+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, February 6, 2009

Tuhanku Maha Best

Bismillah,

Saya cuba mencuri sedikit masa untuk menulis sepatah dua kata, memandangkan malam ini sehingga Selasa saya mungkin tiada kesempatan untuk menulis di sini, maka saya cuba manfaatkan masa yang ada sebelum saya langsung tidak memiliknya. Dua minggu kebelakangan ini, Alhamdulillah kesihatan saya tak berapa memuaskan, selalu demam2, batuk dan selsema, musim orang demam maka saya pun tak terkecuali, tapi tak mengapa, baru ujian kecil, apalah sangat jika nak bandingkan dengan demam kehilangan sebatang kaki atau terus tiada nyawa?

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan dan mematikan, yang memberi kesempatan kepada kita untuk terus bernafas hingga ke detik ini, sekali lagi Alhamdulillah. Selain faktor itu, antara sebab lain saya tidak sempat menulis di sini kerana saya agak sibuk di forum, ada beberapa perkara yang sedang giat di uruskan. Walauapapun, sekali lagi syukur kerana hari ini, saat ini, saya sedang menulis sesuatu untuk blog ini, Tuhan masih mengizinkan saya untuk menulis di sini.


Buku adalah Teman yang Terbaik.

Cuti sempena hari raya cina minggu lepas, saya sempat membeli beberapa buah buku. satu sejarah telah saya ciptakan di mana dalam masa setengah jam, saya berjaya membeli 8 buah buku, Alhamdulillah, Tuhan bukakan dan gerakkan hati saya serta memberi kemampuan kepada saya untuk membeli buku-buku tersebut. Walaubagaimanapun, hingga kini, saya masih gagal membaca kesemua buku-buku tersebut, sekadar yang tersempat saya belek sehelai dua, moga di berikan kesempatan olehNya untuk menghabiskan kesemua buku-buku tersebut, insyaAllah..

Judul buku tersebut adalah antaranya Tuhanku Maha Best-Muhammad D.Sensa, Menjadi Muslim Terbaik-Aa Gym, Hidup Di Redhai Tuhan dan Mengharap Kasih Sayang Tuhan-Imam Nawawi di susun oleh Nabilah Hassan dan Arieff Salleh Rosman, Tip-tip Cemerlang Daripada A-Quran- Dr. Danial Zainal Abidin. Kesemua buku-buku tersebut di harap dapat membantu saya mendekatkan diri kepada Tuhan di samping mewujudkan ketenangan terhadap jiwa saya yang sering gelisah. Selain itu, saya berpendapat bahawa buku-buku tersebut sangat menarik untuk di kongsikan, saya berharap agar dapat mengaplikasikan apa yang di baca kemudian berkongsi dengan sahabat-sahabat terutamanya sahabat di yang mengunjungi blog juga sahabat2 di iluvislam. InsyaAllah.. moga Tuhan izinkan.

Di samping buku2 itu, saya juga membeli 3 novel english, sebagai usaha untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa English saya yang masih lemah. Novel2 tersebut hasil tulisan seorang penulis dari Ireland iaitu Cecelia Ahern. Novel-novel itu ialah If You Could See Now, Where Rainbows End dan A Place U Called Here. Kesemuanya menarik namun sayangnya saya masih belum berkesempatan membacanya..

Di samping buku-buku tersebut, pada hari yang sama, seorang sahabat telah menghadiahkan saya sebuah buku yang penuh makna, Didik Anak Cara Islam- Syaikh Abdullah. Mungkin kerana di ruangan forum saya sibuk menguruskan ruangan penjagaan anak, maka dia menghadiahkan buku tersebut buat saya, sekali lagi terima kasih untuk dia yang memahami, memang seorang adik yang sangat baik..=)

Hujung minggu lepas saya berkesempatan bertemu dengan seorang sahabat ketika di Universiti, dan dia pinjamkan saya sebuah buku yang sangat menarik, Rich Dad Poor Dad-Robert T.Kiyosaki. Nah, sekarang saya ada lebih kurang sepuluhbuah buku untuk di habiskan, belum lagi termasuk buku-buku lain yang sudah sekian lama tersusun di rak buku saya, apa yang saya bayangkan, saya ingin sekali bercuti ke sebuah pulau peranginan, sendirian bersama kesemua buku-buku itu, luangkan masa rehatkan minda dan menghabiskan membaca kesemua buku-buku tersebut, sekadar angan yang tidak kesampaian, haih~!! Walau apa pun, saya masih serupa seperti dulu, buku adalah teman sejati yang paling sejati..Tinggalkan saya seminggu, sendirian di sebuah bilik tak mengapa, asalkan buku-buku ada bersama saya, saya tak kesah..:)


Tuhanku Maha Best-Muhammad D.Sensa



Alang-alang menulis hari ini, saya ingin kongsikan serba ringkas mengenai buku yang sempat saya baca ini, buku ini banyak menerangkan kepada remaja bagaimana cara ingin mendekati Tuhan. Cara penulisannya simple, ringkas dan mudah di fahami terutamanya oleh remaja yang tak berapa Islamik.

Isi kandungan

Mukadimah
-Kenapa Perlu Menemui Tuhan?
-Bagaimana Cara Menemui Allah?

Gerbang Pertama: Melakukan Perjalanan di Muka Bumi
-Mengamati Ciptaan Tuhan
-Memerhatikan Peninggalan Sejarah
-Menuntut Ilmu Pengetahuan
-Jihad Fisabilillah
-Haji dan Umrah

Gerbang Kedua: Zikrullah iaitu Berzikir
-kepada Tuhan
-Zikrullah dengan Lisan
-Doa
-Mengkaji Quran
-Sembahyang
-Bertafakur

Gerbang Ketiga: Berbuat Kebaikan
-Puasa
-Zakat dan Sedekah
-Memakmurkan Masjid
-Adab di Masjid

Gerbang Keempat: Menghidupkan Akhir Malam
Persiapan Menempuh Perjalanan


Kenapa Perlu Menemui Tuhan?

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. [Surah Al-Hadid Ayat 20]

Keinginan kita untuk bertemu dengan Tuhan membuatkan kita terlepas dari bahaya belenggu kehidupan duniawi. keinginan ini menentukan sikap kita pada kehidupan di dunia dan mengambil tahu nasib kita di akhirat nanti. bagi orang yang sudah bersedia menemui Tuhan keinginannya selalunya di makbulkan. mereka menikmati kehidupan yang tenang dan bahagia, walaupun mungkin dalam keadaan yang jelas dengan berusaha bersungguh-sungguh. inilah puncak kebahagiaan hidup yang sejati seperti yang di gambarkan dalam al-quran..

"Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".[Surah Maryam Ayat 33]


Bagaimana Cara Menemui Allah?

Iaitu bukan secara fizikal tapi bermaksud keadaan jiwa yang wujud selepas kita melakukan usaha-usaha tertentu yang seiring dengan yang dituntut oleh Quran dan Hadis. Pertemuan dengan Tuhan adalah cita-cita yang muncul selepas adanya pengakuan kewujudan Tuhan lahir dari hati sanubari kita. sewaktu keimanan bertambah, maka semakin bertambah keinginan untuk bertemu dengan Tuhan. bersama iman, cita-cita itu terus kukuh dalam ingatan, tubuh dan anggota badan hingga wujud tingkah laku yang nyata.

Tapi bagaimana menemui Tuhan?

Salah satu cara adalah dengan melakukan perjalanan di muka bumi ini. merantau ketempat orang. dalam alquran sendiri banyak ayat2 yang menyuruh kita mengembara, antaranya ialah dalam surah Al Haj ayat 46:

"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada."

Dalam melakukan perjalananan, kita juga disarankan untuk menuntut ilmu, dengan menuntut ilmu dapat mendekatkan diri kepada Allah.

"Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya." [Al-Ankabut ayat 43]

Cara lain adalah dengan melakukan dengan mengamati ciptaan Tuhan semasa mengembara serta mengkaji peninggalan sejarah. kita juga dituntut supaya melakukan jihad fisabillillah, haji dan umrah. demikian antara beberapa cara untuk mendekatkan diri kepada Allah yang terkandung dalam buku ini. dan itu sekadar permulaan, sebenarnya masih banyak ilmu yang perlu di kongsi di dalamnya. jadi adalah elok jika kalian sendiri dapat membacanya..=)


Kesimpulan.

Sebagai hamba Allah, kita sepatutnya kenal dan yakin siapa pencipta kita, kita juga haruslah sentiasa mendekatkan diri kita kepadaNya. Ada masanya kita berasa jauh dariNya maka kita seharusnya berusaha untuk mencari jalan bagaimana untuk kembali dekat kepadaNya. Kita haruslah berusaha untuk 'mencariNya' dengan melakukan ajaran dan cara yang selari dengan alquran dan sunnah.

Dunia serta alam ini, bersama segala-gala di dalamnya, semua yang di ciptakan tiada yang sia-sia, jika kita mahu berfikir, perhatikan saja bulan dan bintang-bintang yang berkelipan di langit, bagaimana mereka tergantung tanpa tali? betapa hebatnya alam ini, sungguh banyak perkara yang luar biasa dan akal yang waras, pasti boleh memikirkan, betapa 'luar biasanya' Sang Pencipta yang mencipta alam yang penuh luar biasa ini.

Dengan mengizinkan minda kita berfikir, membuka minda ini untuk menjelajah secara tidak langsung kita pasti membuka jalan kepada diri sendiri untuk mencari Tuhan. Semakin kita mencari Tuhan, insyaAllah, semakin kita dekat kepadaNya. dan dengan itu, semakin kuat juga cinta kita kepadaNya hingga mampu memupuk rasa rindu dan keinginan untuk sentiasa bertemunNya.

Moga kita sama-sama berjaya mencari Tuhan kita dan berjaya menemuinya. InsyaAllah.


No comments: