+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, May 7, 2012

Cintaku Melangit Di Kota Suci Mekah

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Semoga kita semua sentiasa di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi.

Lucu pula rasanya, lama saya menatap skrin berkira-kira untuk berkongsi pengalaman sepanjang di Kota Suci Mekah, tapi jari saya ini pula kaku, otak terasa beku bagai tiada idea untuk menulis. Allahu Allah. Saya mencuba, ya? InsyaAllah.


Setelah kira-kira 4 hari dan 4 malam berada di Kota Madinah, kami (SV 18) bertolak ke Kota Mekah dengan menaiki 4 buah bas. Kami kumpulan 'Bas 4' masih setia di bawah bimbingan Mutawwif kami, Ustaz Badila. Perjalanan mengambil masa kira-kira 8 jam. Dalam perjalanan, kami berhenti makan malam dan solat Maghrib (Maaf, lupa nama tempat). Alhamdulillah. Makanan yang dihidangkan lazat sungguh! ;). Kami juga bersiap-siap dengan pakaian ihram dan miqat untuk umrah kami yang pertama. Suara jemaah bertalbiah bersama mutawwif benar-benar mengusik perasaan saya yang baru pertama kali mengerjakan umrah. Terharu rasanya kerana Allah pilih diri ini untuk menyahut seruan-Nya. Ya Allah. Kami datang pada-Mu, kamu sahut seruan-Mu.



Pertama kali melihat Masjidil Haram, masuk ke dalam Masjidil Haram, melihat sendiri Kaabah dengan kedua belah mata. Subhanallah. Hanya Allah yang tahu sejuta rasa yang bermain di dalam jiwa. Terasa betapa diri ini kerdil, membawa banyak dosa, tidak layak rasanya menghadap rumah Allah. Terasa betapa bersyukurnya diri ini kerana dengan rahmat Allah jualah, dengan izinNya dan kehendakNya maka saya berdiri di situ pada hari itu.


Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Aku datang membawa sejuta pengaduan, sejuta pengharapan yang telah lama aku simpan dan pendam, dada ini bagai ingin pecah. Aku menanti masa untuk meluahkan segalanya, hanya pada-Mu, di depan Baitullah. Dan kini, masanya sudah tiba. Terima kasih Allah.

Mutawwif kami memimpin kami niat tawaf umrah, kemudian kami bersama-sama tawaf 7 kali keliling Kaabah. Beliau juga memimpin kami membaca doa-doa sepanjang tawaf tersebut. Memandangkan ini pengalaman pertama buat saya dan emak, banyak perkara yang patut saya belajar, di samping memimpin emak sendiri. Usai tawaf, kami di bawa solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim. Saya juga bersyukur kerana terpilih bersama kumpulan Bas 4 di bawah bimbingan Mutawwif yang sangat berkaliber dan berpengalaman. Beliau sangat banyak membantu kami memudahkan ibadat umrah kami.

Selesai solat dan berkumpul di tempat minum air zam-zam, kami lanjutkan ibadah kami seterusnya saei di bukit Safa dan bukit Marwah. Mutawwif kami menanti di bukit Safa, di situ kami berkumpul membaca doa dan niat saei. Baru saya tahu, rupanya bukan dekat jarak antara Safa dan Marwah. Terkenang Siti Hajar yang berlari-lari mencari air untuk anaknya Ismail. Penuh keinsafan kami melaksanakan Saei dan setelah selesai 7 pusingan, kami bertahallul di Bukit Marwah. Alhamdulillah. Selesai umrah kami yang pertama. Terima kasih Allah.

Selama kira-kira 8 hari di Mekah, alhamdulillah, saya dan emak sempat menunaikan 5 kali umrah. 3 kali di bawah bimbingan Mutawwif dan 2 kali di lakukan sendiri-sendiri. Alhamdulillah. Syukur juga kerana sepanjang berada di Mekah dan Madinah, saya tidak uzur. (Ikthiar dengan memakan pill dengan izin Allah jua adanya.) Maka saya dapat memanfaatkan sepenuh masa di sana untuk solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. 

Antara tempat Miqat yang saya kunjungi adalah Bir Ali, Jaa'ranah, Tan'im dan Hudaibiah. Jika di masjid lain, kita di sunatkan untuk menunaikan solat sunat tahiyatul masjid setiap kali masuk ke masjid, tapi di Masjidil Haram, kita digalakkan untuk melakukkan tawaf sunat. Alhamdulillah. Dengan izin Allah, ditemani emak dan Athirah, saya sempat melakukan tawaf sunat beberapa kali dan diizinkan Allah untuk masuk ke Hijr Ismail sebanyak 3 kali. Alhamdulillah. Biasanya waktu yang agak panas tak ramai yang tawaf seperti sebelum solat Zohor, jadi waktu inilah kami mengambil peluang untuk masuk ke Hijr Ismail. Sayangnya, memandangkan saya selalu bertemankan semuanya perempuan, kami tiada keberanian untuk mengucup Hajar Aswad. Mudah-mudahan Allah jemput lagi kami ke sana dan insyaAllah kami dapat peluang itu di lain masa.

Baik. Selain daripada menunaikan ibadat umrah dan meluangkan masa di Masjidil Haram, kami juga di bawa menziarah beberapa tempat bersejarah dan pernah dilewati oleh junjungan mulia, Muhammad saw.


Antara tempat yang di bawa oleh Mutawwif kami adalah Gua Thur. Gua di mana Nabi Muhammad saw dan Abu Bakar bersembunyi ketika peristiwa hijrah.  Seperti selalunya, Mutawwif kami Ustaz Badila tidak lokek ilmu untuk berkongsi cerita mengenai peristiwa yang berlaku di Gua Thur. 


Ustaz Badila menceritakan dengan begitu terperinci peristiwa hijrah, bagaimana Nabi saw bersama Abu Bakar mula berhijrah dan seterusnya hingga mereka sampai ke Madinah. Lengkap ceritanya. Bagai membaca sebuah buku sirah. Hehe. Alhamdulillah. Di sini, kami para jemaah sempat menunggang unta dan bergambar. Pesan ustaz Badila, sebelum naik unta, kena 'kaw-tim' betul-betul. Jangan sampai pemilik unta tersebut ambil kesempatan mengenakan bayaran yang melampau tinggi. Waktu ini, sempat saya kagum dengan ketegasan Mutawwif kami yang mempertahankan salah seorang jemaah kami daripada tertindas. (^_^)


Kami juga di bawa menziarahi Padang Arafah dan Jabal Rahmah. Seperti selalunya juga, ustaz Badila bercerita panjang lebar kisah-kisah yang terjadi di Padang Arafah. Antaranya, peristiwa Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbanya yang terakhir dan kisah yang terjadi antara Nabi Adam dan isterinya Hawa. Bertahun-tahun mereka berpisah setelah diturunkan daripada syurga, mereka saling mencari antara satu sama lain, akhirnya, ketika mereka berhenti berehat di Jabal Rahmah, tangan mereka tertaut dan mereka akhirnya bertemu. 


Ustaz Badila siap membuat gaya - lucu juga. =) Ustaz Badila sempat berpesan, katanya, di Jabal Rahmah sesuai untuk si bujang atau si teruna mendoakan agar cepat dapat jodoh, bagi yang dah berkahwin untuk 'tambah cawangan' atau kalau yang dah berumah tangga - doakan agar rumah tangga kekal bahagia dalam kasih sayang. Moga Allah memakbulkan doa-doa kami. Amin ya rabb. 

Selain itu, kami juga menziarah Hudaibiah, Ladang Unta, Masjid Hudaibiah dan Muzium. Seperti lazimnya, Ustaz Badila menceritakan peristiwa yang berlansung di Hudaibiah sehingga terjadinya perjanjian Rizuan dan perjanjian Hudaibiah. Tidak cukup dengan itu, ustaz juga sempat berkongsi ibrah di sebalik perjanjian tersebut dengan detail, yang mana pada mata kasar, seolah-olah 'kemenangan' berpihak pada kaum Musyrikin tapi hakikatnya, pemikiran Nabi Muhammad saw lebih jauh ke hadapan. Pihak muslimin yang sebenarnya mendapat lebih banyak manfaat daripada Perjanjian tersebut. Terima kasih ustaz, atas ilmu yang dikongsi.

Ladang Unta. Kata ustaz, unta ada banyak kelebihan. Cuma satu saja kekurangannya, unta tiada akaun Facebook, hehe

Tapak Masjid Lama di Hudaibiah. Kini sudah diruntuhkan dan diganti dengan masjid baru tidak jauh daripada lokasi asal.

Muzium Di Hudaibiah. 

Antara pengalaman manis ketika berada di Kota Mekah adalah ketika mendaki Jabal Nur. Bukit di mana letaknya Gua Hira', gua di mana Muhammad saw mendapat wahyu yang pertama sekaligus di angkat menjadi Rasul. Menariknya, rombongan kami (SV 18) yang menetap di Al Haram Hotel, cuma 14 orang yang berminat untuk mendaki. Termasuk emak saya yang sudah berusia 64 tahun. Kami bertolak kira-kira jam 9.30 malam di pimpin oleh Mutawwif kami, Ustaz Badila. Dia tetap juga begitu, tak jemu dan tak mengenal penat - suka bercerita. 


Alhamdulillah. Banyak ilmu bermanfaat yang dapat ditimba dari beliau. Ketika mendaki Jabal Nur, tepatnya, beliau bercerita mengenai peristiwa turunnya wahyu satu persatu. Beruntung rasanya menjadi salah seorang jemaah di bawah bimbingan beliau. Selain daripada berkongsi info, beliau juga suka mengusik dan menghiburkan kami. Hilang penat kami. Kembali bersemangat mendaki bukit, kira-kira satu jam lamanya. (Beberapa kali berhenti rehat, hehe).

Permandangan dari Bukit sungguh luar biasa indah. Kebetulan malam itu, bulan sabit. Seakan-akan mengintai di balik bukit. Dari atas bukit, kami dapat melihat permandangan di sekitar kota Mekah yang diterangi cahaya lampu. Subhanallah. Indah! Terasa bagai ingin saja saya menghentikan waktu saat itu. Setelah tiba di puncak bukit, kami terpaksa melalui sedikit halangan berbatu sebelum masuk ke Gua Hira'. Alhamdulillah semuanya selamat tiba di Gua Hira'.


Dan saya. Ya Allah. Airmata terasa ingin tumpah. Terima kasih banyak-banyak kerana izinkan saya sampai ke sini. Selama ini saya sekadar mendengar dan membaca, bagaimana Muhammad saw sering mengasingkan diri di Gua Hira', saya sering membaca peristiwa kali pertama Muhammad saw bertemu dengan Jibril, di suruh menyebut Iqra', kemudian dipaksa mengikut Jibril membaca hingga ke ayat-5. Saya sering membaca  buku sirah, betapa takutnya Nabi Muhammad saw, bergegas pulang ke rumah isteri tercinta, minta diselimutkan. 

Namun kini, semuanya nyata di depan mata, saya sendiri masuk ke dalam Gua Hira', bukan lagi dongengan, bukan sekadar cerita. Saya melihat sendiri dengan mata kepala saya, tempat di mana Nabi Muhammad saw mendapat wahyu dan di angkat menjadi rasul. Subhanallah. Terima kasih Allah. Semoga dengan keberadaan aku di sini, menambahkan lagi kecintaan, keimanan dan keyakinanku pada-Mu, kepada malaikat-Mu, kitab-Mu dan rasul-Mu. Makbulkan doa-doa kami Ya Allah.

Hmm.. Demikian dulu, sedikit sebanyak perkongsian selama saya berada di Kota Suci Mekah. Alhamdulillah, tak rugi saya memilih Andalusia Travel Agen dan Umrah untuk menunaikan umrah pada kali ini. Layanan yang diberikan oleh pihak Andalusia dan Mutawwif serta petugas di sana cukup memuaskan. Kami tidak pernah kebulur kelaparan. Hehe.

Ketika di Mekah, kami disediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Namun begitu, makanan ringan seperti roti dan air sentiasa ada di dewan makan. Jadi, selalunya sebelum ke Masjid untuk solat Zohor dan selepas solat Asar, kami singgah di dewan makan untuk minum-minum dan rehat-rehat. Alhamdulillah. 


Oh, tak dilupakan di sana juga kami ada ceramah yang dibimbing oleh ketua Mutawwif juga bacaan Yassin dan Tahlil. Menariknya lagi, Mutawwif kami, Ustaz Badila suka bernasyid. Selain di dalam bas ketika perjalanan, ada kelapangan dia juga sering menghiburkan kami dengan nasyid dan qasidah di dewan makan. Menjadi halwa telinga menghiburkan juga menyuntik keinsafan ke dalam jiwa-jiwa kami. 

Perjalanan daripada hotel kami menginap ke Masjidil Haram juga tidak jauh mana. Kira-kira 15 minit perjalanan. Mudah untuk kami berulang alik. Makanya, Alhamdulillah, sepanjang berada di Mekah, cuma sekali saya terlepas peluang untuk solat berjemaah di Masjidil Haram. Sakit kaki ketika bangkit untuk solat subuh kerana malam sebelumnya itu tidur lewat kerana menunaikan umrah.

Menyaksikan sendiri ummat Islam berbondong-bondong, berlumba-lumba ke Masjid setiap kali tiba waktu solat adalah suatu pengalaman yang sungguh indah - jika boleh - ingin selamanya melihat permandangan sebegini. Masjid sentiasa penuh, apatah lagi ketika waktu solat Jumaat. Dua jam sebelum masuk waktu Zohor, masjid sudah pun penuh. Malah, di perkarangan masjid, di jalan dan lorong sekitar masjid juga di kaki lima kedai di sekitar masjid - manusia rukuk dan sujud menyembah Ilahi berimamkan imam di Masjidil Haram. Setiap waktu begini. Subhanallah. Panorama ini akan ku rindu selalu.

Kami bertolak ke lapangan terbang Jeddah pada 1 hb Mei, 2.30 petang waktu Arab Saudi. Penerbangan kami berlepas kira-kira jam 9.30 malam. Kota Suci Mekah dan penghuninya akan ditinggalkan. Langkah kaki terasa berat, tak sanggup rasanya meninggalkan Kota Suci Mekah. Dada bagaikan ingin pecah menahan tangis, biarlah Allah yang mendengar segala rintihan. Dan memakbulkan doa-doa kami.

Ya Allah, kami datang pada-Mu membawa banyak dosa. Moga kepulangan kami suci tanpa dosa. Ya Allah, moga pertemuan ini bukanlah yang terakhir, jemputlah kami ke sini lagi. Dan seandainya, ajalku tiba sebelum sempat aku menunaikan janjiku ke sini, masukkanlah aku ke syurga-Mu.

Kota Suci Mekah. Cintaku tertinggal di sana. Aku pasti kembali lagi, bertemu cintaku. Moga Allah mengizinkan.


Mohon ampun maaf andai ada salah dan silap, terlebih dan terkurang, ya..

Wassalam.

4 comments:

naney said...

Alhamdulillah...best baca pengalaman insan yg dh jejak kaki ke kota mekah..moga Allah mengizinkan kami sekeluarga ke sana..

Megasenjasari Hana said...

Assalamualaikum.
Alhamdulillah...seronok baca catatan ini. Terasa ingin sgt nak ke sana, InsyaAllah..

Noorhazlin Yahya said...

Assalamualaikum saudari...
Terima kasih atas coretan yang menarik dan bermakna ini... Tak sabar rasanya mengikuti jejak ke sana tidak lama lagi... Moga coretan ini dapat memberi panduan dan gambaran kepada saya sebelum ke sana... Terima kasih...

PESONA said...

Assalamualaikum,

Alhamdullilah samapi sudah ke Tanah Suci melaksanakan Ibadah Umrah.......akan lebih banyak dugaan yang perlu dilalui dengan penuh kesabaran serta keikhlasan sekiranya dipanggil mengerjakan Ibadah Haji yang mana ketika ini Masjidil Haram masih ladi dalam proses pengubahsuaian...