Semalam, adik yang saya kasihi, Nisa SMS saya. Kali ini, butir bicara kami seputar pada "pernikahan". Biasanya saya suka mengelak daripada berbicara soal ini. Hehe. Tapi, dengan dia - saya selalunya tiada pilihan. Cuma satu saja. Face it.
Lebih kurang bunyi SMS dari beliau, "Akak mesti kahwin, jangan berputus asa!"
Saya tersenyum, kelat. Duh.
Panjang juga kami berbalas SMS. Namun sempat saya ingatkan dia, bahawasanya, "happy ending" tak semestinya dengan bernikah. Pernikahan tak semestinya "Happy ending"! Di dalam filem, drama mahupun novel, ya, mungkin. Bila di hujung cerita berakhir dengan watak utama bersama hingga ke jinjang pelamin, kita tersenyum lebar - happy ending. Tapi, hakikat kehidupan yang sebenar - pernikahan hanyalah permulaan bagi sebuah kehidupan baru. Kehidupan bersama-sama, si lelaki dan si perempuan. Sesudah itu - masih panjang perjalanan yang perlu ditempuhi. Ada onak dan duri yang perlu dilalui. Ada pelbagai ujian dan cubaan sedang menanti di hadapan. Proses kehidupan sentiasa berjalan.
Belum berkahwin juga tak bermakna kita tidak happy. Kan? Buktinya, melalui pemerhatian saya sendiri - orang-orang di tempat kerja saya selalu bermuka masam - susah nak senyum. Walaupun sudah berkahwin, sudah mempunyai anak (yang sepatutnya happy ending) tapi mengapa sukar mengukir senyuman? Baik lagi saya yang belum 'bahagia' ni - alhamdulillah dan insyaAllah, sentiasa senyum. Melainkan kesihatan diri tidak mengizinkan (i.e sakit perut).
Benar. Fitrah manusia perlukan teman, hidup berpasang-pasang. Bernikah. Maka, dalam 'skrip kehidupan' masing-masing - selalunya, sesudah tamat pengajian kita mahu bekerja dan bernikah. Manusia normal mungkin beginilah jalan hidupnya - perancangannya. Kalaupun kita tak merancang, mulut orang sekeliling yang tak jemu bertanya "Bila nak kahwin" kadang-kadang secara automatik melekat dalam kepala kita, seolah-olah, kahwin itu adalah kewajipan yang perlu dilakukan sesudah tamat pengajian. Inilah masyarakat kita, hehe.
Cuma, kebelakangan ini. 'Rentak' ini ada sedikit berubah. Kajian menunjukkan, di Malaysia, masih ramai lelaki dan perempuan yang berusia 25 tahun ke atas belum mendirikan rumah tangga. Selain daripada faktor-faktor yang diberikan di dalam kajian tersebut, pada pendapat saya, faktor lain pula adalah kerana dewasa ini, anak-anak muda kebanyakannya keluar dari kampung halaman, berhijrah ke bandar untuk mendapatkan kerja yang diidamkan. Secara tidak lansung - mereka keluar dari norma masyarakat - jauh dari mulut-mulut yang sering bertanya "Bila nak kahwin". 'Terselamat'. :)
Bukanlah niat saya untuk 'anti-pernikahan'. Tidak... Kalau dah sampai seru, dah bertemu dengan jodoh yang baik, silakanlah mendirikan rumah tangga. Pernikahan adalah sunnah dan insyaAllah, dapat menyempurnakan sebahagian lagi iman seseorang. Dapat menjaga diri dan pandangan mata, melunaskan tuntutan nafsu dengan cara yang halal dan banyak lagi kebaikannya. Tahniah. Semoga bahagia hingga ke syurga. Semoga melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, meramaikan lagi ummat Muhammad saw di syurga.
Namun, kepada yang belum lagi bertemu jodoh, jangan bersedih dan jangan pula berputus asa. Jangan rasa tertekan, atau terdesak. Teruskanlah kehidupan kita tanpa perlu merasa rendah diri. Mulut orang bukannya boleh kita tutup, biarkanlah mereka berkata-kata. Apa yang lebih penting, kita boleh 'tutup telinga' kita dan kita juga boleh mengawal diri kita. Cubalah untuk mengawalnya sebaik yang mungkin jangan sampai ia menjejaskan kita.
Teruskanlah kehidupan dan rancanglah ia dengan baik. Benar, semua orang mahu berkahwin - tapi, janganlah jadikan 'berkahwin' sebagai satu-satunya matlamat hidup kita. Mesti ada Plan B, yakni, jika tak berkahwin - apa yang ingin kita lakukan? Contohnya, wang simpanan kita ketika hari tua, rumah yang boleh kita diami, dan sebagainya. Pendek kata. Jangan terlalu 'fokus' kepada pernikahan semata-mata.
Jangan sampai berasa terdesak sehingga sanggup keluar dari batas-batas norma sebagai muslimah, menjatuhkan maruah kita sendiri, mengundang kemurkaan Allah swt. Ada orang sanggup tangkap muat - tak peduli siapa bakal suami - asalkan dapat bernikah. Sudahnya, mereka terpaksa menanggung akibat buruk sesudah pernikahan. Walhal sebelum bernikah jauh lebih bahagia, bila dah mendirikan rumah tangga - bagai menjerumuskan diri sendiri ke dalam derita. Oleh itu, jangan terburu-buru ketika membuat pilihan. Berusaha dan berikhtiarlah dengan cara yang betul. Kemudian. Pilihlah dengan sebaik mungkin. Semoga ketemu pasangannya dan sama-sama menikmati kebahagiaan.
Jangan berasa rendah diri, jangan mengasingkan diri. Jangan selalu bersendirian. Jaga hubungan baik dengan Allah dan jaga hubungan baik sesama manusia, terutamanya keluarga kita yang terdekat. Tak perlu merasa malu - kita bukanlah cacat, kita bukanlah makhluk asing, kita bukannya melakukan dosa. Cuma bezanya kita dengan mereka sedikit sahaja, kita belum mendirikan rumahtangga. Tapi janganlah jadikan ia sebagai 'beban' yang menghalang kita bersosial dan hidup bermasyarakat. Jangan menyisihkan diri. Nikmatilah kehidupan yang ada sebaik yang mungkin.
Jangan pula berputus asa, kerana kita tidak tahu apa yang Allah rancangkan untuk kita. Selalulah berbaik sangka kepada Allah dan terima segala apa jua ketentuanNya dengan hati yang terbuka. Teruskanlah berdoa yang baik-baik dan mintalah pertolongan daripada Allah swt. Mungkin boleh dijadikan amalan, setiap malam lakukan solat-solat sunat seperti solat sunat Taubat, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Istikharah dan sebagainya. Bangun malam untuk qiamullai, mendekatkan diri kepada Allah swt dan memohon dengan bersungguh-sungguh dariNya. Bukankah Dia yang Maha Berkuasa, Dia yang memakbulkan doa? Jangan berasa malu, atau ego untuk menangis dan meminta dariNya.
Doa Nabi Zakaria seperti di bawah ini juga boleh diamalkan, boleh rujuk Al-Quran untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat..
"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi". [Surah Anbiya' : Ayat 89]
Baik. Demikian dulu perkongsian, celoteh dan contengan daripada saya yang sememangnya ada banyak kelemahan. Sebelum berundur, saya menyusun sepuluh jari mohon ampun dan maaf, ya. Kepada sahabat-sahabat yang masih lagi bersendiri, mahupun yang sudah ketemu pasangan hidup, teruskanlah hidup dengan baik dan perbanyakkan senyum. Semoga kita sentiasa bahagia, tidak kira apa jua status kita. Kerana, apa yang lebih penting di sisi Allah adalah iman dan takwa kita - bukannya kita ini isteri atau suami kepada si polan atau si polan.
Selamat maju jaya. Doakan saya juga, ya? Wassalam.
3 comments:
bagusnya entry awk...sy tersedar seketika dari fikirkan perkahwinan..sy selalu fikir yg perkahwinan akn menyelamatkan kita dari dosa yg kita takuti. tapi, bukan semudah itu, kalau belum jodoh, belumlah juga berkahwen. itu sy dah terpesong... tq tuk entry tu ya..
Jangan berasa rendah diri, jangan mengasingkan diri. Jangan selalu bersendirian. Jaga hubungan baik dengan Allah dan jaga hubungan baik sesama manusia, terutamanya keluarga kita yang terdekat. Tak perlu merasa malu - kita bukanlah cacat, kita bukanlah makhluk asing, kita bukannya melakukan dosa. Cuma bezanya kita dengan mereka sedikit sahaja, kita belum mendirikan rumahtangga. Tapi janganlah jadikan ia sebagai 'beban' yang menghalang kita bersosial dan hidup bermasyarakat. Jangan menyisihkan diri. Nikmatilah kehidupan yang ada sebaik yang mungkin.
***Betul tuh..Kita istimewa tapi bukan cacat....Allah lebih tahu/kenal hati kita. Semoga kita yang sama-sama istimewa ini terus tabah...
:: Miss Blossom..
No problem, thanks gak sudi singgah dan baca... Alhamdulillah kalau ada manfaat, sikit2 pun takpe la kan.. heehe..
Niat nak kahwin sebab nak jaga diri dari dosa tu pun mmg elok juga, tp tulah.. kalau belum masanya yang tepat, jodoh pun tak datang, kan.. Jom kita stail relax2 udah.. :)
:: Cik Jari
Great! Ye laa.. Istimewa lagi menarik dan tertarik... Kita insan istimewa, berbahagialah =,)
Post a Comment