+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, May 5, 2012

Mimpi Terindah di Kota Madinah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Ilahi kerana atas izin dan limpah rahmat-Nya, saya dan ibunda tercinta dapat menjejakkan kaki ke Kota Suci Mekah dan Madinah. Alhamdulillah. Bagai suatu mimpi, mimpi yang begitu indah. Tidak terungkap dengan tinta mahupun kata-kata.

Manakan tidak, sebelum ini saya sendiri tidak pernah bercita-cita ingin ke Mekah dalam masa terdekat begini. Alasannya, duit selalu tidak mencukupi. Duit gaji sering saja habis bila tiba hujung bulan, tiada wang simpanan pula tu... Macam mana nak ke Mekah? Saya tidak mampu! Itulah yang bermain di fikiran saya waktu itu.

Namun, perancangan Allah di luar pengetahuan kita.


Segalanya bermula apabila sahabat yang saya anggap sebagai adik sendiri, Nisa, menunaikan umrah bersama keluarganya sekitar June 2011. Sejak kepulangannya, tidak jemu-jemu dia menceritakan pengalamannya di sana, mendorong saya ke sana dan katanya, dia juga telah doakan saya ke sana ketika berada di Mekah. Mungkin berkat doanya, akhirnya pintu hati saya terbuka untuk ke Mekah. Cuma menanam niat, dan mula mengumpul wang biaya sedikit demi sedikit.

Allah membuka jalan. Saudara jauh sering berkunjung ke rumah kakak. Bercerita pengalamannya ke Mekah tidak putus-putus hingga mendorong dan menarik minat emak saya untuk ikut bersama mereka menunaikan umrah. Lalu saya, kakak dan emak sepakat untuk memberi laluan kepada saya dan emak ke Mekah bersama mereka pada March 2011. Lalu saya kian giat mengumpul wang.

Namun, Allah masih mahu menguji. Bila jadual penerbangan ditetapkan, rupa-rupanya waktu itu bertindih dengan tarikh perlancongan kakak sekeluarga bersama emak ke Beijing. Suka atau tidak, kami terpaksa membatalkan rancangan Umrah bersama saudara jauh itu kerana tiket dan hotel di Beijing sudah ditempah. Mereka berangkat ke Mekah pada bulan March dan emak saya bersama kakak ke Beijing. Saya hampir berputus asa, fikir saya, mungkin bukan tahun ini rezeki saya ke Mekah, mungkin tahun hadapan. Sempat juga saya membelanjakan sedikit wang simpanan ke umrah untuk membeli barang kemas. Huhu.

Namun, Allah merancang segala-galanya. Di luar pengetahuan kita. Dia mahu saya menjadi tetamu-Nya lalu Dia menjemput saya. Kira-kira 6 minggu sebelum tarikh berlepas, rakan sekerja kakak yang juga ingin menunaikan umrah memaklumkan bahawa masih ada kekosongan dalam kumpulannya, maka, saya dan emak boleh menyertai mereka menunaikan umrah. Alhamdulillah.

Allah membantu hamba-Nya yang bercita-cita ingin menjadi tetamu-Nya. Entah dari mana, tiba-tiba muncul pula satu 'watak' yang sedikit sebanyak telah membantu saya dalam menangani masalah kewangan. (Yang dah terguna sedikit tu, huhu). Semuanya menjadi lebih mudah dan lancar. Alhamdulillah. Dalam masa beberapa minggu, saya membuat passport, mendapatkan suntikan, menyediakan dokumen yang diperlukan dan sebagainya.

Bagaikan bermimpi. Mimpi yang terindah.

Akhirnya. Pada 18hb April 2012, kami bersama kira-kira 150 jemaah Andalusia yang lain berangkat dari KLIA dengan menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines kira-kira jam 2.30 petang waktu Malaysia. Kami tiba di lapangan terbang Madinah kira-kira jam 10.00 malam waktu Arab Saudi. (Kira-kira jam 3.00 pagi waktu Malaysia). Di sana, petugas Andalusia berserta mutawwif telah setia menunggu, sejak jam 8.00 malam lagi.

Lapangan Terbang Madinah

Saya dan emak antara yang terpilih untuk menyertai kumpulan 'bas 4' di bawah bimbingan Mutawwif Ustaz Badila. Selesai urusan imegresen dan mengangkut barang ke dalam bas, kami bersama jemaah lain menuju ke bas masing-masing. Mutawwif memperkenalkan diri dan memberi sedikit taklimat ringkas kemudian bas terus bertolak menuju hotel penginapan. Kami ditempatkan di Hotel Mubarak Silver.

Di Madinah, kami menetap selama 4 hari. Sebaik sahaja tiba di hotel, selesai urusan pembahagian bilik dan kunci bilik, kami bergegas ke bilik masing-masing. Menempatkan barang-barang kami kemudian tidak sabar-sabar untuk menunaikan solat pertama kami di Masjid Nabi, Masjid Nabawi. Ya Nabi Salam Alaik.. Penat dan mengantuk bukan alasan, semangat kami membuak-buak untuk rukuk dan sujud di Masjid yang disabdakan mempunyai ganjaran 1000 kali lebih baik daripada masjid-masjid lain.

Masjid Nabawi di siang hari

Masjid Nabawi ketika Maghrib

Pengalaman pertama masuk ke masjid - Barangkali kelam kabut bersiap ke Masjid, saya terlupa mengeluarkan kamera dari beg sandang. Ketika pemeriksaan masuk di pintu masjid oleh polis bertugas, saya tidak dibenarkan masuk. Huhu. Hati yang tidak sabar-sabar di uji. Emak dan jemaah lain masuk dan solat di dalam masjid, tinggallah saya di luar pintu sendirian menanti emak selesai solat, menunggu giliran dan menyerahkan kamera itu kepada emak. Allah mahu menguji kesabaran saya, dalam mendapatkan apa yang saya 'nak sangat dapat!' rupanya tidak semudah itu walaupun sudah di hadapan mata. Allahuallah.


Suatu pengalaman 'menarik' sesuai buat muhasabah diri sendiri, =)

Baik. Alhamdulillah, jarak tempat penginapan kami dengan Masjid cuma kira-kira 5 minit saja. Mudah untuk kami berulang-alik. Kami berada di sini selama 4 hari. Sepanjang berada di Madinah, masa kami terisi dengan penuh hikmah. Selain banyak meluangkan masa di Masjid Nabawi, kami dibawa oleh Mutawwif bertugas untuk menziarah Makam Nabi saw dan para sahabat. Kami juga berpeluang masuk ke Taman Syurga - Raudhah. Pengalaman ini cukup berharga dan sukar untuk saya taksirkan. 


Jika dulu saya sekadar mendengar cerita orang, membaca di buku dan internet - kini - bukan lagi dogengan. 

Saya benar-benar menziarahi Makam Nabi saw. Mengucapkan salam dan menyampaikan salam dari sahabat dan keluarga. Kerinduan dan rasa cinta membuak-buak. Ya Muhammad Ya Habiballah. Terimalah kami sebagai ummatmu. Berikanlah kami syafaatmu. Syafaat yang sangat kami harap-harapkan di hari tiada siapa dapat memberi pertolongan melainkanmu.

Ketika di Madinah juga, kami di bawa menziarah beberapa tempat bersejarah dan tempat-tempat yang pernah di jejaki oleh Nabi Muhammad saw. Antaranya Masjid Quba, Masjid Qiblataain,  Jabal Uhud, Ladang Kurma dan lain-lain. Ketika menziarah masjid Qiblatain, ustaz Badila, mutawwif yang kami kasihi menceritakan dengan begitu terperinci peristiwa di mana Rasullah saw mendapat wahyu daripada Allah swt agar menukar arah Kiblat daripada Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram. Ustaz juga membaca sedikit petikan Al-Quran dari Surah Al-Baqarah yang menjelaskan dengan nyata tentang wahyu yang disampaikan itu. (Rujuk Surah Al-Baqarah, ayat 144-151)

Ibunda bergambar di Masjid Quba'


Di sekitar Bukit Uhud. 

Ustaz Badila juga menceritakan peristiwa Perang Uhud dengan begitu terperinci. Bagaimana strategi perang ketika mulanya, hingga seterusnya pihak muslimin mengalami kekalahan apabila tentera musyrikin di bawah pimpinan Khalid Al-Walid (masih musyrik) menukar strategi ketika pihak muslimin leka dengan harta rampasan perang. Juga tidak dilupakan, kisah pengantin baru, Hanzalah yang syahid sebelum sempat mandi junub dan jenazahnya dimandikan oleh para malaikat. (Teringat pula lagu nasyid yang dinyanyikan oleh kumpulan Rabbani, hehe)

Berkenaan kisah Ladang Kurma pula, cerita Ustaz Badila panjang lebar berkisar pada seorang sahabat, Salman Al-Farisi nama di beri. Bagaimana beliau mencari-cari kebenaran sehingga akhirnya bertemu dengan Rasullullah saw, menguji sehingga yakin bahawa baginda benar-benar utusan Allah lalu memeluk agama Islam. Bagi membebaskan dirinya, tuannya meletakkan syarat agar beliau menanam sejumlah pohon kurma dan merawatnya hingga benar-benar menjadi. Bagi mempercepatkan pembebasannya, para sahabat yang lain ikut serta membantu. Kurma-kurma yang ditanam di ladang ini dikatakan sebagai kurma yang terbaik dan mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Wallahua'alam.

Demikian dahulu, cuma sedikit cerita di Kota Madinah, sekadar pengenalan. Masih banyak cerita yang ingin dikongsikan, jika masa mengizinkan. InsyaAllah saya akan sambung lagi pengalaman sepanjang di Kota Mekah pula. Moga Allah izinkan. 

Bukan mudah mencari istilah yang paling sesuai bagi menulis bait-bait kata untuk menggambarkan perasaan yang saya lalui. Mereka yang pernah ke sana, pastinya mengerti. Walau apapun, InsyaAllah, biarpun sukar untuk saya menggambarkan bagaimana perasaan saya selama berada di Kota Suci Mekah, demi berkongsi pengalaman dan berharap agar dapat memupuk rasa rindu di hati kalian juga, insyaAllah, saya akan cuba mencoret lagi. Bila Allah mengizinkan.

Wassalam.


1 comment:

intan raudhah said...

assalamualaikum..seronok sy bc pengalaman org yang dpt pergi mekah/madinah..disebabkan rindu madinah n kaabah tu la sy smpai ke blog ni..sbg pengubat rindu..
salam ziarah:)