+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, March 30, 2009

Indahnya Islam.

Alhamdulillah, pada 27 Mac yang lepas, saya sempat menyertai majlis ilmu di rumah Ustaz Roslan (jiran kakak saya). Penceramah jemputan malam ini adalah AL Fadhil Ustaz Dato’ Hashim Yahya (Mantan Mufti W.Persekutuan). Mengikut jadual asal, ceramah kali ini adalah berkisar mengenai Nabi Muhammad saw sempena bulan Maulid Nabi yang sudah sampai ke penghujung. Penceramah memulakan dengan menceritakan tentang Nabi sebagai pembawa rahmat dan seterusnya kita sebagai umat manusia juga harus menjadi pembawa rahmat.

Islam itu syumul. Islam bukan bermakna menjaga hubungan hanya dengan Allah. Bukan sekadar solat, puasa, tahajud, zikir atau menunaikan haji dan umrah. Lebih dari itu, kita seharusnya menjaga hubungan sesama manusia, dengan keluarga, dengan jiran tetangga, dengan haiwan peliharaan, pohon-pohon, seluruh hidupan dan segala ciptaan Allah. Islam benar-benar agama yang sempurna dan indah.

Ustaz Hashim sempat memberi satu contoh, kisah Saidina Umar sebagai khalifah ke dua. Sewaktu pemerintahannya, beliau membina jalan khas untuk unta, kambing dan haiwan ternakan pulang ke kandang, lalu ada yang hairan dan bertanya kenapa begitu?

Umar menjawab, "Aku takut nanti bila di akhirat aku akan di persoalkan kerana tidak menjaga kebajikan mereka.." Lihat betapa indahnya Islam, indahnya sikap jika benar-benar memahami ajaran Islam.

Begitu juga kita sebagai manusia, harus berbuat baik dengan semua hidupan. Jangan tahu menternak binatang tapi tidak dijaga, tidak diberi makanan malah disepak terajang. Ingat satu perkara, di akhirat kelak, binatang-binatang tersebut ada hak untuk 'menyaman' kita di hadapan Tuhan.

Jika baik sikap kita terhadap mereka, insyaAllah mereka turut mendoakan kesejahteraan buat kita dan sebaliknya jika kita menzalimi mereka, di akhirat kelak kita juga akan mendapat balasan setimpal atas setiap apa yang kita lakukan. Maka, adab dengan binatang juga harus dijaga. Contohnya, ketika hendak menyembelih mestilah menggunakan pisau yang tajam dan harus dimulakan dengan bismillah. Semuanya sudah diajar dalam Islam yang sempurna.


Malangnya, ada juga yang hanya menjaga hubungan dengan Allah tapi mengabaikan hubungan sesama manusia dan hidupan lain.

"Ustaz, saya ada masalah, suami saya selalu dera saya" seorang makcik menelefon ustaz suatu masa dahulu.

"Suami puan solat ke?" soalan pertama yang keluar dari mulut ustaz kerana tanggapan beliau, orang yang tidak bersolat selalunya panas baran dan suka membuat masalah.

"Alhamdulillah ustaz, suami saya selalu solat di masjid, sekarang ni pun dia di masjid" jawab makcik tersebut. Ustaz Hashim terkejut, kes yang luar biasa dan jarang-jarang berlaku.

"Umah puan ada longkang?" Tanya ustaz lagi setelah terdiam sejenak dan makcik itu menjawab "Ya, ada"

"Kalau begitu, bila suami pulang dari masjid nanti, ajak dia dekat dengan longkang dan tarik serbannya buang ke longkang!" Jelas Ustaz Hashim.

"La, kalau begitu ustaz, malam ni juga saya mati kena belasah.." balas makcik itu pula.

Para hadirin tergelak kecil mendengar cerita Ustaz Hashim. Berpengalaman. Tahu mana nak punch line supaya para hadirin sentiasa memberi perhatian tentang apa yang diucapkan. Dalam cerita ada mesej yang hendak beliau sampaikan.

Kesimpulan dari cerita ustaz Hashim, solat lima waktu semata-mata tidak mencukupi untuk masuk ke syurga. Ada orang yang solat cukup, puasa lengkap dan berulang kali ke mekah, namun itu belum tentu mampu untuk menjamin ke syurga, jika hubungan sesama manusia dan hidupan lain tidak terjaga.

Islam itu syumul dan tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan. Semuanya ada dalam Islam, dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara. Tentang apa yang perlu dilakukan jika minuman dimasuki lalat pun di tunjuki cara, apatah lagi tentang politik dan amalan seharian seperti larangan riba dan rasuah. Semuanya sempurna tiada yang kurang. Ada manusia yang suka memisahkan hidupan seharian dengan Islam. Contoh, bila di masjid, solat dan penuh adab. Di hadapan khaabah menangis sehingga bengkak mata tapi setelah keluar dari ibadah tersebut, langsung lupa dosa pahala. Terima rasuah, melakukan riba dan menganiaya manusia lain. Ini tidak seharusnya terjadi.

Sikap orang Islam yang tidak menggambarkan Islam yang sebenar merupakan suatu fitnah kepada Islam. Cerita Ustaz Hashim lagi, seorang wanita Amerika telah membaca dan mengkaji tentang Islam. Betapa indahnya Islam, sempurnanya Islam. Kerana 'membaca' keindahan itu, beliau akhirnya telah memeluk Agama Islam,Alhamdulillah. Kerana ingin lebih mendekati Islam, beliau berhijrah ke kawasan yang penduduknya Islam, bergaul dengan orang Islam akhirnya menimbulkan rasa kecewa di jiwa muslimah mua'allaf ini.

Katanya.."Syukur saya telah memeluk Islam sebelum ke sini, jika saya ke sini sebelum saya memeluknya, saya tak mungkin akan masuk Islam." Nah..Inilah salah satu keburukan, kesan akibat dari sikap orang Islam yang tidak mengamalkan Islam dengan betul. Hingga menjadikan fitnah kepada Islam.

Kerana sikap orang Islam yang tidak mengamalkan keindahan dan cara hidup (malah lebih teruk dari kafir) akhirnya memberi persepsi yang tidak baik kepada orang bukan Islam. Salah tanggapan sering terjadi. Islam dituduh extermist dan segala macam tuduhan. Kenapa? Salah satu sebab adalah kerana sikap orang Islam itu sendiri yang tidak mencerminkan keperibadian yang sejajar dengan tuntutan Islam.


Ustaz Hashim sempat mengingatkan, Islam itu mudah, semuanya sudah sempurna, asalkan kita tahu 5 hukum, insyaAllah kita tidak akan sesat. Hukum-hukum Islam, haram, wajib, sunat, harus dan makhruh mesti selalu disemat di minda. Tidak kira dalam melakukan apa jua amalan, kita tak mungkin lari dari 5 hukum ini..walaupun ketika makan, ada waktunya hukum menjadi sunat dan ada waktunya hukum menjadi haram.

Makanan yang sama, cara mendapatnya sama, halal. Namun, hukumnya haram makan jika kita makan berlebihan sehingga memudaratkan tubuh badan dan hukumnya sunat jika kita makan dengan niat untuk mendapat tenaga supaya dapat beribadat dan berjuang ke jalan Allah. Begitu juga dengan amalan-amalan lain, pasti tidak akan lepas dari 5 hukum ini. Dan jika kita ingat 5 hukum ini, insyaAllah kita akan sentiasa berhati-hati dan menjaga setiap amalan dan tindakan kita kerana pastinya kita mengharapkan ganjaran pahala dan syurga di akhirat kelak.

Sebelum mengakhirkan majlis, Ustaz Hashim sempat mengingatkan (pesanan Lukman Hakim, jika tak silap saya)

Ingat dua perkara dan lupa dua perkara.

Lupakan kebaikan kita kepada orang dan lupakan kejahatan orang kepada kita.

Sentiasa ingat Allah dan Mati, insyaAllah selamat dunia akhirat.


Demikian sedikit sebanyak perkongsian dan peringatan yang dapat saya ambil dari ceramah pada malam itu. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat darinya. Jika ada kekurangan dan salah silap, harap di maafkan yer..

Wallahua'alam.

Sunday, March 29, 2009

Entri Kontroversi, LOL~!!

“Bila nak kawen?” Tanya seorang makcik kepada aku. Aku Cuma tersenyum. Dalam hati mengomel.

“Makcik nak jadi mertua saya ke?” Bisikku sendirian. Tanpa suara. Tak berapa lama kemudian seorang teman pula datang bertanya, “Bila awak nak makan nasik minyak”..

Aku senyum lagi. Dalam hati mengomel lagi..

” Awak nak jadi madu saya ke?”..Aku memprotes dalam diam.

Hidup harus di teruskan. Aku berjalan lagi, bertemu pula seorang lagi sahabat..Lagi dan lagi, orang yang berbeza. Tapi soalannya masih serupa. Masih lagi soalan sama yang diajukan kepadaku.

”Aduh..takde soalan lain ke?” Aku mulai rimas. Sesak.

Menjadi seorang wanita. Lumrah. Demi meningkat umur, tidak boleh tidak, soalan serupa pasti terpaksa di hadapi. Pahit, harus ditelan. Norma kehidupan. Aduh, seolah-olah menjadi dosa jika tidak mendirikan rumah tangga. Seolah-olah hina, tidak menjadi isteri kepada seorang suami. Seolah-olah tempang bila sendirian berjalan tanpa teman. Mentaliti masyarakat yang masih lagi sama, tidak berubah.

“Kenapa tak nak kahwin? Tidak mengikut sunnah nabi, berdosa tau!” Ada suara menyentuh gegendang telingaku.

“Wah, pandai pula abang ni berceramah, tahu pula sunnah nabi.. sedangkan solat lima waktu tunggang langgang, masuk bab kahwin pandai pula kaitkan dengan sunnah. Nabi bertahajud setiap malam. Kenapa kita tidak mengikut sunnah baginda? Nabi sentiasa basahkan lidahnya dengan zikrullah, kenapa sunnah ini tidak di ungkit?” Ah..aku merungut di dalam hati. Memprotes lagi di dalam diam.

“Akak tak takut ke jadi andartu?” Waduh..Si comel ini lagi lah jujur dan ikhlas, tanpa berkias. Aku masih tersenyum kambing. Di minda pelbagai jawapan bertingkah bersahutan, tapi aku masih kuncikan bibir, sekadar tersenyum.

“Siapa kata akak andartu..akak ni janda dik ooii..” Satu suara bergema, Cuma di dalam hatiku, Cuma aku yang dengar. Kemudian aku tergelak sendirian. Hanya aku yang tahu.

Aku teruskan lagi kehidupan ini. Berjalan lagi dan lagi. Bila jatuh aku bangkit. Hutan dan belukar aku redahi, kanan dan kiri onak ranjau berduri aku tempuhi. Aku tak peduli. Apa nak jadi, jadilah..kun fayakun..

“Kau tak nak kawen ke?” Tanya seorang lagi teman.
“Mesti la mahu” Aku menjawab.
“Habis kenapa tak cari?” Tanya dia lagi.
“Amboi, ko ingat cari laki sama macam beli ikan kat pasar ke?” Aku meningkah.
“Laa..tu la ko, orang nak ko jual mahal,” Dia mula menyindir.
“Sori, tapi aku takkan terima sebarangan, aku nak yang baik-baik, lebih baik dari aku, yang boleh bimbing aku.” Aku bertegas.
“Ha, kalau gitu, carila yang baik-baik..” Dia memberi cadangan.
“Ya laa..tapi aku tak cukup baik, aku mana layak dude, lelaki yang baik untuk wanita yang baik” Aku berhujah lagi.
“Apa susah, kalau ko nak yang baik, ko jadila wanita yang baik..”katanya lagi..
“Tau…aku tengah cuba la nie, berusaha menjadi yang lebih baik..selagi tak cukup baik, selagi tu la aku tak kawen..kot..” lemah aku menjawab. Diam.

Friday, March 27, 2009

Cinta Yang Hilang.

"Akbar, kau percaya pada Tuhan?" Haikal tiba-tiba mengejutkan aku. Aku termanggu-manggu seketika. Menolak straw yang sedang mengalirkan sirap ke rongga tekakku.

"Potong stim betulla mamat nie.." rungut aku dalam hati.

" Apa cerita pulak kawan aku sorang nih, angin tidak ribut tidak tiba-tiba bertanya soalan cepu emas.."Aku garu-garu kepala yang tidak gatal. Aku angguk bersungguh-sungguh. Menunjukkan betapa aku percaya.

"Kau yakin Tuhan ada?" Haikal bertanya lagi seolah-olah tidak berpuas hati dengan anggukan padu aku tadi.

"Haih, mamat ni kenapa pulak?" Getusku di dalam hati. Aku mengenyeh-genyeh mataku seolah-olah tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut sahabat baikku itu. Pada aku, dia seorang yang berpendidikan tinggi, sudah arif segalanya, kenapa harus persoalkan soalan yang budak tadika pun tahu.

"Allah memang wujud!" Jika boleh, aku ingin jerit kuat-kuat supaya Haikal tersedar dari mimpinya.

"Kau ni kenapa Haikal, memangla aku percaya Tuhan itu ada. Kenapa, jangan bilang kau tak percaya pulak..."Sampai situ aku mampu berkata-kata. Terfikir sesuatu yang maha berat, ayatku mati di situ.

Dalam hati aku beristighfar. "Mana mungkin Haikal yang aku kenali sejak kecil sudah hilang kepercayaannya kepada Tuhan, Naauzubillah.."

Aku tersentak. Sahabat baikku yang aku kenali sejak kecil kini sedang duduk di hadapanku. Dia persoalkan tentang kewujudan Tuhan. Berulang-ulang kali aku beristighfar di dalam hati. Berharap agar Haikal cuma sekadar bertanya dan tidak lebih dari itu. Aku terkedu. Terdiam seketika mencari perkataan yang paling sesuai untuk aku menyambung bicara. Haikal yang aku kenali dulu seorang yang berkeyakinan tinggi. Di hadapanku kini seorang lelaki yang seolah-olah hanyut dalam dunia ciptaanya. "Benarkah ini Haikal yang pernah aku kenali?" Aku masih bermonolog di dalam hati.

Dua tahun kami tidak bertemu. Masing-masing membawa diri ke negara orang demi menimba gugusan ilmu. Cita-cita kami sangat besar. Sejak kecil kami seia sekata ingin menjadi seorang doktor. Takdir memisahkan kami. Walaupun jurusan kami sama, tapi kami terpisah antara benua. Aku tercampak ke Indonesia dan Haikal di bumi Ireland.

Hari ini kami bertemu lagi. Di pekan yang menjadi saksi kedewasaan kami. Aku berbaju t-shirt dan berseluar jeans, Haikal juga sama, malah lebih segak. Ada gaya seorang model. Masakan tidak, dengan anugerah rupa dan potongan badan sebegitu, dia memang layak bergelar seorang model. Aku sempat mengusik Haikal yang semakin bergaya, dia cuma tersenyum dan menumbuk bahuku, perlahan. Itulah Haikal yang aku kenal sejak kecil.

Sejenak kemudian, kami segera memilih sebuah kedai makan untuk mengisi perut. Mana tidak, perut aku sejak tadi berbunyi minta di isi. Haih, pantang lewat sikit..pasti berlagu. Segera aku mengajak Haikal ke Restoran Cereka. Kami beriringan menuju masuk ke restoran. Sepanjang perjalanan, Haikal cuma membisu, ada rasa aneh terbit di benakku. Haikal yang aku kenali suka berceloteh, suka berhujah, suka bercerita, penuh semangat tapi kenapa hari ini dia lebih banyak mendengar. Ada rasa pelik menerjah kotak fikiran ku namun segera aku tolak ke tepi.

"Mungkin Haikal kepenatan.." Bisik aku di dalam hati.

Namun, syak wasangka kembali mengusik ketenteramanku apabila Haikal mengajukan soalan itu kepadaku. "Apakah dia tidak lagi yakin kepada Tuhan?" Aduh..fikiranku berkecamuk.

____________________________________

Sekian wassalam, insyaAllah akan di sambung lagi...Doakan ya..^^

Berlari Lagi


Berlari ke utara.
Aku melata.
Tidak ku jumpa

Berlari ke selatan.
Aku tidak keruan.
Masih tidak ketemuan.

Berlari ke barat.
Aku kian sesat.
Hidupku melarat.

Berlari ke timur.
Semangatku luntur.
Jiwaku hancur.

Berlari lagi terus berlari.
Mencari lagi terus mencari.
Ke hutan ke lautan kaki ku gagahi.
Gunung ku daki lembah ku turuni.

Merangkak sudah, bertatih pun sudah.
Terjatuh sudah, berdarah pun sudah.
Harapanku pudar, impianku musnah.
Sendirian sesat tak ketemui arah.

Berlari lagi terus berlari.
Mencari lagi terus mencari.
Usah menangis wahai hati.
Apa kau cari pasti kau miliki.

Berlari ke utara tidak ku jumpa.
Berlari ke selatan tidak ketemuan.
Berlari ke barat hidupku melarat.
Berlari ke timur, jiwaku hancur.

Berlari lagi terus berlari.
Mencari lagi terus mencari.
Belum ku jumpa tidak ku ketemui.
Biarlah menjadi rahsia Ilahi.

Wednesday, March 25, 2009

Apologetic Towards Rhetoric

Anggap saja ini entri mengelat, eheh..just wanna share some words:

-Aversion = Strong dislike
-Averse = Oppose for something
-Authenticate = To prove beyond doubt the origin etc
-Authentic = Genuine, Know to be true
-Auspicious = Showing signs of future success
-Aurevoir = Till we meet again, goodbye, adieu
-Adherent = A supporter
-Adolescence = The period between childhood and maturity
-Antagonist = An opponent, a main character who hates heroes/heroine
-Prodigy = A person who has an usual or remarkable abilities
-Prohibit = Menghalang
-Proficiency = The quality of being skilled.
-Procrastinate = To avoid starting an activity without any reason
-Prominent = Standing out, easily seen
-Propel = To force (something) to move forward
-Propagate = Increase the number of , to reproduce, to cause something to spread more widely
-Merit = The quality or fact of deserving approval
-Menace = Ancaman
-Mendacious = Untruthful
-Nobly = Layak dipuji
-Injudicious = Not having/showing good sense, not well judge
-Innumerable = Too many to count
-Reclues = Live alone avoid others
-Reckless = Not think/care about effects/consequences
-Reckon = to calculate, to consider, suppose, to assume
-Reconcile = Berdamai

Okeh, as for now itu saja. Sepatutnya ingin menulis mengenai isu semasa tanah air, tapi maaf, tidak berkesempatan.

Tuesday, March 24, 2009

Pahit itu Nikmat~!!

Assalamualaikum wbt..

Entri kali ini ditulis ketika saya sedang melukis GA drawing untuk projek di Siem Rap, Cambodia. Lagi pula saya tidak keluar untuk makan tengah hari, boleh mengambil kesempatan yang ada untuk menghabiskan entri kali ini... Sambil menyelam sambil menangkap ikan, ^^

Saya terfikir sesuatu ketika melukis kerana kebiasaan saya di tempat kerja, saya suka minum kopi 3 in 1 sambil membuat tugasan. Minima sehari satu sachet air sedangkan saya juga tahu, kopi ini tidak baik untuk kesihatan. Mengandungi nilai kalori yang sangat tinggi, manis dan ada cafffein. Memberi kesan negatif kepada kandungan gula dalam badan, meningkatkan kalori dan memberi kesan yang tidak baik kepada jantung dan lain-lain. Ya, saya tahu, tapi kenapa masih meminumnya? Adakah kerana sengaja mencari nahas? Mahu cepat matikah saya? haih~

Sebagai tambahan, boleh juga merujuk entri lama saya: Kenapa Pilih Yang Haram?


Yang Manis itu Racun?

Sering saja kita menggemari makanan dan minuman yang manis, air berkabonat, kuih muih yang manis sedangkan akibatnya nanti memudaratkan kesihatan kita sendiri. Alhamdulillah jika kita menyedari dari awal dan mengelaknya, bagaimana pula jika setelah kudung sebelah kaki akibat terkena penyakit kencing manis, baru terasa insaf? Adakah masa boleh diundur? Adakah kaki yang dipotong boleh dicantum semula? Jawapannya tidak.

Jadi, beringatlah sentiasa dalam setiap kemanisan yang sedang kita nikmati. Dalam manis itu ada racunnya. Begitu juga dengan kehidupan seharian kita, kebanyakan dari kita suka berseronok, membuang masa dengan kegiatan yang tiada faedah, memang ianya manis, tapi jika kemudian hari bila kita tersedar masa yang terbuang begitu sahaja tanpa sebarang input, kita juga yang akan menyesal.

Lagi parah jika kita seronok dengan kemanisan bercinta, sehingga sanggup melanggar batasan agama dan adat. Bercinta memang manis, berdua-duaan dengan kekasih memang indah, menghitung bintang bersama si dia, berjalan di taman berpimpin tangan bersama si dia. Tapi dalam keindahan itu, ramai yang lupa akan dosa dan pahala, sehingga ada yang lupa diri dan sanggup menggadaikan maruah. Manis, cuma sementara.


Pahit itu Nikmat?

Menunaikan solat lima waktu adalah berat kecuali bagi mereka yang beriman dan khusyuk. Pengaruh dan tarikan tv, novel, timbunan kerja di pejabat, mengejar silibus subjek sebelum exam menjadi punca kepada pengabaian solat. Sehingga ada yang merasakan solat itu satu bebanan. Pahit? Tapi yang pahit itulah sebenarnya nikmat. Selain daripada rukun Islam dan tiang agama, solat juga merupakan salah satu cara untuk kita mendekati Allah danberhubung dengan Tuhan Yang Maha Pencipta.

Ketika solat, kita berdua-duaan dengan 'Kekasih' kita, rukuk dan sujud hanya kepada dia. Masa untuk menginsafi diri dan mengadu serta memohon hanya daripada Dia. Pahit yang ternyata memberi nikmat.

Begitu juga dengan tuntutan menjaga aurat. Saya sendiri mengakui betapa sukarnya menjaga aurat. Perasaan ingin bergaya mengatasi tuntutan agama. Berfesyen mengikut perkembangan semasa. Susahnya melawan perasaan. Namun hakikatnya, saya juga sebenarnya pernah merasai kenikmatan bertudung labuh. Nikmatnya perasaan bila mana seluruh aurat terjaga. Ternyata ianya benar-benar indah.

Kerana kenikmatan itu, saya sentiasa memohon dan berdoa, agar diberikan kekuatan dan dorongan untuk kembali bertudung labuh, seperti saya suatu ketika dulu. Kerana saya rindukan nikmat itu. Biarpun pahit tapi saya percaya ada kemanisan yang tersembunyi. Suatu hari nanti..pasti!

Benar, penawar selalunya pahit. Ubat-ubatan dan herba untuk menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah) juga selalunya pahit. Jika di tangan kita ada sesuatu yang manis jangan terus di makan, ia mungkin memudaratkan. Dan jika pula di tangan kita ada sesuatu yang pahit, jangan terus dibuang, ia mungkin penawar segala kesakitan.

Allah swt berfirman:

" Boleh jadi kamu membenci seseuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Setiap yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk itu kelemahan diri saya sendiri, mohon dimaafi.

Wallahua'alam dan Wassalam.

Monday, March 23, 2009

Cuti di Langkawi

Alhamdulillah cuti sempena Thaipussam aritu (7feb-9feb) saya bersama housemate ikut akak saya and kwn2 die g langkawi. Kami bertolak mlm jumaat about kul 12 mlm dgn 4 buah kete. abis keje saya tggu nane and dlm kul 9 bertolak umah my sis and kul 12 bru gerak g Kuala Perlis..since ramai kanak2, kami byk kali berhenti, lgpn siang td semuanya kerja..last sekali berhenti solat subuh kt RNR Gurun and smapai jeti kuala perlis about kul 8.30 pg..beli tket kul 10 and smbil2 tggu kitorg bekfast..huhu..selamba je tk mandi..lol

Dlm kul 11 lebih smpai jeti langkawi, tggu kete sewa so dlm kul 12 smpai apartment, kami sewa 2 MPV and sewa di apartment kt Pantai Cenang, TM Apartment..balik apartment kemas and mandi pastu terus kuar g jenjalan..agenda kami arini utk g kereta kabel dan pakaian semua seragam..

Sebelum pegi kereta kabel, kami mkn2 kat mna ntah saya lupa..lol..lepas mkn sempat posing dan main2 kat situ..

Best naik kete kabel smpai ke jambatan gantung: paling tinggi di asia if i am not mistaken, dr sini leh lihat seluruh langkawi..pulau2 dan pantai..best..ini post menarik kami setelah penat beraktiviti:

Abis segala aktiviti, kami blik ke apartment utk bersihkan badan, mndi tukar baju, mlmnya kami keluar dinner dlm kira2 kul 8.30 mlm, makan di restoren nelayan..seafood pelbagai jenis...best~!!! sedap dan menyelerakan, hehe..abis mkn about kul 12, sume penat and balik tdo..

Esoknya pagi2 dlm kul 7.30 kami kuar bekfast kt jeti belakang apartment, mkn nasik lemak ngn milo jer..sudah mkn balik bilik packing and siap2 utk aktiviti island hopping,(jeti belakang apartment jer) sewa satu boat dlm RM480, muat utk 13 dewasa n 8 kanak2..not bad and best..laju membelah lautan. hehe.. destinasi pertama adalah tasik dayang bunting..sewa boat adalah dr kul 9 hingga kul 2 petang..so kt Tasik Dayang Buntig kami ambil masa sejam setengah utk mandi2 and naik bot kayuh..

Selesai mandi2 di tasik dayang bunting, kami ke satu pulau, aktiviti bg burung helang makan, makanan adalah kulit ayam dan byk helang dtg menyambar makanan..since kami g sini dh lewat dlm kul 11 lebih, so helang dh kenyang, tk byk yg menyambar, byk tgk berterbangan dan mungkin sedang tdur kekenyangan atas pokok..huhu..

Sudah bg helang mkn, kami ke satu lg pulau yg cntik..saya tak tau nma pulau ni tapi cantik sgt...pasirnya putih air dia jernih leh tgk ikan..tak lepaskan peluang kami mandi2 lg sini about one hour...walopun matahari dh tinggi, sun burn tk dipedulikan..mandi smbil melayan kanak2..kutip batu karang dan batu..buat castle..best~!!

After that blik apartment mandi dan siap2 diri, pastu kuar lagi utk ke Makam Mahsuri dan Beras Terbakar..walaupn dah sepagi di lautan, masing2 masih ada energy utk berjalan2..dalam Kampung Mahsuri ada muzium dan mcm2..tk jauh dr makam mahsuri ada byk kedai pakaian, aku sempat beli t-shirt utk aku n adik2..juga sehelai baju gown..hak2..btw,ini pose menarik kami di perkampungan mahsuri:

Oh, sebelum g makam mahsuri, kami singgah di beras terbakar..ada kedai2 byk shopping sourvenier utk kwn2 dan byk gak kain batik..murah2 dan lawa2..saya beli utk saya dan mak..ini beras terbakar, jgn tk caya, semangkuk je berasnya..lol


Abis jln2 shopping2 kami pn balik..smpai umah sume penat..relax2 sempat tgk cite ben stiller, the heartbreak kid..abis kul 11 bru kuar cri makan, tho masing2 ngantuk, demi perut yg kelaparan kami kuar cri makanan..huhu..permandangan di langkawi sgt cntik di waltu mlm..ramai mat salleh, byk spa kedai mkn dn mcm2 yg bila malam mmg nmpk sgt cntik di hiasi lampu yg pelbagai..totally berbeza ngn siang hari..klu siang nmpk mcm kmpung nelayan tp mlm rasa mcm kt las vegas..lol..exaggerate..hehe..

Makan simple2 je sebab dh ngantuk..pastu terus balik n tdo..hurmm..memandangkn kami dua buah kete, dan penunjuk jalan selalu blur..sesat adalah kewajipan bagi kami, yg dekat pun jadi jauh duk pusing tmpt sama..sesat...haih..saya relax je..tdo..huhu

Esok pg2 kul 9 kami keluar, dah siap packing sume barang utk blik semenanjung. tp before that g bekfast and sudah bekfast kami g ke pekan kuah..woahh..syurga shopping...byk kedai yg best..apa yg saya sempat beli adalah pinggan mangkuk melanine, set cawan dan kutleri..berat woo byk beli sudu..tk ketinggalan adalah cokelat..erm, saya beli perfume gak..best tul..dp perfume baru hehe..leh ganti white musk saya dah bosan,,kekeke..sudah shopping pekan kuah kmi g ke satu tempat, ntah apa nama tp nma shoping complex tu adalah Idaman Suri..byk gak barang2 murah kt sini specially pinggan mangkuk..mcm2 ada..

Dalam kul 12 kami bertolak ke jeti, ambil boat kul 2.30 if tk silap saya..yeke?ntah..lupa..haha..
smpai jeti kame terpaksa sewa troli n pengangkutnya sekali..RM 20 utk satu troli..byk sgt barang malas nak angkut..sementara tggu feri, kami berkeliaran di jeti..melayan kerenah budak2 mcm anak ayam exactly, lari sana lari sini..haih...

Dlm kul 4 smpai jeti kuala perlis, makan2 sebelum bertolak pulang ke selangor....kerana kepenatan, byk kali berhenti dan kami smpai Kg Melayu Subang dlm kul 1.45am...maka demikianlah kisah percutian kami yg singkat tp di penuhi dgn sebaik mungkin dan menjadi bermakna kpd kami semua..jom..cuti2 malaysia~!! Alhamdulillah, semuanya ada di sini..^^

Sunday, March 22, 2009

Berfikir, Belajar dan Berkongsi.

Assalamualaikum wbt..

Kali ini saya ingin menarik perhatian sahabat yang dikasihi mengenai perlunya berfikir dan belajar. Sebagai manusia yang dianugerahkan nikmat akal dan iman, kita seharusnya tahu memanfaatkan anugerah kurniaan Ilahi ini sebaik yang mungkin demi kemaslahatan diri kita, keluarga dan zuriat kita, masyarakat, seluruh umat Islam dan juga penghuni alam ini, dengan izin Allah.

Pembuka Kata.

Belajarlah hingga ke negeri China, belajarlah sejak dari buaian hingga ke liang lahad, saya setuju, selagi kita tidak menghembuskan nafas yang terakhir, selagi itulah kita tidak lepas dari proses pembelajaran, dan sesungguhnya, ilmu Allah Maha Luas.. Belajar tidak semestinya menghadap buku atau ketika kita duduk di kerusi bilik darjah, di mana-mana sahaja, jika kita rela membuka mata, hati dan akal untuk menerima ilmu secara positif, insyaAllah, kita akan mampu belajar benda baru setiap hari.

Selalunya, semakin banyak kita belajar, semakin banyak rupanya yang tidak kita ketahui. Dan seterusnya, jika semangat ingin tahu dan semangat ingin belajar itu tinggi, ia mampu menjadi pemangkin dan pembakar semangat kita untuk terus berfikir dan mengkaji, akhirnya dengan izin Allah, ilmu kita akan bertambah, dari hari ke hari, insyaAllah..

“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
(Adh-Dhukhaan: 38-39)

"Dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, dan bahtera yang berlayar di lautan untuk kemaslahatan manusia, dan air yang dikirimkan Tuhan dari langit - yang dengannya dihidupkanNya bumi sesudah mati (kering) dan disebarkanNya berbagai jenis mahluk - dan angin serta awan yang bergerak dengan patuhnya ke berbagai arah di antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda bagi mereka yang menggunakan akalnya. "(Surat al-Baqarah: 164)

"Dan Dia lah yang membuat segala yang di langit dan segala yang di bumi tunduk kepadamu. Itu semua dari Dia. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasan Tuhan) bagi orang-orang yang berpikir." (Surat Al-Jasiyah: 13)

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”
(Surah Ali-Imran: 190-191)

Lesen P.

Ketika mula-mula mendapat lesen P, saya berasa sangat tidak yakin ketika di jalan raya. Malah, hari pertama memandu kereta sendiri, saya telah berjaya mencalarkan kereta saya dan pemandu lain ketika hendak memarkir sisi, sedangkan ketika mengambil ujian mendapatkan lesen memandu, saya dapat menyelesaikannya dengan sempurna kurang dari 3 minit.

Sepanjang perjalanan dari rumah ke ofis mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja, tapi saya sering di hon oleh pemandu lain, terutamanya ketika melalui roundabout..Tanda saya sering melakukan kesalahan ketika memandu. Genap tiga bulan memandu kereta sendiri, saya dengan jayanya berjaya kemekkan kereta saya di bahagian sisi kerana tidak pandai mengagak ketika hendak keluar dari simpang, divider jalan telah saya langgar.

Lebih kurang lima bulan memandu, saya dikehendaki out station ke Pasir Gudang, tak lama kemudian saya mendapat surat cinta dari polis, di saman kerana memandu melebihi had laju lebuh raya ketika speed track. Saman RM 300.

Dua bulan kemudian, saya sekali lagi dikehendaki outstation di Pasir Gudang, dua minggu saya di sana dan sekali lagi saya berlanggar dengan kereta lain ketika ingin keluar simpang, nasib baik cuma calar di bahagian bumper kereta dan kereta satu lagi juga calar ringan dan kami tidak apa-apa. Alhamdulillah. Dengan izin Tuhan adanya.

Baru Belajar.

Mungkin lumrah, ketika mula-mula belajar dan mendapat 'ilmu' baru, jarang yang dapat menggunakan dengan sebaik mungkin. Kadang-kadang ower power kadang-kadang terlalu perlahan. Tidak tahu keadaan yang paling optimum. Tidak tahu kebolehan dan kemampuan diri.

Mula-mula memandu, saya selalu memandu 100km/h dan ke atas, sedangkan saya masih terlalu mentah dan tidak mahir selok belok jalan, hasilnya saya selalu terlajak jalan dan sering juga sesat. Kawan-kawan dan keluarga memang tak berani menjadi penumpang. Seram dengan pemanduan saya.

Alhamdulillah, setelah lebih setahun memandu, saya sedikit sebanyak mampu meningkatkan kemahiran/skill memandu saya. Tidak lagi tergopoh-gapah ketika di jalan dan lebih tenang dan selesa ketika memandu, Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita menjadi lebih baik. Memandu bukan lagi bebanan kepada saya.

Untuk sampai ke tahap ini (selesa ketika memandu) memerlukan masa dan kesabaran. Jatuh sekali sekala adalah perkara biasa. Asalkan kita ada niat dan kesungguhan untuk belajar, tidak mengalah dan tidak berputus asa. InsyaAllah dengan izin Allah, kita mampu menjadi yang lebih baik.

Di tangan kita ada pisau, kita boleh gunakan pisau itu untuk membunuh, untuk menajamkan kayu menjadikannya lembing, atau kita juga boleh gunakan pisau itu untuk memotong sayur dan buah. Kita juga mungkin boleh jadikan pisau itu sebagai perhiasan, biarkan pisau itu berkarat dan lama-kelamaan menjadi tumpul, terserah kepada kita kerana pisau itu milik kita dan kini digenggaman kita.

Kita ada kemahiran dan kebolehan, semua itu anugerah dari Tuhan, terserah kepada kita bagaimana untuk mengaplikasikanya dalam kehidupan seharian kita agar bermanfaat kepada kita bahkan, juga mungkin mampu memberi kebaikan kepada insan lain yang memerlukan.

Jadilah pohon rendang, menjadi teduhan kepada musafir yang singgah melepaskan lelah, dahannya menjadi persinggahan kepada burung yang kepenatan, akarnya teguh mencengkam bumi menahan runtuhnya tanah dan bukit...Pohon itu banyak jasanya..tapi alangkah lebih indah, jika pohon itu berhasil mengeluarkan buah yang masak ranum..Sesiapa saja boleh menikmati manisnya buah itu, tersenyum dan gembira dengan kelazatan buah itu..

Penutup.

Setiap yang hidup pasti akan mati. Saya juga akan mati. Semoga hayat yang ada ini dapat digunakan sebaik yang mungkin agar dapat memberi manfaat kepada insan lain dan semoga dapat dijadikan bekalan untuk di akhirat sana. InsyaAllah, dengan izin Allah.

"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (H/R Bukhari, Tirmidzi dan an-Nasaii)

Wallahua'alam.

Friday, March 20, 2009

Burung Tak Semuanya Terbang.

Alhamdulillah, kita masih berkesempatan menyedut udara nyaman di hari Jumaat yang mulia ini. Alhamdulillah, jasad dan nyawa ini masih dilanjutkan kontrak pinjamannya, hingga ke hari ini.

Dan pada saya. Hari ini hari penentu? Saya harus membuat keputusan. Harus bagaimanakah?

Soalan. Jika anda seorang bos, anda tawarkan suatu tanggungjawab baru kepada pekerja anda pastinya dengan gaji yang lebih tinggi, tetapi pekerja tersebut meminta tempoh yang panjang untuk membuat keputusan. Bagaimana persepsi anda?

Pekerja ini seorang yang tidak dapat membuat keputusan yang tepat dengan cepat? Pekerja ini tidak layak mendapat tawaran itu? Atau pekerja ini terlalu berhati-hati dengan tindakannya, tidak membuat keputusan melulu? Pekerja ini sesuai dengan tawaran itu? Atau apa lagi kemungkinannya? Wallahua'alam.

Baiklah, tazkirah ringkas pagi ini. Tentang apa yang kita lihat.

Kadang-kadang kita terlalu yakin dengan apa yang kita lihat. Kita percaya kita di pihak yang benar. Kita bersungguh-sungguh menegakkan kebenaran. Tapi, segelintir manusia lain ada yang melihatnya berbeza. Contohnya, orang yang menghidap rabun warna jarang menyedari kekurangan mereka. Mereka tidak dapat membezakan warna merah dengan hijau atau biru dengan kuning. Jadi, mereka yakin dan percaya, daun warnanya merah (kerana pada mereka adalah hijau). Dan adakah mereka salah kerana melihat merah sebagai hijau? Fikirkan..

Jadi, pada pendapat saya, dalam kehidupan seharian kita, kita tidak boleh menganggap semua orang mampu melihat sama seperti apa yang kita lihat. Begitu juga dengan cara memberi dan menerima pandangan. Setiap orang mempunyai pendedahan yang berbeza makanya tahap penerimaan setiap orang juga berbeza. Maka, bersederhanalah dalam memberi dan menerima. Think and care bout others.

Tak semua burung boleh terbang.

"Dik, kalau ikan berenang, kalau katak?" soal saya.

"Melompat" jawab ashraf.

"Kalau burung?" tanya saya lagi.

"Terbang!" jawab ashraf lagi.

Ya, jawapan itu benar, tapi untuk kanak-kanak yang belum kenal erti kehidupan. Hakikatnya, tak semua burung boleh terbang, burung puyuh tidak boleh terbang!



Burung Puyuh.

Kesimpulannya, kita tidak boleh menilai secara pukal. Kita tidak boleh menghukum dan meletak justifikasi secara keseluruhan dengan hanya bersandarkan kepada satu fakta. Contoh: Kalau burung=terbang. Sedangkan ciri-ciri lain seperti adakah dia mempunyai bulu yang boleh membantunya terbang atau ekor yang boleh mengimbangkan tubuh semasa terbang juga sepatutnya diambil kira.

Penutup.

Apa yang kalian perolehi dari cerita saya hari ini? Nothing? Sorry for my weakness..^^

Wednesday, March 18, 2009

Aku Ingin Pergi.

Detik waktu terus berlalu,
Dan bumi masih berputar,
Mentari terbit dan sirna,
Tanda kiamat belum tiba.

Di sini hari ini,
Aku masih lagi kaku,
Tunduk berteleku,
Langkahku beku,
Anganku menjadi debu,
Hancur luluh hatiku.

Tak ingin aku menangis,
Itu bukti lemah!
Tak ingin aku berundur,
Itu bukti tewas!

Bangunlah, berdirilah, berlarilah.
Teruskan langkah, jangan berhenti,
Biar kakimu sakit lututmu berdarah,
Berlarilah jangan berhenti,
Bangunlah andai jatuh,
Melompatlah lebih tinggi.

Bahagia.
Bawa daku pergi,
Jauh dari derita.
Bawalah daku pergi
Dari kelam hidup ini.

Tuhan.
Bimbinglah hati ini,
Teguh menuju jalan Mu,
Bawalah daku pergi,
Biar dekat dengan Mu,
Biar mati pun,
Sanggup aku tempuhi..

Nukilan:
Aku Sendiri @ Semut2comel @ AsNiza @ Princess Ibrahim

Tuesday, March 17, 2009

Kasihku Untukmu Ummi

Jam menunjukkan pukul 6.05 minit pagi. Balqis bangkit dari tidur, membuka matanya dengan lemah sekali. Dia mengucapkan syukur kerana masih di panjangkan umur lalu terus bergegas ke bilik air untuk mandi dan membersihkan diri.

Selesai semuanya, Balqis membentang sejadah lalu memakaikan telekung membalut tubuhnya. Dia menunaikan kewajipan pertamanya pada hari itu dengan penuh kekusyukan. Di akhir solat itu, dia menadah tangan, memohon keampunan daripadaNya, memohon kekuatan dariNya dan mengadu segala keresahan dan derita yang ditanggungnya..hanya kepada Dia Balqis mengadu..Panjang sekali doanya..begitu banyak aduan dan harapan di tagih dariNya..benar-benar dia memohon di anugerahkan kekuatan dariNya utk meneruskan kehidupannya di hari-hari yang mendatang.

Suara tangisan Athirah mengejutkan lamunan Balqis. Airmata yang mengalir di pipi di seka pantas. Dengan tergesa-gesa dia menamatkan doanya dan menutup doanya dengan membaca selawat ke atas Nabi. Jari jemarinya bergerak pantas menanggalkan telekung berwarna putih yang membalut tubuhnya, sesudah melipat telekung sejadah pula dilipat rapi lalu di gantung kembali ke tempat asalnya. Dengan langkah yang penuh berhati-hati Balqis menuju ke arah Athirah.



Athirah masih lagi menangis di tempat tidurnya. Dia bergolek ke kanan dan ke kiri. Menyedari tiada siapa di sisinya membuatkan dia menyaringkan lagi tangisannya, dengan harapan uminya akan segera mendapatkannya. Tidak berapa lama kemudian, uminya sudah ada di sisinya lalu segera mengangkatnya ke pelukan.

Athirah masih lagi teresak-esak.. namun suara merdu yang lahir di bibir wanita itu mendayu-dayu memujuknya supaya jangan menangis. Suara yang penuh kasih sayang. Suara yang penuh rasa cinta.

Athirah memandang wajah wanita yang memeluknya itu. Wajah itu terlalu menyenangkan. Wajah itu pernah mengukir senyum memujuk Athirah supaya jangan menangis namun Athirah dapat melihat, dari celahan kelopak mata uminya itu, ada airmata yang mengalir deras. Sesungguhnya Athirah tidak mengerti.

Kenapa ummi tersenyum dalam tangisan? Adakah orang dewasa selalu begini? "Aneh.."bisik hati kecil Athirah lalu dia berhenti menangis lalu cuba tersenyum kepada umminya itu. dia tidak mahu umminya turut sama menangis sepertinya. Hatinya resah melihat airmata di pipi ummi. Dia tidak mahu.

Beberapa hari yang lalu, ada dua wajah yang selalu menatap dan memeluknya. Athirah tidak tahu siapa mereka namun Athirah sangat berasa selesa bersama mereka. Yang wanita bersuara merdu dan yang lelaki bersuara garau namun kedua-duanya sangat menyayangi Athirah.

Athirah nampak, kedua-dua wajah itu sentiasa tersenyum dan ketawa melihat keletahnya. Athirah juga nampak, kedua-duanya itu juga saling menyintai antara satu sama lain. Athirah juga nampak, umminya bahagia bersama lelaki itu. Tapi kini, wajah lelaki itu sudah tidak lagi menyapa Athirah. Susuk tubuh lelaki itu sudah tidak lagi memeluknya menghangatkan tubuhnya. Suara lelaki itu tidak lagi mendodoikan tidurnya. Di mana dia? Athirah tertanya-tanya.

"Di mana dia??" Jerit Athirah bertambah kuat namun cuma bergema di dalam hatinya. Sejak lelaki itu tiada, ummi sudah berubah. Wajah ummi tidak semanis dulu. Wajah ummi sarat dengan pelbagai emosi yang susah untuk Athirah tafsirkan. Ummi tidak lagi ketawa riang seperti dulu. Seolah-olah separuh dari hidupnya sudah di rampas.."Kejamnya..siapa yang rampas ayahku?" tangis Athirah bersatu setelah melihat umminya menangis memeluknya untuk kesekian kalinya.

Athirah dapat merasakan derita yang sarat di tanggung umminya. Hati Athirah juga sakit namun Athirah tidak mampu berbuat apa-apa. Ubtuk memujuk ummi juga Athirah tidak mampu..Saat ini, dia hanya mampu menangis dan tersenyum sahaja..merangkak pun Athirah tidak tahu..Bagaimana pula dia hendak memujuk ummi? Athirah benar2 resah lalu memeluk umminya erat-erat..dalam hati memohon.."Tuhan, Kau tabahkanlah hati ummi ku..dalam doanya tadi aku terdengar dia merayu drpMu, dalam doanya tadi aku terdengar dia memohon daripadaMu, dalam doanya tadi aku terdengar dia memohon supaya Kau tempatkan roh suaminya dalam golongan yang Kau kasihi..dan sampai di situ saja aku mampu mendengar kerana selepas itu, kata-kata ummi tidak lagi jelas, yang kedengaran cuma tangisan dan esakkan. Aku tidak mengerti di mana suami ummiku namun aku memohon, agar Kau tunaikanlah doa-doa ummiku, Tuhan.."

____________________________________________________________________

Masa berlalu pantas. Sekarang Athirah sudah dewasa. Athirah sudah tahu soal hidup dan Athirah juga tahu apa itu mati. Athirah juga sudah mengerti siapa dia di dunia ini dan kenapa dia ada di dunia ini. Athirah juga tahu siapa yang menciptanya dan Athirah juga tahu bahawa hidup di dunia ini cuma sementara. Athirah tahu, segala apa yang ada di dunia ini, hanyalah pinjaman daripadaNya dan Dia berhak merampasnya bila-bila masa sahaja. Bila-bila masa sahaja. Athirah tahu..

Jika dulu, ketika bersekolah rendah, dia hairan kenapa semua teman sekelasnya mempunyai ibu dan bapa, namun dia tiada. Yang ada cuma ummi. Pernah juga rakan-rakannya mengejek mengatakan dia anak yatim, tiada bapa. Athirah tidak mengerti apa-apa namun bila makin hebat mereka mengejek Athirah akhirnya menangis sambil pulang ke rumah lalu mendapatkan umminya. Dalam pelukan ummi Athirah menyambung esakan. "Ummi..kenapa Athirah tiada ayah seperti kawan-kawan yang lain?"..itulah soalan Athirah berulang-ulang kali. Namun ummi selalunya akan diam lalu memeluknya. Ummi akan tersenyum lalu mengusap-usap kepalanya.

Pernah juga ummi menangis melihat Athirah menangis namun Athirah tidak mengerti apa-apa. Ummi selalu berkata "Tuhan lebih menyayangi babah Athirah.." Namun Athirah tetap tidak berpuas hati lalu menyoal.."Kalau Tuhan sayangkan babah..kenapa Dia curik babah Athirah?"..demikian soal Athirah yang sememangnya tidak mengerti apa-apa. Dia memang tidak mengerti.

"Athirah..buat apa tu sayang?" suara ummi yang datang dari belakang mengejutkan lamunan Athirah. Dengan segera dia memalingkan wajahnya menatap wajah Ummi. Athirah mengukir senyum, Ummi juga membalasnya."Ummi, terima kasih untuk segalanya.." tidak semena-mena Athirah mengucapkan kata-kata itu lalu memeluk Balqis. Balqis terpinga-pinga, kaget namun masih membalas pelukan puteri kesayangannya itu. "Hurmm..thanx for what my dear? Ada buat salah ngan Ummi ke nie?.." Balqis cuma memerangkap buah hati kesayangannya itu.

"Mana ada buat salah, tak baik tau Ummi cakap anak ummi yang baik nie camtu.." Athirah membalas dan meleraikan pelukannya. Mukannya sengaja di masamkan, buat-buat merajuk.

"Alahai..merajuk la pulak dia...Ummi tahu anak Ummi ni memang baik, hish..usik sikit pun nak merajuk.." balas Balqis pula lalu memicit hidung Athirah..Athirah mengaduh..Hidungnya kemerahan menahan sakit lalu Balqis ketawa melihat gelagat puterinya itu. Lalu mereka sama-sama ketawa lalu meneruskan kebiasaan mereka dengan bersembang berkongsi cerita. Sememangnya antara mereka tiada rahsia dan Athirah benar-benar bersyukur di anugerahkan Ummi yang sangat mengasihinya. "Syukur padaMu Tuhan." bisik Athirah di dalam hatinya.

"Tuhan kurniakan dugaan hanya kepada hambaNya yang benar-benar mampu menanggungnya. Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani. Dia tahu kita mampu melalui dugaan hidup ini maka dia menjemput babah kembali ke sisiNya sewaktu Athirah berusia 5 bulan. Athirah masih bayi. Dan Ummi bersyukur kerana Athirah hadir dalam hidup Ummi. Athirah menjadi penguat semangat Ummi. Athirah lambang cinta Ummi dan Babah. Demi Athirah Ummi berjuang meneruskan kehidupan ini. Terima kasih sayang..Moga rahmat Tuhan sentiasa bersama kita, semoga Athirah menjadi anak yang solehah, supaya Ummi kelak tidak rasa bersalah bila berhadapan dengan Babah di sana kelak. Athirah buah hati Ummi dan Babah..Ummi sayang Athirah..Jadilah hamba Allah yang solehah. Ummi tidak mampu limpahkan wang dan harta untuk Athirah, tapi Ummi bekalkan Athirah dengan ilmu dan didikan agama..Athirah harus ingat, untuk bahagia di dunia dan akhirat, kita perlukan Ilmu.."Itulah kata-kata Ummi yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga Athirah.

Pesan Ummi lagi.."Hidup umpama roda, sekejap kita di atas dan kemudian di bawah pula. walaupun kelak kita jatuh ke bawah, jangan mudah berputus asa kerana roda sentiasa berputar dan kita tidak selamanya akan berada di bawah. Jatuh, menangislah jika mahu tapi jangan terus meratapi nasib, bangkitlah dari kegagalan lalu berusahalah lebih gigih, insyaALLAH kejayaan akan jadi milikmu sayang.."

Kata Ummi lagi.."Untuk bahagia kita tidak perlukan segala apa yang kita inginkan..kadang-kadang, apa yang sudah kita miliki itu sebenarnya sudah memadai untuk membuat kita bahagia. Belajarlah bersyukur ya sayang.."

Dan kata Ummi lagi.."hidup di dunia ini cuma sementara. Ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan. Menangis dan meratapi pemergian orang yang sudah tiada umpama suatu tindakan yang sia-sia. Sapulah airmatamu dan halaulah segala kedukaan. Kematian memisahkan kita namun tiada di mata tidak bermakna tiada di hati. Bila seseorang anak adam itu mati, terputus segalanya kecuali beberapa perkara, antaranya adalah doa anak-anak yang soleh..Ummi harap, Athirah sentiasa ingat Babah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan Babah.."

Dan sebenarnya terlalu banyak kata-kata Ummi yang sentiasa tersemat rapi di ingatan Athirah. Seteguh kasihnya kepada Ummi, sekuat itu juga ingatannya tidak lupakan segala pesan Ummi. Segala jerit perih Ummi membesarkannya sejak dia sebesar tapak tangan hingga kini besar panjang tidak akan dia sia-siakan. Akan dia balas segala jasa Ummi, dengan izin Tuhan, itu janjinya."Ummi..Athirah sayang Ummi..dunia dan akhirat.." desir hati Athirah penuh ketulusan dan keikhlasan.."Demi Tuhan!"

"Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosa kedua ibu bapaku..kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil..amin.."

Nukilan: Aku Sendiri @ Semut2comel @ AsNiza @ Princess Ibrahim


Nota kaki: Cerpen ini pertama kali di publishkan di blog lama Aku Sedang Bercerita dan kali kedua di publishkan iLuvislam.com

Monday, March 16, 2009

Liverpool Vs Man Utd~!!

Honestly saya bukanlah peminat bola. Seumur hidup saya boleh dikira dengan jari berapa kali saya menyaksikan perlawanan bola. Masuk stadium menyaksikan perlawanan bola baru dua kali, itu pun kerana menemani teman serumah. Menyaksikan di skrin juga jarang, mungkin beberapa kali. Itupun secara berkumpulan, sama-sama memeriahkan restoran mamak sewaktu belajar dulu. Skrin yang besar, penonton yang ramai, terasa juga kemeriahannya. Harapkan saya seorang diri 90 minit terpaku di hadapan tv semata-mata menyaksikan 22 orang mengejar sebiji bola, pastinya sesuatu yang mustahil.

Liverpool.

Saya memang tak minat bola. Tiada team feveret. Pasal game pun saya sebenarnya tak tahu. Apa yang saya tahu, jika bola membolosi gol pihak lawan, maka dapatlah satu gol. Team mana score lebih banyak gol maka dialah yang menang, thats all.

Dalam banyak-banyak team yang menjadi sebutan, hanya Man Utd dan Liverpool yang menarik perhatian saya. Kenapa liverpool. Kerana sejak di tingkatan dua, teman sekelas kebanyakannya bercerita mengenai kehebatan Liverpool. Saya tetap sama, tiada beza dan tetap tak minat bola, tapi selalu juga dengar nama-nama seperti Owen, Fowler dan lain-lain.

Masuk zaman universiti, kebetulan bercampur dengan peminat fanatik Liverpool. Dan saya mula-mula menyaksikan perlawanan bola kerana mengikut peminat ini. Pastinya perlawanan yang melibatkan Liverpool dan pastinya kami menyokong Liverpool. Err..sebenarnya mereka menyokong Liverpool. Saya sekadar tumpang gembira bila rawang gol pihak lawan dicerobohi Liverpool.

Man Utd.

Entah, tidak diketahui kenapa. Tapi saya tidak gemar dengan team ini. Mungkin kerana team ini paling ramai peminat, mungkin. Mana-mana saja orang bercakap tentang kehebatan mereka, pasukan yang hebat, miliki pemain yang hebat dan pengurus yang bijak. Wah, jadi meluat pula saya. Dulunya nama Beckham, Giggs jadi sebutan, sekarang ada pulak Ronaldo, Rooney..wahh..bosannya...

Tapi, ada masanya saya juga sebenarnya gembira jika team ini menang, sebab saya tahu ada seseorang yang gembira sakan meraikan team feveretnya itu. Dia gembira, saya tumpang gembira. Saya suka kalau Man Utd menang, tapi team yang kalah itu seharusnya dan pasti bukan Liverpool. eheh..Belasahlah sesiapa saja kecuali Liverpool, sorry..

13th March 2008.



Mengikut record, Man Utd tak pernah kalah di gelanggang sendiri. Old Trafford adalah gelanggang maut utk pasukan pelawat. Dan mengikut statistik perlawanan antara Man U dan Liverpool, dalam 18 pertemuan sebelum ini, Man U menang 11 kali ke atas Liverpool dan Liverpool cuma pernah mengalahkan Man U sebanyak 7 kali (yeke..statistik n data ni aku lemah sket, eheh).

Walaubagaimanapun, keyakinan yang tinggi Rafael Benitez dan pemain Liverpool setelah berjaya mengalahkan Real Madrid 4-0 beberapa hari sebelum perlawanan di OT, akhirnya membuahkan suatu magik yang sangat mengujakan. Semangat ingin menang kerana ingin merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga (Man Utd) juga mungkin menjadi salah satu pendorong kemenangan.

Perlawanan malam itu menyaksikan Cristiano Ronaldo (Man Utd) membuka jaringan seawal minit ke 23. Namun itu sedikit pun tidak mematahkan semangat pihak lawan. Akhirnya, sewaktu separuh masa pertama, Fernando Torres dan Steven Gerrard dari Liverpool menghadiahkan 2 gol untuk Liverpool, semakin menambahkan keyakinan Liverpool beraksi di gelanggan pihak lawan.

Ketinggalan dengan cuma satu gol, Man Utd makin parah setelah seorang pemain diberikan kad merah oleh pengadil. Man Utd bermain dengan cuma 10 pemain. Dan akhirnya, pada minit ke 77, Fabio Aurelio menjaringkan satu lagi gol dan di tambah gol ke empat pada minit ke 90 oleh Andrea Dossena.

Penutup.

Akhirnya, Man Utd maut di gelanggang sendiri. Liverpool menang dengan begitu bergaya. Keputusan memihak kepada Liverpool dengan score 4-1. Menjadikan mata Liverpool bertambah kepada 61 mata, kini di tangga ketiga berkongsi mata dengan Chelsea dan Man Utd kekal 65 mata masih lagi mendahului liga.

Ada beberapa perlawanan lagi untuk di lalui. Aku harap kali ini, Liverpool dapat merebut gelaran juara dari juara bertahan Man Utd. Apa-apa pun, kalah menang memang adat perlawanan. Yang penting, kerjasama. wonderpets!

Okeh, sekian.


p/s: wahhh..first time ni aku cerita pasal bola, hari ini dalam sejarah. semangat nyer pasal, haha.

Sunday, March 15, 2009

Sebuah Suratan Takdir.

November 2008

Tup tap tup tap..


Bunyi air menitis dari bumbung rumah menyentuh lantai mengganggu lamunanku, mulanya berirama perlahan kini rentaknya semakin laju. Hujan yang turun lebat sejak dari awal pagi tadi benar-benar meresahkan aku. Bertambah resah setelah menyedari bumbung di bilik tingkat atas tiris. Aku kelam kabut mencari baldi, menadah air yang tiris agar tidak membasahi ruang bilik. Untuk sementara waktu.

Dalam hati aku sempat merungut, agak tidak berpuas hati dengan rumah yang baru dimiliki bersama Lukman dua tahun yang lepas. Inilah akibatnya bila pemaju perumahan mengambil lewa dalam kerja yang dibuat. Melihat keadaan semakin teruk, aku membuka buku kuning Yellow Pages, membelek setiap helaian, mencari nombor yang sepatutnya dihubungi. Beberapa minit mencari, akhirnya aku mengambil telefon lalu mula mendail.

Suara Syakilla menangis kedengaran sayup. Aku cepat-cepat berlari anak menuju ke bilik utama, segera mendapatkan puteri kesayanganku yang baru belajar meniarap. Dia mungkin baru terjaga dari tidurnya, sedang menangis di katilnya. Aku mendukungnya, menepuk belakangnya perlahan-lahan. Memujuk.

"Anak abah nape, lapar yer?" tiba-tiba Lukman menegur dari belakang. Aku tersentak lalu menoleh ke arah empunya suara. Dia tersenyum. Aku senyum. Namun Syakilla masih juga menangis. "Abang pergi mana tadi?" soalan itu meluncur dari bibirku. Lukman cuma sekadar tersenyum kemudian diam.

__________________________________________________

Hari ini aku bekerja seperti biasa, seawal jam 5.30 pagi aku bangkit. Selesai mandi dan solat subuh, aku mula mengemas rumah dan menyidai pakaian yang sempat dibasuh sebelum masuk tidur. Kemudian, aku mengemas barang-barang Syakilla untuk dibawa bersama ke nursery, kemudian ke dapur menyediakan sarapan pagi. Sejak kebelakangan ini, Lukman jarang sekali makan bersama. Dia lebih suka menjadi pemerhati, menemani aku menghabiskan sarapan pagi sambil tersenyum manis. Pernah juga aku merajuk, berkecil hati dengan sikapnya itu namun dia seperti selalu, pandai pula memujuk dan mengambil hati. Lama-kelamaan, aku juga sudah menjadi terbiasa. "Biarlah..Asalkan dia sentiasa ada bersamaku.." bisik hati kecilku..

Jam menunjukkan pukul 7.30 pagi, aku segera bersiap-siap untuk bertolak. Syakilla aku bawa bersama. Dalam perjalanan nanti aku akan singgah ke nursery untuk menghantarnya. Biasanya aku dan Lukman akan sama-sama menghantarnya, tapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Lukman kerap menolak untuk ikut serta, katanya aku seorang diri sudah mampu menguruskan Syakilla, aku malas hendak berbahas, ikutkan sahaja kehendaknya.

Lagipun aku tahu, syurga isteri di bawah telapak kaki suaminya. Selagi aku mampu, aku tidak ingin membebankan suamiku. Enjin kereta dihidupkan. Aku menyalami dan mengucup tangan Lukman, kemudian dia mengucup dahiku, seperti selalu. Lukman menutup pintu kereta untukku, aku tersenyum lalu mula mengundurkan kereta perlahan keluar dari parking. Sebelum memecut laju, aku melambai ke arah Lukman yang masih setia berdiri di halaman rumah.

Aku sempat memandang ke arah kanan rumahku. Marlia jiran kami sedang berdiri kehairanan. Seperti selalu. Aku sebenarnya sedar, sudah lama dia memerhatikan kami. Sudah banyak kali aku ditegurnya, hingga lama-kelamaan aku menjadi kalih. "Jika fikirkan apa kata orang, sampai bila pun takkan habis.." aku memujuk diri.
"Biarlah apa orang nak kata..yang penting aku bahagia bersama Lukman dan Syakilla.."


__________________________________________________

Petang ini aku pulang awal. Lambakan kerja di ofis aku abaikan. Emak dan ayah akan datang dari kampung, aku ingin menjemput mereka di terminal bas Puduraya. Laju aku memecut kereta agar mereka tidak ternanti-nanti di terminal bas. Aku sayang keduanya.

Sampai di terminal bas, aku melilau mencari kedua orang tuaku. Lebih kurang 15minit kemudian aku melihat kelibat mereka. Segera aku menyalami mereka. Tanda hormat dan kasihku terhadap insan yang melahirkan dan membesarkan aku.

"Mak, ayah..Lukman minta maaf sebab tak dapat jemput mak petang ni.." aku menyampaikan pesanan Lukman. Namun aku menjadi pelik kerana tiba-tiba air wajah kedua orang tuaku itu berubah. Hairan melihat mereka saling berpandangan. Mereka cuma diam, aku keberatan untuk bertanya.

_____________________________________________

Usai solat magrib bersama, aku menyalami emak dan ayah. Sudah lama tidak menjadi makmum ayah, hampir menangis aku dibuatnya bilamana mendengar suara merdu ayah membaca doa untuk kesejahteraan kami semua. Setiap doanya di sambut ameen olehku dan emak. Suasana berubah menjadi syahdu.

Akhirnya, ketika bersalam dan memeluk emak, aku tewas, lalu menangis seperti anak kecil. Berjuraian airmata mengalir dari kelopak mataku. Tiba-tiba aku merasakan kosong dan kesunyian yang amat. Perasaanku menjadi celaru. Hatiku sakit bagai disiat-siat. Aku sendiri tidak tahu kenapa. Tapi ia benar-benar menyakitkan. Emak menepuk bahuku perlahan-lahan. Dia yang melahirkan aku. Dia yang membesarkan aku sejak dari sebesar tapak tangan. Dia pastinya lebih memahami derita yang aku tanggung. "
Sabarlah Suraya.." Pujuk emak berkali-kali. Aku menangis teresak-esak.

Selesai solat dan makan malam, aku membancuh air di dapur sementara emak dan ayah sedang bermain-main bersama cucu bongsu mereka di ruang tamu. Seketika kedengaran suara Syakilla ketawa mengekek, seronok agaknya dilayan. Aku menatang dulang air lalu meletakkannya ke meja. Menuang air untuk emak dan ayah lalu duduk bersimpuh di sebelah emak.

Tiba-tiba ayah bersuara..
"Sue, bagaimana kamu sekarang? Ayah dan emak sangat risau pasal Sue.." ayah memulakan bicara. Aku mendiamkan diri. Ayah masih menanti jawapan dariku.

Aku senyum lalu menjawab,
"Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja ayah..cuma tulah, kadang-kadang penat juga, ayah tahula abang Lukman tu, kejap ada, kejap hilang, busy sangat dia kebelakangan ini.."

Seperti petang tadi, riak wajah ayah berubah lagi lalu segera memandang emak. Emak juga sama. Wajahnya menggambarkan dia sedang kebimbangan. Aku anak dia, pastinya aku dapat membaca maksud reaksi wajahnya. "Ayah, emak kenapa yer..dari tadi Sue tengok macam semacam je bila Sue sebut nama Lukman.." aku terguris lalu tunduk memandang ke lantai.
"Astaghfirullahalazim Sue, banyakkan beristighfar, mengucap nak.." emak merapati aku lalu menepuk bahuku lembut, penuh kasih sayang, namun membuatkan aku semakin terluka.

"Kenapa emak dan ayah nie? Sue tak faham.." aku bertanya meminta penjelasan.

"Sue, jangan jadi macam nie nak, terimalah qada dan qada' Allah..berpijaklah di bumi yang nyata nak..lupakan Lukman.." emak memujuk lagi namun pedih di hatiku makin terasa. Aku tidak mengerti apa yang ingin disampaikan oleh orang tuaku. Komplikated.

"Ok, ok, jadi, mak dan ayah pun nak cakap Sue gila la yer? Sue tahu, ni mesti Kak Long yang mengadu pasal Sue kan?" Aku benar-benar terguris kali ini. Cukuplah jiran-jiranku memandang serong terhadap aku dan Lukman. Kak Long juga pernah menegur aku dan menyuruh aku berjumpa doktor, kali ini, kedua insan yang paling aku kasihi selepas Lukman juga seolah-olah menentang hubungan aku dengan Lukman.

"Kenapa mak? Sedangkan emak dan ayah juga yang dulunya menerima pinangan Lukman, sedangkan emak yang membantu Sue membuat persiapan pernikahan, dan ayah yang mewalikan Sue semasa pernikahan kami, tapi kenapa sekarang emak dan ayah menentang hubungan Sue dengan Lukman? Sue tidak faham, kenapa emak dan ayah tiba-tiba berubah..." Air mata aku mula mengalir deras. Aku menangis di hadapan emak dan ayah untuk kesekian kalinya. Emak juga kelihatan sedih. Emak cuba memeluk aku namun aku menepis. Aku hilang pertimbangan, mungkin.

"Astagfirullahalazim Sue..Jangan macam nie sayang, orang dah tak de jangan dikenang, ini semua takdir Tuhan nak. Ajal maut semuanya di tangan Dia, Lukman dah meninggal nak.." emak memujuk aku dalam esakan, namun aku enggan mendengar. Aku masih menangis. Dan sebenarnya aku sendiri sudah tidak pasti kenapa aku menangis. Entahlah..

"Tidak, abang Lukman masih hidup mak, dia selalu ada bersama Sue, dia masih hidup!" aku masih berkeras.

Ayah yang dari tadi mendiamkan diri tiba-tiba bersuara.
"Sue tengok nie, pemandu pesawat, Lukman Hakim Bin Kamarul , meninggal dunia kerana pesawat terhempas, istighfarlah Sue..Lukman dah tiada..Terimalah ketentuan Ilahi, percaya pada Qada' dan Qadar.." Ayah menuturkan kata sambil menunjukkan keratan akhbar kepadaku.

Benar, nama itu nama suamiku dan gambar yang terpampang adalah wajah suamiku. Air mata bertambah deras mengalir...emak pantas memelukku. Kemas. Tangisan kami kini bersatu.

_______________________________________________

September 2008.

Aku sedang sibuk menyiapkan tugasan di ofis, terlalu banyak kerja yang perlu di siapkan kerana aku baru sahaja kembali dari cuti bersalin. Tiba-tiba telefonku menjerit minta di angkat. Di skrin telefon tertera nombor yang tidak dikenali. Aku tidak tahu kenapa, sejak sejam yang lalu jantungku berdegup kencang. Seolah-olah ada petaka bakal melanda. Memujuk hati, aku menolak perasaan tidak enak itu pergi jauh namun deringan telefon kali ini menambahkan lagi resah di hatiku, aku menekan butang hijau lalu mula menjawab panggilan..

"Assalamualaikum wbt..Puan Suraya Majid ke? Maaf puan, saya ada berita buruk ingin disampaikan, suami puan Lukman Hakim Kamarul baru saja meninggal dunia kerana kemalangan sewaktu latihan.." hanya itu yang sempat aku dengar kerana selepas itu aku pitam tidak sedarkan diri..

~::TAMAT::~

Nukilan: Aku Sendiri @ AsNiza @ semut2comel @ PrincessIbrahim




Friday, March 13, 2009

Spontan~!!

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt..

Kali ini saya janji, cuba menulis seringkas mungkin setelah di komen oleh seorang adik comel lagi cute..kata beliau:
" Kalu jalan-jalan kat blog Kak As kena isi diesel RM 50, huhu.."

BTW, thnx for the comment, kalu tak akak pun tak sedar, iyer tak, i do appreciate, thnx..=)

Cerita.

Jumaat, seperti biasa lunch hour dua jam so i decided untuk rehat kat rumah. Lebih kurang 5 minit saja perjalanan dari ofis. Sebelum balik rumah saya singgah bungkus nasik .

Sambil makan sambil tengok tv, Astro Oasis, rancangan Indahnya Iman.. Oh, sebelum terlupa, untuk menjeleskan anda yang berada jauh di perantauan, eheh, saya tapau nasik + sayur lemak cili api pucuk ubi kayu + ikan percik + sotong masak sambal..huish..best rezeki kali ni, Alhamdulillah..Tengah makan telefon saya berdering. Rupanya adik kesayangan yang bakal kembali ke Ukrida Ahad ini menelefon. Saya jawab dan kami bersembang 6minit 57saat saja. Setelah peluk cium..Tapp..putus talian.

Saya kembali sambung menjamu selera yang terhenti sekejap tadi. Mata masih membulat tertancap di skrin tv. Kerana mungkin saya makan agak rakus, tiba-tiba sambal sotong terpercik masuk ke mata. Aduh, pedih betul..haih..Kupas kulit bawang pun saya serender, ini pulak masuk sambal dalam mata, adeh..

Langsung tak boleh bukak mata. Saya nanar meluru ke arah sinki. Laju. Agak-agak saja sebab tak nampak. Pedih. Bukak paip cuci muka. Lama. Taknak hilang pedih. Saya cuak. Takut juga jadi buta. Cuci lagi berkali-kali. Lagi dan lagi. Sambil itu saya sempat meminta maaf kepada seseorang..

"Alamak mata, sorry aku careless..sorila tak jaga ko betul-betul," ulang-ulang kali saya mengomel. Sampailah mata saya kembali pulih seperti sedia kala. Lap muka kemudian kembali duduk depan tv.

Sedetik dua detik saya tergelak sendirian..."apa kes minta maaf ngan mata? LOL"

Moral of The Story.

Jasad dan nyawa cuma pinjaman dariNya. Hargailah ia sebaik yang mungkin. Wassalam.


Wednesday, March 11, 2009

Belajar Melupakan.

Dalam menempuhi kehidupan ini, pelbagai dugaan dan ujian datang menduga. Dalam kehidupan ini juga kita akan bertemu dengan pelbagai ragam orang. Ada yang menghiburkan dan ada yang menyakitkan. Pengalaman yang di kutip juga ada yang manis dan ada yang pahit mengalahkan hempedu. Namun ingatlah, jangan simpan semua kisah sedih itu di dalam hati dan minda.

Jangan Berdukacita.

Jangan di kenang dan di imbas berulang-ulang kali. Kelak hanya akan menambah luka di hati. Dan selamanya luka itu tidak akan sembuh. Lalu jadilah kita orang yang sentiasa bermasam muka, bersedih hati lalu tiada semangat hidup. Tiada semangat untuk mengubah diri menjadi lebih baik.

Ubat hati yang paling mujarab adalah memaafkan dan melupakan segala kisah yang sedih dan hampa. Untuk menjadi seorang yang bahagia kita sepatutnya menutup lembaran kisah duka, simpan kemas dan rapi dalam lipatan sejarah dan usah di kenang semula. Biarkanlah kisah sedih itu terus kusam dan memburuk di situ dan biarkan ia lupus. Hidup ini penuh dengan warna-warni, maka teruskan hidup dengan mencari sinar baru yang lebih baik.

Terokailah hidup yang indah ini dengan azam dan semangat baru. InsyaAllah kebahagiaan yang di cari pasti akan di temui.

Orang yang suka mengenang hari yang lepas adalah orang yang rugi. Selalu bersedih mengenangkan perkara yang sudah tiada tidak menguntungkan. Sesungguhnya perkara yang sudah berlalu tidak mungkin dan mustahil akan berulang lagi. Menangis berairmatakan darah juga tidak mungkin dapat mengubah sejarah.

Hari lepas adalah sejarah yang tidak mungkin berulang dan hari esok adalah suatu mimpi yang tidak pasti..namun kita harus tabah dan berani menghadapi realiti kehidupan.

Kita hidup hari ini kerana apa yang telah kita lalui semalam, namun ingat, apa yang kital akukan hari ini belum tentu menjadi milik kita pada esok hari. Esok belum pasti menjadi milik kita. Dan Hanya Dia yang Tahu.

Jangan Sekali-kali Berputus Asa.

"Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah dan bantuan Allah itu melainkan kaum yang kafir"[Surah Yusuf:87]

"(Org2 yg mendustakan agama Allah itu telah di beri tempoh yg lanjut sebelum ditimpakan azab) hingga apabila Rasul2 berputus asa terhadap kaumnyha yang engkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai org2 yg berdusta, datanglah bantuan Kami kpd mereka, lalu selamatkanlah sesiapa yg Kami Kehendaki.[ Surah Yusuf:110]

Jangan Berduka Cita, Maafkanlah..

"Dan org2 yg menahan kemarahannya, dan org2 yg memaafkan kesalahan orang" [Surah Ali Imran:134]

"Tolaklah (kejahatan yg ditujukan kpdmu) dgn cara yg lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka org2 yg menaruh perasaan bermusuhan dgnmu dgn serta merta akan menjadi seolah2 seorang sahabat karib.[Surah Fushshilat:34]

Wassalam.

Tuesday, March 10, 2009

Tak Reti Tak Yah Buat?

Saya, sebagai seorang anak, seorang adik dan seorang Mak Ngah, hari ini mengambil cuti Anual Leave sehari untuk menjaga kedua orang anak buah saya. Biasanya emak saya yang menjaga mereka tapi memandangkan emak balik bercuti di kampung, saya menggantikan tempat emak kerana kakak saya dan abang ipar saya tidak dapat bercuti pada hari ini, pengorbanan, semoga mendapat ganjaran dariNya, insyaAllah. Seorang darjah dua(Alya) dan seorang berumur lima tahun(Ashraf).

Tengah hari:

"Mak Ngah bukak pintu cepat", tiba-tiba Ashraf mengejutkan lamunan saya. Dia kelam kabut berdiri di hadapan pintu. Panik.

"Adik nak pergi mana?" saya hairan lalu bertanya. Pelik.

"Adik nak kencing! cepatla bukak pintu!" jawab dia spontan.

"Pergila tandas, kenapa nak keluar?" tanya saya yang bertambah hairan.

"Adik tak reti baca doa masuk tandas, tak boleh masuk tandas", jawab Ashraf jujur.

Saya terdiam, pulak dah...Ashraf..Ashraf...


Persoalan:

Adakah wajar jika kita bersikap mengabaikan, dengan alasan, "Maaf, saya tidak tahu!"

Jika tidak tahu (Peringatan untuk diri sendiri):

Belajarlah untuk tahu, berusahalah untuk ambil tahu...bukan terus-terusan buat-buat tidak tahu.

Wassalam..

Monday, March 9, 2009

Salam Maulidurrasul.

Rasulullah-Hijjaz

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

( korus )
Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela


Rasulullah - Hijjaz

Semoga kita dikurniakan kekuatan dan ketabahan olehNya untuk meneruskan dan menyambung sunnah dan perjuangan baginda. Ameen.

Wednesday, March 4, 2009

Cinta Atau Nafsu?

Utusan 2 Mac melaporkan:

Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.


Harian Metro pula melaporkan:

Mengaibkan apabila semakin ramai remaja perempuan beragama Islam di negara ini kehilangan dara pada usia muda.

Lebih membimbangkan, segelintir mereka berbangga dengan status itu dan beranggapan remaja yang masih dara sebagai kelompok ketinggalan zaman.


Dan Harakah Daily 16 Feb pula turut melaporkan:

Jumlah anak tanpa bapa di Malaysia mencecah 257,411 orang sekarang, sama hebat dengan ancaman penyakit selsema burung atau aedes kata, Senator Muntaz Mohd Nawi.

Beliau ketika merasmikan program Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Bayan Baru di Dewan Orang Ramai Sungai Ara semalam juga membidas dasar kerajaan yang tidak serius menangani permasalah tersebut berbanding ancaman penyakit lain termasuk chikunya.


Bismillahirrahmanirrahim..

Maaf, mungkin topik kali ini tidak di senangi oleh semua orang. Anda berhak untuk berhenti membacanya. Walaupun ini adalah perkongsian yang pahit untuk di telan tapi inilah hakikat.

Adam dan Hawa.

Manusia pertama yang diciptakan iaitu sang Adam menikmati segala yang indah di syurga. Namun Baginda tetap berasa sunyi dan 'kehilangan'. Akhirnya Hawa diciptakan untuk menemani Adam. Barulah Adam berasa lengkap dan sempurna. Mereka bahagia di syurga dan kemudiannya kerana cintanya kepada Hawa, akhirnya mereka dihukum turun ke bumi.

Manusia pertama dan kedua adalah lelaki dan wanita. Saling memerlukan dan saling melengkapi. Masa terus berlalu dan sehingga kini, lelaki dan wanita masih saling memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing ada tarikan yang tersendiri. Wallahua'alam.

Kenapa Nikah.

Masing-masing pasti ada jawapan yang tersendiri. Kadang-kadang bila niat menyeleweng, bukan bernikah kerana mencari keredhaan Allah, tapi bernikah kerana ingin bermegah-megah, bernikah kerana ingin memuaskan nafsu, bernikah kerana seronok melihat orang lain bernikah, bernikah kerana terpaksa, bernikah kerana ingin memiliki si dia semata-mata, maka masjid yang terbina mudah benar runtuh, terjadilah penceraian.

Ramai yang bernikah tanpa berfikir panjang, bernikah dalam keadaan mental dan fizikal yang tidak bersedia, kewangan yang tidak stabil, bernikah tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup menjadi antara sebab punca terjadinya sesebuah penceraian. Wallahua'alam.

Kisah Cinta.

Semalam saya mendapat panggilan telefon dari seorang teman lama. Alhamdulillah. 14 Mac ini dia akan mendirikan rumahtangga. Saya gembira untuknya. Panggilan itu juga berjaya mengimbas kembali 'cerita lama'. Bukan untuk mengaibkan si dia, namun saya rasa elok dikongsikan di sini agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Dia saya namakan A dan bakal suaminya adalah B.

A adalah bekas teman serumah saya. Mula-mula bekerja, saya mencari bilik untuk di sewa dan akhirnya melalui iklan yang di tampal di 7E, saya ditakdirkan berkenalan dengan A. Mula-mula berkenalan, A seorang yang bebas bersosial, ramai kawan lelaki dan bebas keluar dengan sesiapa sahaja. Saya juga tak pernah melihat dia solat. dan malangnya waktu itu saya juga kurang kesedaran dalam perkara 'amar makruf nahi munkar'. Sekadar melarang berbasa basi sahaja.

A pernah putus cinta. Melalui ceritanya, bekas kekasih dia C ada perempuan lain. dan sebelum ini mereka tinggal bersama/bersekedudukan dan pernah di tangkap basah. barulah A berpindah ke rumah kami sekarang. Awal-awal saya menetap dengan A, dia sudah bercinta dengan D, tapi turut keluar dengan lelaki lain X, Y, Z (infiniti). dan pernah sekali dia lambat datang haid, dia kelam kabut mencari bekas kekasihnya C, buat pregnancy test dan sebagainya. (timbul sedikit syak wasangka..kata ex, tapi masih berhubung ke?)
wallahua'alam.

Di pendekkan cerita, A bertemu dengan B dan mula serius. B seorang yang baik akhlak. Kerja stabil dan senang mata melihat. Dan beransur2 A mula berubah-positif. Saya mula melihat dia membeli selendang, dan ada masanya dia solat. Alhamdulillah. Lega saya melihat perubahan dia. Dan bila ingin keluar dengan B, A suka menayangkan telekung yg akan di bawa bersama. Menunjukkan mereka keluar bersama dan solat bila tiba waktunya. ALhamdulillah. sejuk hati saya melihat perubahan positif itu.

Pecah Tembelang.

Namun, suatu hari kedua-duanya cemas dan meminta pandangan dari saya.
"Kak as, cmne nih, A buat pregnancy test td, positif"..Astagfirullahalazim....bagai batu menghempap kepala saya. Rupanya dalam 'baik' mereka.. Ada 'rahsia' yang tersembunyi. dan petangnya si B yang innocent itu juga turut bertemu saya. "Apa nak buat ni Kak As, dah cakap dah dengan A taknak, dia cakap ni last," Si B dengan muka kusutnya meluahkan perasaan. dan saya sedar. Si B telah diperangkap oleh si A secara halus untuk memilikinya.

Seks dan Cinta.

Wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan cinta. tapi si lelaki pula sanggup berbuat apa sahaja untuk seks. (tak semua). Si A yang lebih 'berpengalaman' telah merenggut teruna si B. Dan akhirnya berjaya 'mengikat' si B. Atas rasa cinta dan lain-lain sebab, mereka akhirnya merancang untuk berumah tangga. Happy ending tapi ini cuma kes terpencil.

Selepas tembelang mereka pecah, A berpindah keluar dari rumah, diam tanpa berita hinggalah semalam dia kembali menghubungi saya untuk memaklumkan berita gembira tentang pernikahannya. Saya benar-benar gembira untuknya. Setidak-tidaknya dia tidak lagi bergeluman dengan maksiat. Naauzubillah.

Pengalaman kenal dengan ramai orang mendedahkan saya dengan pelbagai 'cerita'. Ada satu lagi kisah. Si wanita, T, yang sudah 'tiada dara' berjaya mendapat cinta si S dengan cara yang serupa. Tiga hari berkenalan, sudah rela hati mengikut si S balik ke rumah dan bila lelaki dan wanita berduaan di sebuah bilik, pastinya ada yang ketiga lalu terjadilah maksiat yang hina. Astaghfirullahalazim..

Bukan itu sahaja, saya pernah kenal dengan seorang gadis, waktu itu dia di tingkatan lima. Saya mengenalinya semasa saya bekerja part time sewaktu cuti semester.

"Kak as, kalau saya ajak dia tidur camne yer?dia nak tak?" Astaghfirullahalazim....ke situ pulak dia fikir. Buaya mana tolak bangkai dik oii..Betapa 'dara' di pandang remeh oleh si gadis. betapa zina di anggap 'benda biasa' di zaman milennium ini. Naauzubillah..

Teringat zaman pengajian saya di universiti. pelajar lelaki dan wanita tinggal serumah. pelajar lelaki keluar masuk rumah pelajar wanita. dan ada juga yang 'kantoi' di bilik asrama dan dewan kolej. Astagfirullahalazim..satu kes yang paling gempar semasa saya di universiti adalah seorang naqibah bertudung labuh di tangkap berkhalwat dengan pasangannya di bilik komputer kolej..Aduh~!!Apa lagi yang kurang?

Malang bagi si Juliet yang gagal dalam mengejar cinta. Bukan saja kehilangan 'harta yang paling berharga', lebih dari itu, mereka melakukan dosa besar, kedua-duanya di kenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej/universiti, menanggung malu yang tidak terhingga, dan bertambah malang pula apabila si Romeo tidak mahu bertanggungjawab dan menolak untuk bernikah..

Hasilnya, si Juliet terpaksa berhenti belajar dan si Romeo pula kembali ke unviversiti semula selepas di gantung tanpa riak rasa bersalah..

Wahai hawa, kenapa harus kita yang menjadi mangsa?

"Wanita umpama sebuah rumah yang penuh dengan harta yang bernilai. Jika kita ingin melindungi harta itu, kita sepatutnya mengunci rumah itu dengan sebaik mungkin dan sebaliknya terjadi jika kita membiarkan pintu rumah sentiasa terbuka, pasti sesiapa saja akan dapat menceroboh dan merampas harta yang bernilai itu...pilihan terletak di tangan kita..Wallahua'alam."

Kesimpulan.

Seks dan zina bukanlah perkara remeh dan tidak boleh di pandang enteng. Seharusnya gejala tidak sihat ini di bendung dan di banteras. Jika terus dibiarkan ia ibarat barah yang merosakkan sesuatu bangsa dan agama. Jika ia terus di biarkan, sesebuah institusi pernikahan tidak lagi dipandang tinggi. Susur galur keturunan dan nasab juga menjadi celaru. Anak luar nikah kian bertambah. Kes pengguguran dan buang bayi pula meningkat. Dosa dan pahala dipandang ringan. Syurga dan neraka bagaikan tiada beza.

Kita sayang keturunan kita. Kita sayang agama kita. Kita sayang bangsa dan negara kita. Tapi bagaimana kita ingin mengatasi permasalahan ini? Adakah memadai dengan memeluk tubuh dan menggelengkan kepala?

"Janganlah kamu mendekati zina bahawa sesungguhnya ia (zina) adalah kejahatan dan keji perjalanannya".

"Bahawa sesungguhnya solah (sembahyang) itu (berupaya) mencegah (yang mendirikannya) dari melakukan perkara yang keji dan mungkar".

Sedetik dua detik, saya berfikir sendirian..harus bagaimanakah percaturan ini ingin diteruskan? Semoga Tuhan terus memberikan kekuatan dan petunjuk, kepada saya dan seluruh umat manusia.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

[Al-Baqarah: Ayat286]

Sekian, Wallahua'alam.