+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, May 26, 2012

Selazat Air Zam-Zam

Hari itu merupakan hari kedua kami di bumi Madinah. Petang itu merupakan kali kedua kami bersolat Zohor di Masjid Nabawi. Selawat dan salam buat rasul junjungan, Muhammad saw, para sahabat dan seluruh keluarga.

Usai solat fardu Zohor, kami berpusu-pusu keluar daripada masjid menuju ke hotel penginapan kami, Mubarak Silver Hotel. Jaraknya tidak jauh, dekat saja. Terasa lebih dekat kerana sepanjang perjalanan, kiri dan kanan, juga di atas jalan - ada deretan kedai juga tak ketinggalan penjaja-penjaja di atas jalan. 

Ada pelbagai barang di jual di situ, antaranya, kedai pakaian, jubah, tudung, kedai barang kemas, kedai kurma, kedai makan, kedai buku, kedai kasut, kedai cenderahati dan macam-macam lagi. Di atas jalan juga, penjaja-penjaja membentangkan sehelai kain, melambakkan barang jualan mereka seperti stokin, tudung, jubah, sejadah, beg dan sebagainya. Ada juga penjaja yang menggunakan kereta sorong, menjual naskah Quran, buah-buahan, tasbih serta banyak lagi.



Pendek kata, sepanjang perjalanan pergi dan balik dari Masjid ke Hotel, kami tidak pernah rasa sunyi. Orang ramai sentiasa ada di sepanjang jalan. Rasa terhibur sambil-sambil mencuci mata. Walaupun sebelum Subuh juga, sudah banyak kedai dan gerai dibuka. Kesemua kedai ditutup apabila tiba waktu solat dan kemudian, selesai waktu solat, semua kedai dibuka semula. Begitulah setiap waktu.

Biasanya, saya berulang alik ke masjid bersama emak dan dua orang makcik dua beradik, yang juga rakan sebilik kami, Makcik Odah dan Makcik Esah. Petang itu, kami bertambah menjadi berlima. Tiba-tiba sahaja, dalam kumpulan kami ada seorang lagi Makcik. Sejak keluar daripada masjid, dia mengekori kami. Memandangkan dia membawa beg yang sama, memakai tag nama yang sama (Andalusia Travel and Tour) , kami menyangka dia juga menginap di hotel yang sama dengan kami.

Kami berlima tiba di hotel setelah sempat menyinggah di beberapa buah kedai. Sebelum naik ke bilik hotel, kami singgah di sebuah kedai baju, benar-benar di sebelah hotel kami. Emak saya mahu membeli sepasang jubah. Makcik Esah dan Makcik Odah mahu balik ke bilik terlebih dahulu. Tinggal Makcik 'Misteri' itu terpinga-pinga di pintu hotel. Jenuh kami menyuruh dia naik ke bilik tak usah menanti kami, tapi dia masih lagi kebingungan di pintu hotel. Kami blurr..

Rupa-rupanya, hotel Makcik Misteri itu tidak sama dengan hotel kami. Kumpulan kami sudah dua hari di situ sedangkan dia baru sahaja tiba dari KLIA malam tadi. Maknanya, kumpulan kami berbeza.

Usai membayar harga jubah, saya membuat keputusan untuk membantu Makcik Misteri itu - jejak kasih dengan suaminya. Saya menyuruh emak naik ke hotel terlebih dahulu. Kemudian saya meneruskan perjalanan bersama Makcik Misteri itu, menghantarnya pulang ke hotelnya yang sebenar. Merujuk kepada nama hotel yang tercatit pada kad namanya - sepintas lalu saya membaca 'Feyrouz Hotel', kami mencari-cari. Saya singgah bertanya beberapa orang, "Mana Hotel Feyrouz?". Setelah beberapa kali bertanya, akhirnya, alhamdulillah, kami bertemu Hotel Feyrouz.

Tiba di situ, Makcik Misteri itu menggeleng-gelengkan kepalanya. "Ini bukan hotel makcik.." Katanya. Huhu. Saya bingung. Penat saya bertanya dan mencari, bila dah tiba di depan hotel, dia pula tak mahu masuk. Tentu-tentu tertera di depan hotel itu, Hotel Feyrouz sama seperti dalam tag namanya. Takkan salah lagi. Tak apalah. Mungkin makcik itu penat, baru tiba malam tadi, belum cam lagi hotel kediamannya. Untuk lebih meyakinkan kami, saya meminjam tag nama Makcik Misteri itu, membawanya ke kaunter receptionist lalu bertanya, "Hotel ini sama dengan kad ini ke?" Saya bertanya sambil menunjukkan kad yang dipegang.

"Bukan, ini Durrat Fayrouz, itu Fayrouz Al-Shatta!" Lelaki muda itu menjawab.

Allah! Baru saya sedar khilaf saya sendiri. Tidak membaca nama hotel itu betul-betul rupanya. Setelah berterima kasih, saya mengajak Makcik Misteri itu keluar dari situ, seterusnya menuju ke destinasi yang sebenar. Tempat penginapan Makcik Misteri.

"Makcik, bukan hotel ini, namanya hampir sama, tapi tak sama.. Jomlah kita cari hotel makcik," Saya mengajak.

"Tapi, hotel makcik tak sama dengan yang tulis dalam kad ni, pihak travel silap tulis kot.." Katanya pulak.

Aduh. Hampir migrain saya. Macam mana saya nak hantar kalau saya tidak tahu di mana hotelnya yang sebenar? Macam mana saya nak tahu apa hotelnya yang sebenar kalau saya tiada sebarang sumber rujukan untuk berpandu? Aduh.. Macam mana nie? Makcik ni pun lansung tak dapat mengingat lokasi hotelnya, maklumlah, baru tiba malam tadi.

Buntu.

"Makcik datang sini dengan siapa?" Saya bertanya. Sekadar berbual-bual cuba menyorok kebuntuan.

"Makcik datang dengan suami. Tapi masa solat, kami berpecah. Makcik ikut seorang nenek dengan cucu dia. Lepas solat tadi kami terpisah" Jelas Makcik Misteri itu.

"Saya dah tak tahu macam mana nak hantar makcik, em, makcik ada bawa handphone?" Tiba-tiba saya terfikir untuk bertanya.

"Ada!" Jawab makcik itu. Terasa sedikit lega, bagai ternampak segaris cahaya.

"Ini handphone makcik. Off. Makcik tak reti nak hidupkan.." Makcik itu menghulurkan telefon bimbitnya. Cepat-cepat saya menyambutnya, kemudian menekan butang on. Alhamdulillah, berfungsi. Syukur juga kerana sebaik sahaja handphone di on, ada beberapa mesej masuk, ada beberapa "missed called". Merujuk kepada nombor yang missed call itu, saya mengagak, ini tentu suami Makcik tersebut yang sedang mencarinya - lalu saya mendail nombor itu.

Alhamdulillah, panggilan bersambut.

"Assalamualaikum, pakcik?"

"Waalaikum salam"

"Pakcik, makcik sesat, tak jumpa cari hotel. Hotel pakcik kat mana?"

"Fayrouz hotel"

"Hotel tu, sama tak dengan nama hotel yang ada pada tag nama ni pakcik? Makcik kata tak sama.. Saya tak tahu nak cari kat mana.."

"Sama. Sama la nama tu.."

"Oh, okey, nanti saya carik, pakcik tunggu kat depan hotel ya?"

Panggilan diputuskan. Saya berasa sangat lega, akhirnya saya mempunyai hala tuju. Setelah bertanya beberapa kali, agak jauh juga perjalanan kami, alhamdulillah, kami akhirnya berjumpa hotel yang di cari. Di depan hotel itu, saya dapat lihat seorang lelaki yang memakai kain pelikat dan t-shirt sedang berdiri.

"Makcik, itu suami makcik ya?"

"Ha, betullah tu.. Alhamdulillah... Terima kasih banyak-banyak la dik.. Hanya Allah saja yang boleh balas jasa baik adik.."

"InsyaAllah makcik, amin.. Saya pergi dulu ya. Dah lama ni, saya takut mak saya bimbang. Assalamualaikum.."

"Waalaikum salam.."

Lalu kami pamitan, berpisah sampai di situ. Hati saya girang kerana telah berjaya mengurai sebuah kekusutan. Alhamdulillah. Bahagia rasanya. Tiba-tiba. Saya teringat emak. Leka mencari, tak sedar sudah banyak masa yang berlalu. Saya percepatkan langkah. Saya risau, emak bimbangkan saya. Al-maklumlah, sebelum berangkat ke sini, kami ada dengar pelbagai cerita 'seram'. Pendek kata, orang perempuan dilarang berjalan sendirian, bimbangkan keselamatan terancam. Mengenangkan itu, saya mengayun langkah pantas. Tak mahu emak risau berlebih-lebih. Tambahan pula, sekarang adalah waktu makan tengah hari, emak pasti tak betah makan sendirian tanpa saya.

Jauh juga saya berjalan, namun Alhamdulillah, susah untuk saya sesat kerana selagi berpandukan Masjid Nabawi sebagai teras utama, insyAllah mudah saja mencari jalan pulang ke hotel. Kaki dihayun, bibir terukir senyum. Perasaan gembira dan sangat indah kerana telah berjaya menyelamatkan seorang Makcik Misteri, berasa puas kerana setelah bersusah payah berusaha, akhirnya saya berjaya 'memulangkan' makcik misteri itu kepangkuan suaminya, dengan izin Allah. Selazat air zam-zam.

Setelah berjalan beberapa ketika, akhirnya saya tiba di hadapan hotel. Seperti yang dijangka, emak saya menanti di situ penuh kerisauan. Huhu..

"Ha... Dah balik dah, pergi mana, kenapa lama sangat?"

"Hantar makcik tadila.. Hotel dia bukan yang dekat-dekat sini, tapi jauh... kena tanya banyak orang baru jumpa.."

Dan. Nak dijadikan cerita ini lebih 'menarik'. Emak saya telah memaklumkan berita 'kehilangan' saya kepada team leader kami - Abang Hisham. Huhu.. Beliau dah pun mula mengerahkan tenaga 'askar-askarnya' untuk keluar mencari saya. Huhu sekali lagi..

Apapun, pengalaman ini benar-benar merupakan suatu pengalaman indah, indah kerana dapat menolong orang yang benar-benar dalam kesusahan. Terima kasih Allah, kerana berikan saya peluang itu, Alhamdulillah.


No comments: