Bismillahirrohmanirrohim..
Assalamualaikum wbt.... Semoga semuanya sihat walafiat, jasad dan iman. Ya? Jam sudah menunjukkan pukul 11.07 malam, saya baru berkesempatan untuk mula menulis. InsyaAllah, moga kali ini sempat menyiapkan entri ini. Hehe, pernah ada pengalaman banyak kali terlelap ketika menulis entri blog. Ada yang sempat save, alhamdulillah. Ada yang lupa dan tak sempat nak save, Innalillah la jawabnya.. =)
Baik. Memandangkan ingatan saya masih segar, masih banyak yang boleh saya recall dari apa yang saya dengar melalui radio ikim.fm dalam Slot Islam Agamaku, rasanya, eloklah saya segera mencurahkan, berkongsi sepatah dua kata di sini. InsyaAllah, moga Allah memudahkan.
Minggu sebelum ini, saya tersentuh, terpukul, tertampar - dan sewaktu dengannya - apabila sempat mendengar perkongsian daripada tetamu undangan pada hari itu yakni Ustaz Ebit Liew. Sedikit latar belakang beliau yang saya masih ingat. Ayahnya berbangsa Cina, pernah bernikah dengan wanita Cina dan mempunyai 6 orang anak hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama. Kemudian mereka bercerai. Seterusnya, beliau bertemu jodoh dengan seorang wanita beragama Islam lalu menukar agamanya kepada Islam. Namun begitu - mereka sekeluarga jauh dari Islam, tidak mengamalkan ajaran Islam dan 'orang kampung pun tak pasti mereka agama apa'.
Ustaz Ebit Liew ketika kecil, tidak dibesarkan dengan ajaran Islam sepenuhnya. Di sekolah juga, dia seorang murid yang nakal, selalu mencari pasal dan menjadi murid yang tidak digemari oleh guru-guru. Nakal sangatlah pendek katanya. Hinggalah pada suatu hari, ketika berusia 12 tahun, seorang guru telah berjaya mengetuk pintu hatinya. Alhamdulilllah, berkat usaha cikgu itu dan izin Ilahi, dia yang tak pernah solat mula belajar solat dan mendekati Allah. Tidak setakat itu, perubahan Elbit Liew rupa-rupanya bagai suatu 'pembuka' yang seterusnya mendorong seluruh keluarganya, termasuk ibu dan ayahnya juga mendekati Islam. Alhamdulillah.
Antara point-point penting yang disampaikan oleh Ustaz Elbit Liew adalah; Pertama. Sebagai orang Islam, kita perlu ada perasaan kasih dan sayang, bukan saja sesama kita tapi juga kepada mereka yang belum mendapat hidayah dari Ilahi. Dewasa ini, kita orang Melayu - Islam, sering merasakan bahawa kita lebih baik daripada kaum lain / agama lain. Kononnya kita yakin, agama kita adalah agama yang benar, agama yang diredhai Allah, kita akan masuk syurga. Kita juga yakin, orang kafir akan masuk syurga - sedikit sebanyak telah membuatkan kita menjadi 'sombong'. Bila melihat non-muslim berpakaian tidak sopan, berkelakuan tidak senonoh, kita mula mencemuh, membenci mereka.
Mentang-mentanglah kita ini orang Islam - agama yang benar. Mereka kafir - masuk neraka. Alangkah lebih baik lagi sekiranya kita buang jauh-jauh perasaan benci itu - gantikannya dengan perasaan kasih dan sayang, juga kasihanilah mereka. Kasihan mereka kerana mereka belum mendapat hidayah daripada Allah sedangkan kita bahagia menikmatinya. Kasihan pada mereka nanti, walaupun baik ketika di dunia, tapi di akhirat kelak akan dimasukkan ke neraka. Kasihan mereka. Menangislah dengan tulus ikhlas, kasihan mereka...
Ustaz Elbit Liew sempat berkongsi, dua peristiwa yang berlaku pada Khalifah yang kedua, Saidina Ummar Bin Al-Khattab.
Pada suatu hari, Saidina Umar bertemu dengan seorang Rahib yang sangat baik, tekun beribadah (mengikut agamanya). Saidina Umar melihat Rahib itu, lalu menangis. Umar yang kita kenal seorang yang tegas, garang, digeruni pun menangis! Rahib itu kehairanan lalu bertanya kepada khalifah, kenapa menangis? Saidina Umar kemudiannya menjawab bahawa dia kasihan melihat Rahib yang baik itu tapi akhirnya kesudahannya adalah neraka. Lantaran itu, dengan izin Allah, Rahib itu terbuka hati untuk mengucap dua kalimah syahadah. Subhanallah!
Kisah kedua, Saidina Ummar sedang mengagihkan makanan kepada rakyatnya. Di kalangan mereka, ada juga yang beragama selain daripada Islam. Melihat mereka, Umar sekali lagi menangis. Rakyatnya yang bukan beragama Islam itu lalu bertanya, "Wahai khalifah, kenapakah menangis, apakah teruk benar keadaan kami?"
Saidina Umar menjawab, bahawasanya, dia menangis kerana kasihan, sedih tatkala ketika di bawah pemerintahannya, masih ada lagi rakyatnya yang belum menganut agama Islam.
Subhanallah. Lihat bagaimana lembutnya hati seorang yang paling digeruni, gagah perkasa, berani berjuang di medan perang tak pernah gentar! Kita, bila kali terakhir kita menangis? Apakah keras sangat hati kita? Ego sangatkah kita? Sombongkah? Hitamkah? Hebat sangatkah kita? Kita menangis tempoh hari kerana apa? Kecewa putus cinta? Atau kehilangan harta yang kita sayangi? Atau kenapa?
Pesan Ustaz Ebit Liew lagi - Menangislah. Menangis kerana Allah. Bila tengok orang lain melakukan maksiat, tidak menunaikan suruhan Allah, tidak solat dan sebagainya - menangis dan doakan agar mereka kembali ke jalan Allah. Ajar anak-anak kita yang masih kecil, yang belum melakukan dosa agar turut mendoakan dan mengaminkan doa yang baik-baik. Moga doa kita diterima dan dimakbulkan Allah. InsyaAllah.
Seterusnya, hari ini saya sempat mendengar satu lagi perkongsian daripada seorang saudara baru. Puan Rafidah Veronica. Juga melalui slot yang sama, Islam Agamaku. Kali ini terasa tertampar lagi. Malu! Bagaimana dia yang baru mengenal Allah, begitu yakin sepenuhnya kepada Allah, janji-janji Allah. Bagaimana beliau yang baru mengucap kalimah syahadah boleh memberi begitu banyak inspirasi dan menyentuh hati orang ramai. Bagaimana dia yang bergelar saudara baru, begitu tabah menghadapi segala ujian dengan penuh kesabaran. Subhanallah.
Cerita Puan Rafidah mungkin jauh bezanya dengan kisah Ustaz Ebit Liew. Jalan yang terpaksa dilalui dan ditempuhinya ketika mula-mula menganut agama Islam agak sukar dan begitu berat. Sebagai seorang yang berbangsa Hindu, anak pertama dalam keluarga dan melahirkan satu-satunya zuriat lelaki dalam keluarga, beliau menghadapi tentangan keras daripada keluarga. Bukan sahaja dibuang keluarga, kerana telah mengucap syahadah - secara tidak lansung - pernikahannya dengan suami yang belum beragama Islam - bubar. Dalam masa sehari, kehidupannya berubah 180 darjah. Mengalami masalah kewangan, tiada tempat berteduh dan sebagainya.
Tidak cukup dengan itu, Puan Rafidah diuji lagi apabila menghadapi kesukaran untuk mendapat hak penjagaan empat orang anaknya. Demi melindungi akidah anak-anaknya, beliau bersusah payah menghadapi segala ujian dan dugaan, turun naik mahkamah dan sebagainya. Pernah juga, anaknya hampir diculik dan dicederakan. Berat telinga yang mendengar, saya tahu, berat lagi bahu Puan Rafidah memikul segalanya.
Pun begitu - tidak habis-habis beliau berpesan agar kita harus sentiasa bersabar dan berfikiran positif. Yakin pada janji Allah. Subhanallah. Orang yang masih sedang diuji, masih mampu memberi motivasi kepada orang lain. Biarpun telah dibuang oleh keluarga, namun beliau tabah meneruskan kehidupan dan optimis dengan masa hadapan.
Kepada kedua-duanya, alhamdulillah dan tahniah kerana telah membuka hati untuk menerima hidayah daripada Allah, dengan izin Allah. Terima kasih juga kerana sudi menjentik kami dari tidur lena yang panjang. Betapa ramai di luar sana, insan-insan masih mencari-cari hidayah Ilahi. Betapa mereka yang baru mendapat hidayah dari Allah, begitu menghargainya. Tapi kita yang dilahirkan dalam Islam, kadang-kadang tidak menggambarkan ciri-ciri seorang yang beragama Islam. Melupakan tanggungjawab kita selain beribadat mengumpul pahala ke syurga - kita juga bertanggungjawab terhadap saudara-saudara seagama kita, masyarakat sekeliling kita. Astagfirullahalazim..
Ayuh! Maju yok! Jangan lagi diam berpeluk tubuh. Kita adalah ummat yang terbaik kerana kita ini mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Kita ini akan mendapat ganjaran kebaikan dari Allah swt sekiranya kita saling tolong-menolong melakukan kebaikan. Mari, kita cuba jadi duta agama kita yang terbaik. Berdasarkan perkongsian daripada tetamu-tetamu undangan slot Islam Agamaku, kebanyakan mereka bersetuju - kita orang Islam di Malaysia tidak mengamalkan ajaran Islam seperti yang sepatutnya. Walhal Islam itu indah, tapi kita yang mengotorinya, menjadi punca penganut agama lain bertanggapan negatif terhadap Islam.
Ayuh! Mara yok! Kita sama-sama cuba dan usaha, perbaiki diri kita sendiri. Bukan mudah untuk menjadi orang baik, memang benar. Bukan mudah melakukan suruhan Allah, menjauhkan larangan Allah. Memang benar. Kerana ganjarannya yakni syurga sangat tinggi nilainya. Mudah melakukan kejahatan kerana balasannya juga mudah diperolehi, oleh sesiapa pun. Neraka! Naauzubillahiminzalik..
Ayuh! Bersatu yok! Semoga kita sama-sama dapat menyebar luas kebaikan ke seluruh alam. Kepada saudara seagama kita, dan mereka yang belum mendapat hidayah dari-Nya. Sahabat, doakan ya, boss saya, baik orangnya. Doakan agar Allah mengetuk pintu hatinya, memberi hidayah kepadanya. Doakan agar pintu hatinya terbuka dan dapat menikmati keindahan Islam ini - dan terselamat dari neraka.
Amin ya rabb.
- Tamat - 12.04am -
2 comments:
Terima kasih atas perkongsian. Disini saya kongsikan ceramah ustaz ebit lew yang terbaik. Semoga semua dapat manfaat dari ceramahnya. Jom share ramai-ramai:
https://www.youtube.com/watch?v=kh8BKO1dl7U
Makaseh info.
Post a Comment