, 2010

Menanti Sang Mentari

Aku mendongak langit. Awan hitam. Gelap pekat. Namun aku tetap tercari-cari Sang Mentari. Mengintai di balik awan yang mendung. Mencari sinar cahaya. Biar cuma segaris warna, izinkan aku melihatmu wahai Sang Kekasih penyinar kehidupan.

Aku masih menatap langit. Merenung jauh ke atas. Membelah kepulan-kepulan awan hitam. Tercari-cari sinar cahaya. Dalam hati berbisik. Datanglah cerah terangi kegelapan. Suluhlah kelam yang hitam lagi pekat. Sinarilah gelap gelita menyelubungi sanubari.

Aku masih termanggu, terbelenggu.

Awan tetap juga hitam. Mentari tetap jua tidak mahu kunjung tiba. Ke manakah ia pergi? Tergamakkan menghilangkan diri membiarkan aku ternanti-nanti kerinduan? Sampai bila mahu membawa diri bersama rajuk? Kembalilah padaku wahai Sang Suria. Terangilah Sang Bumi.

Pohon-pohon perlukanmu. Ikan di sungai, katak di kali juga rindukan kamu. Sang burung tertangguh hasrat mencari rezeki tanpamu. Bumi yang tandus juga kian tandus tanpamu. Aku juga perlukanmu. Sungguh! Hanya kau yang satu tiada duanya di muka bumi ini. Anugerah dari Sang Pencipta yang tiada tandingan.

Menanti lagi. Hingga saat kau hadir tiba. Tanpa jemu. Kerana aku tahu, langit tidak selalunya gelap. Kau pasti akan datang jua. Selagi Dia mengizinkamu. Dan aku akan terus di sini. Setia menanti. Kerana aku perlukan kau. Mentari ku.




No comments: