+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, May 20, 2012

Kenangan Subur Kembali

 Ketika Remaja ^_^


Seminggu yang berlalu, penuh warna-warni. Ada yang manis, ada juga yang pahit. Ada yang indah, ada juga yang sebaliknya. Namun sebagai hamba Allah swt, walau apa pun jua yang terjadi, Alhamdulillah dan insyaAllah, saya terima dengan dada yang lapang.

Sejak pulang dari Tanah Suci Mekah, saya batuk. Hingga kini, sudah lebih dua minggu berlalu, batuk masih tidak mahu pergi. Seminggu yang lepas, usai saja solat Isyak, saya minum ubat batuk. 15 minit kemudian terus masuk ke alam lena. Tapi, beginilah juga. Batuk tetap juga ada. Sudahnya, masa saya 'terbuang' dengan banyakknya untuk tidur.

Baik. Lupakan dulu perkara seremeh itu. Kerana, peluang kali ini, ingin saya manfaatkan untuk berkongsi cerita tentang 'jejak kasih' antara saya dengan Puan Pengetua yang sangat saya kasihi. Sudah lebih 13 tahun kami 'terpisah' - kali terakhir bertemu adalah ketika hari keputusan SPM di umumkan. Alhamdulillah, sempena hari guru tempoh hari, sebelum bergerak ke tempat kerja. Hati tergerak untuk 'search' Puan Pengetua di Facebook. Syukur, jumpa! Saya kirimkan mesej. Saya perkenalkan diri serba ringkas kemudian mengucapkan ucapan Selamat Hari Guru.

Sehari kemudian. Subhanallah. Ada mesej daripada Cikgu.

Subhanallah.. Berkali-kali saya membaca mesej yang di tulis. Tidak jemu-jemu. Bibir pula menguntum senyum, hingga ke telinga. Air mata mengalir di pipi. Girang benar perasaan saya saat itu. Dan sayu. Dan terharu. Dan kagum. Dan, bercampur baur...

Manakan tidak. Cikgu masih ingat pada diri ini yang tak seberapa. Cikgu masih ingat, kenangan kami di hari keputusan diumumkan. Cikgu masih ingat, pada hari tersebut, saya bertemu dengannya, Cikgu tanya dapat 10 A ke? Kami gembira bukan kepalang, Cikgu mengajak saya bergambar kenangan dengan menggunakan kamera miliknya. Kemudian Cikgu check kedudukan saya ketika peperiksaan percubaan - saya di tempat ke 79 dan ketika peperiksaan SPM, saya meningkat naik ke kedudukan antara yang ke-4 terbaik. Subhanallah. Cikgu masih ingat kenangan itu satu persatu.

Cikgu juga ingat, betapa saya ini kagum dengan setiap ucapannya ketika assemble. Setiap apa yang Cikgu ucapkan di hari perhimpunan, bagai satu persatu menyusup masuk ke dalam kepala saya, meresap ke seluruh jiwa saya, merangsang dan mendorong saya waktu itu untuk belajar bersungguh-sungguh. 

Kata-kata Cikgu waktu itu, antaranya "Begin with end in mind", "Mind set the limit", "Thousand steps start with one step", benar-benar menjadi pil yang mujarab bagi diri saya. Sungguh, saya bagaikan terpukau dengan keperibadian beliau. Bersahaja dan santai sahaja ketika menyampaikan ucapannya, namun 'keras' menusuk ke dalam jiwa. Bagai merasuk ke dalam jiwa kami. Dan hasilnya, memang terbukti. Keputusan SPM kami pada tahun itu, melonjak naik ke atas, jauh lebih baik daripada tahun sebelumnya. Alhamdulillah, 'resipi' Cikgu berjaya!

Dan lebih mengharukan lagi. Cikgu ingat lagi cerita saya yang selalu bertemu dengannya, kerana masalah yang mungkin bagi cikgu lain adalah remeh - tulisan cakar ayam.

Beliau yang mempunyai pHD, seorang yang bergelar Doktor, seorang Pengetua - (Sinonim dengan sibuk) - tapi mempunyai kesudian dan kesanggupan untuk 'melayan' seorang pelajar seperti saya (tidak menonjol - underdog) yang mempunyai masalah iaitu tulisannya buruk. Cikgu lain, apatah lagi Pengetua lain, mungkin saja mengabaikan masalah yang seremeh itu. Ya lah, saya ni bukanlah pelajar cemerlang, masalah saya pulak - tulisan buruk.

Tapi Puan Pengetua saya ini benar-benar istimewa. Bukan sahaja sanggup mendengar 'permasalahan' saya, malah, sudi mencari ikhtiar untuk membantu saya. Beliau belikan saya buku garis tiga (untuk murid sekolah rendah), hadiahkan buku itu kepada saya. Bukan itu sahaja, beliau berpesan kepada saya supaya tulis apa-apa sahaja di atas buku itu dan tunjukkan padanya pada setiap petang. Beliau ingin tengok dan ingin lihat peningkatan. Cerita ini pun Cikgu masih ingat. Rupa tulisan saya juga Cikgu masih ingat! Subhanallah. Terharu benar rasanya.. 

Alhamdulillah, berkat sokongan daripada Cikgu, ketika menjawab soalan peperiksaan, saya berasa lebih yakin - tak fikir sangat tentang tulisan saya yang hodoh itu, tak fikir sangat samada pemeriksa boleh baca tulisan saya atau tidak, dan mungkin juga, inilah antara rahsia kejayaan saya dalam SPM. Terima kasih banyak-banyak, Cikgu....

Sempat saya rasa bersalah, sekian lama saya tidak menjejaki Cikgu, tidak menghubungi Cikgu, sedangkan Cikgu tidak pernah melupakan diri ini. Tambah mulia lagi Cikgu saya ini, bukan saja dia tidak berjauh hati, malah, meraikan saya dengan sebaiknya. Membuatkan saya rasa kian terhukum. Keramahan dan kemesraan Cikgu juga tidak berubah, tidak berkurang - walaupun saya kini 13 tahun lebih tua dan 13 tahun juga tidak bertemu. Ya Allah, ukwah kami ini sungguh indah.

Saya menanti hari... Semenjak berbual dengan Cikgu di telefon, kami merancang untuk bertemu. Hati saya melonjak riang atas kesudian Cikgu meluangkan masa. Tidak sabar rasanya ingin bertemu, mengucup tangan Cikgu memohon keampunan, dan mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau, cikgu yang saya kasihi..

Maaf, kali ini saya benar-benar mahu berkongsi kegembiraan saya - dapat berhubung semula dengan guru saya yang telah lama berpisah. Anda juga, mungkin ada 'guru' anda sendiri. Kadang-kadang kita mungkin terlupa mengucapkan terima kasih kepada cikgu kita, atau memohon maaf daripadanya. Sebelum terlambat, jom! Mari kita jejaki cikgu-cikgu kita. Mungkin mereka sedang merindui kita, tanpa kita sedari.


1 comment:

Muhammad Naim Abdullah said...

:)

pergorbanan seorang guru sangat hebat. :)