+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, June 23, 2010

Politik Malaysia dan Saya?

Saya kira, saya antara insan yang bertuah, dilahirkan pada awal tahun 80-an, sempat 'menikmati' dan melalui sendiri pengalaman 'diperintah' oleh tiga orang Perdana Menteri yang berbeza. Saya juga berasa bahawa saya adalah bertuah, kerana membesar dengan persekitaran yang membantu saya mencambahkan pemikiran, bergaul dengan mereka yang luas cara berfikir, dilahirkan dan membesar di bumi bertuah Kelantan Darul Naim, pastinya saya yakin, sayalah antara insan yang bertuah.

Dulu-dulu tidak seperti kini. Saya mula belajar mengenal komputer ketika saya di tingkatan empat, belajar bagaimana mahu 'Start', kemudian bagaimana pula mahu 'Shut down'. Hanya perkara-perkara asas yang kami pelajari. Cara-cara menggunakan Microsoft Word dan Excel. Itu saja. Takut-takut mahu mencuba walau berulang kali cikgu komputer menegur, "Jangan takut, komputer tu takkan meletup!", namun saya tetap juga begitu. Buta internet.

Sumber ilmu dan maklumat ketika saya membesar dulu-dulu, banyak berpandukan pada buku. Saya memang suka membaca. Tidak kira apa jua bahan. Alhamdulillah. Selain itu, TV dan radio serta 'wartawan bergerak' menjadi sumber maklumat kami. Untung rakan-rakan saya juga kebanyakannya gemar membaca, mengorek ilmu dan mengkaji. Ada masa lapang kami 'berdiskusi' dan 'berdebat'. Masing-masing punya hujah masing-masing. Seronok!

Ketika di sekolah menengah rendah, waktu itu, negara kita dipimpin oleh Dr Mahathir Muhammad, dan Timbalannya adalah Anwar Ibrahim. Saya kira, saat itu adalah antara waktu kegemilangan politik negara kita.

Saya juga masih ingat dunia dan negara kita telah mengalami kegawatan/kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, kerana tahun itu saya menduduki peperiksaan PMR. Saya tak akan lupa kerana sebelum peperiksaan, pihak sekolah pernah menjanjikan kami ganjaran wang ringgit kepada pelajar yang mendapat 8A. Alhamdulillah saya antara yang mendapat 8A, namun kerana alasan kegawatan, ganjaran tersebut tidak menjadi milik kami.

Waktu itu, hanya setakat itu kesan kegawatan ekonomi memberi impak kepada seorang remaja seperti saya. Tiada ganjaran wang ringgit walaupun mendapat 8A kerana kegawatan ekonomi. Dan ketika di sekolah menengah rendah, saya antara peminat yang sangat mengagumi Dr Mahathir Muhammad. Futuristik. Berani. Berkeyakinan. Bijak. Petah berbicara. Segalanya tentang dia benar-benar mencuri perhatian saya. Dia idola saya. Saya penyokong kerajaan.

Masa terus berjalan. Saya juga makin dewasa barangkali.

Naik tingkatan empat, saya bersekolah di sebuah sekolah berasrama. MRSM. Kala itu, saya sudah jarang menonton tv, melihat berita. Cuma mendengar berita sipi-sipi dan membaca surat khabar perdana, namun anehnya, saya lupa bagaimana, perasaan kasih dan hormat kepada Perdana Menteri dan kerajaan kian pudar. Makin pudar. Tanpa internet. Tanpa blog. Tanpa emel berantai, keyakinan saya terhadap Dr Mahathir kian hilang. Antara penyebab utama adalah 'kes liwat' Anwar Ibrahim (DSAI).

Makin dibongkar 'kesalahan' DSAI dikaca tv, makin berkurangan hormat saya kepada pemerintah Malaysia pada waktu itu. Namun pada masa yang sama, saya turut 'mengecam' DSAI kerana pada saya, beliau penyebab bangsa Melayu berpecah. Reformasi sana-sini. Saya bencikan perpecahan itu walaupun pada masa yang sama, hati kecil saya menafikan dia bersalah terhadap tuduhan liwat tersebut.

Masa berjalan lagi. Yang di atas terus di atas. Yang berkuasa tetap berkuasa.

Saya kemudiannya masuk ke alam universiti. Di sini saya mula kenal internet. Tapi cuma sekadar untuk chatting dan saling berbalas emel. Lebih dari itu, saya masih kekok.

Ketika di universiti. Saya punya seorang teman baik yang sangat suka melihat saya marah. Entah apa 'hebatnya' saya ketika marah, tapi dia memang sering memancing kemarahan saya. Sengaja.

Walaupun waktu itu saya bukanlah tergolong dalam golongan yang suka berpolitik, malahan sering memandang remeh, tapi sikap dia yang suka membuat saya marah kadang-kadang memaksa saya untuk bersikap ambil tahu.

Mana tidak, mentang-mentang dia orang Johor (Kubu BN?) dan saya pula orang Kelantan (satu-satunya negeri pembangkang pada waktu itu), sering sahaja dia menggunakan PAS, Kelantan dan Nik Aziz (TGNA) sebagai modal untuk memancing kemarahan saya. Asal ada saja peluang, pasti dimanfaatkan untuk mengenakan saya. Saya pula bukanlah orang yang suka mengalah, selalunya berbalas hujah, berperang mulut dan berdebat. Untuk itu, saya harus perbanyakkan bahan bacaan, agar saya punya lebih banyak modal untuk membela Kelantan dan PAS dan seterusnya tidak kalah ketika berdebat.

Anehnya lagi, waktu itu saya sebenarnya tidak cenderung ke arah mana-mana parti politik. Bagi saya, BN atau PAS sebenarnya sama sahaja. Namun untuk menang, saya harus memberi hujah yang sepatutnya, demi pertahankan PAS dan Kelantan. Kelakar saja. Bila kalah berdebat, kadang-kadang muncung merajuk. Ada waktunya pula berkejar-kejaran mahu melepaskan kemarahan. Mungkin sebab itu dia suka membuat saya marah.

Walaupun keyakinan saya terhadap Dr Mahathir kian tipis, namun pada waktu itu, saya masih menganggap dia pemimpin terbaik di Malaysia. Selain dia, tiada yang mampu. Walaupun waktu itu Timbalannya adalah Abdullah Badawi, namun perbezaan keduanya sangat ketara dan saya cenderung mengatakan bahawa Abdullah Badawi tidak mampu memimpin tanpa bantuan Dr Mahathir.

Sembang-sembang kosong, saya pernah berharap agar Dr Mahathir 'turun takhta' dan melepaskan jawatannya kepada timbalannya sementara rakyat masih lagi mengenang jasa-jasanya. Berundur selangkah untuk memberi ruang kepada yang lebih muda, namun pada masa sama turut bergandingan dan membantu pemimpin yang baru untuk meneruskan teraju negara. Sementara masih ada yang sayang. Berundurlah.

======================

Cerita saya masih panjang. Namun saya terpaksa berhenti sampai di sini dulu. InsyaAllah jika diizinkan Tuhan saya akan kembali menyambung kisah ini lagi.

Hidup adalah pembelajaran tanpa henti.

Wassalam.

5 comments:

AhmadNizamuddin said...
This comment has been removed by the author.
AhmadNizamuddin said...

Assalamu'alaikum...

Dah lama tak komen kat sini. Hampir setahun agaknya tak komen. Tak ingat daa...

Well, about the title and story...

Politik makin lama, makin beralaskan penipuan dan putar belit. Susah untuk membezakan yang mana benar, yang mana salah secara mutlak. Kerana yang pasti, yang benar dan salah bercampur aduk dan ditokoktambah. Sedih sungguh apabila difikirkan.

Orang bawah yang sedar salah, hanya membutakan mata mengikut pihak di atasnya. Beginilah politik di Malaysia, jika fikiran kebanyakan pemimpin masih belum dibataskan dengan syariat. Hanya mengikut akal dan nafsu semata. Khususnya yang menggelarkan dirinya Muslim.

Mengetepikan pendapat para ulama dengan sewenang-wenangnya. Mengaku negara ini negara Islam. Persoalannya, di mana Islamnya? Pada majoriti rakyatnyakah?

أستغفرالله العظيم...

Sedarlah wahai pemimpin...
Kami yang dibawah kalian sentiasa mengharapkan yang terbaik dari kalian. Kerana kalian punya kuasa untuk mengubah politik Malaysia pulih sebaiknya.

p/s: Kak As, jika komen saya nih berbau hasutan atau ketidakbetulan, atau sewaktu dengannya, boleh la dipadamkan.

Wallahu a'lam...

Muhammad Naim Abdullah said...

Allah ukbar~~ terus pertahankan kerajaan Islam klate daripada anasir2 jahat2~~

daripada PR kedah(Pakatan Remaja Kedah) ^_^~~

nice artike kak~~

AsNiza said...

W'salam wbt..

AhmadNizamuddin..

Lama la kot, sbb kita pun sama2 tk ingat dah, hee.. Neway, akak perasan, kamu semakin matang, improve so much. Ada rahsia tersembunyi ke? :)

Thanx for sharing.. Moga Allah membantu kita semua..


Naim..

Tiada yang lebih berupaya melainkan Allah..

AhmadNizamuddin said...

-OffToPic-

Hah?! Matang??! Matang dari segi apa tu?

Ni mesti dok skodeng entah dari mana nih. Hehe...

Rahsia? Hanya Allah yang tahu... Sebab saya pun tak tahu saya ni matang atau tak. Tak lagi la kot.

Wallahu a'lam...