+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, February 4, 2011

Ujian Warna Kehidupan


Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5)

Allahu Allah. 

Berulang kali kita lafazkan ungkapan ini. Berulang kali kita tuturkan  menggunakan lidah dan bibir kita. Menyebut-nyebut bahawasanya hanya Allah yang kita sembah, dan hanya kepada Allah jualah kita memohon pertolongan. Tapi mengapa, tiap kali diri ditimpa musibah, mudahnya kita mengeluh. Tiap kali diri berdepan dengan cubaan dan ujian, mudah saja airmata kita mengalir. Tiap kali diri diancam, dikhianati, dilukai, disisihkan, dilupai, diabaikan, ditinggalkan, didustai, disakiti, Allah menjadi tempat terakhir yang kita cari, tempat terakhir untuk kita mengadu dan memohon? Setelah usaha-usaha lain ketemu jalan buntu.  Barulah kita menadah tangan berdoa dan bermohon pada-Nya.

Kenapa?

Apakah kerana kita tidak yakin, bahawasanya Allah Maha Berkuasa atas segalanya? Atau kita tidak yakin bahawa Allah Maha Mengetahui tiap apa yang telah terjadi mahupun apa yang bakal terjadi? Atau kita kita tidak yakin, bahawa setiap yang berlaku, hanya berlaku dengan keizinan-Nya. Astagfirullahalazim.

Dan Dia lah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (Al-Mu'minuun 23:78)

Saya menyukat diri sendiri. Menyemak diri saya sendiri. Selama ini, apa yang telah saya lakukan dan apa pula yang tidak saya lakukan? Sungguh, nikmat dan anugerah Allah berikan pada saya tidak terhitung banyaknya, namun ternyata, terlalu sedikit saya mensyukuri nikmat pemberian-Nya. Malahan, saya hamba yang hina ini sering pula melakukan dosa dan kesilapan.

Bukan saya tidak tahu bahawasanya neraka itu ada. Bukan saya tidak tahu bahawasanya syurga itu benar-benar ada. Tapi entah di mana silapnya. Saya sering alpa dan lalai. Mudah tergelincir dan terpesong dari jalan yang lurus. Tersesat dan mencari jalan pulang. Mencari cahaya setelah sekian waktu hidup dalam kegelapan. Bangkit setelah jatuh berkali-kali. Barangkali Allah tahu, hati ini lebih mudah menerima cinta-Nya ketika diri ini dalam kesakitan, penderitaan. Barangkali Allah tahu, hati ini lebih lazat menikmati indah kasih-Nya ketika pipi ini basah dengan airmata.

Moga Allah mengampunkan dosa-dosa ini. Tiada siapapun dari kita yang bebas dari melakukan dosa dan kesilapan. Namun begitu, tidak maksum bukan alasan yang terbaik untuk kita membela diri. Saya optimis dan saya percaya, Allah bukan sengaja membiarkan saya menangis, tapi Dia lebih mengetahui segalanya dan saya yakin, Dia mengasihi diri ini. Terima kasih Tuhan, atas segalanya. Nikmat susah dan senang. Dan  nikmat kebahagiaan saat airmata keinsafan mengalir di kedua belah pipi ini.

Saya ibarat sang musafir tersesat sendirian di tengah padang pasir, panas, tandus dan kering kontang. Peluh memercik dari setiap liang roma. Saya kepenatan dan kehausan. Dan akhirnya hujan turun membasahi bumi yang gersang. Titik jernih yang jatuh dari langit diminum sepuas-puasnya penuh kelazatan.  Membuang segala rasa haus dan dahaga. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan. Rasanya begitu indah.

Saya hari ini adalah kerana apa yang telah saya lakukan pada hari-hari kelmarin. Ujian zaman silam adalah warna hitam dalam sejarah hidup saya. Biarpun sekuat mana saya berusaha untuk melupakan segala kisah yang pernah mencorak masa silam saya, sisa dan bakinya tetap ada tidak mahu hilang.

Ia akan selamanya terus membayangi saya, sampai mati, sampai ke hari pembalasan. Hanya keampunan dan kemaafan dari-Nya yang mampu menyelamatkan saya dari segala azab. Sungguh, tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Allah. Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku.


Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah 2:284)


Hidup di dunia bukan mudah. Ujian datang pelbagai warna, mencorak kehidupan kita.  Terserah kepada kita bagaimana meladeni warna-warna tersebut, mengolah dan menggubahnya menjadi sebuah lukisan yang indah atau sebaliknya. Ingatlah firman Allah;



 Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)


Wahai diri. Bersyukurlah bila diuji. Ada orang diuji dengan kesenangan, dan ada yang diuji dengan kesempitan. Ada yang diuji dengan kesihatan yang merosot dan banyak lagi, setimpal dengan kemampuan kita. Ada orang, makin besar ujiannya bila dia makin berusaha untuk mendekati Allah. Ada pula sesetengah orang, yang terus dibiarkan dalam kesenangan dan kesesatan.  Baginya segala-galanya indah. Hinggakan dia lupa, dunia hanya sementara. Hingga dia lupa, dunia hanyalah senda gurau dan permainan, sedangkan akhirat adalah kehidupan yang sebenar. Naauzubillahiminzalik..

Andai kita diuji. Janganlah goyah atau menyalahkan takdir. Jangan sekali-kali menganggap bahawa Allah tidak adil dan tidak menyayangi diri kita. Ketahuilah bahawa ujian yang paling berat adalah ujian para Nabi. Apakah mereka diuji kerana Allah tidak kasihkan mereka? Pujuklah diri dan hati. Bertabahlah. Allah beri ujian dan dugaan, kerana Allah kasihkan kita. Agar kita kembali dekat dengan-Nya.. Sebelum mati menjemput kita. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Anbiya' dan Surah Al-Ahzab;

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat. (Surah As-Sajadah : Ayat 21)

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiyaa' 21:35)


Yakinlah bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Bila kita diuji, bersyukurlah kerana Allah sedang 'memberi perhatiannya' kepada kita. Bersyukurlah kerana Allah sedang memberi kita peluang untuk kembali dekat dengan-Nya.

Mungkin sebelum ini kita pernah berbuat dosa. Mohonlah keampunan dari-Nya.
Mungkin sebelum ini kita pernah melupakan Allah. Insaflah. Beristighfarlah.

Sesungguhnya, hanya Dia yang kita sembah, dan hanya kepada Dialah, kita memohon pertolongan. Dan kepada-Nya jualah, kita akan dikembalikan. Bila sampai waktunya nanti.

Perjalanan masih jauh. Mungkin mati akan tiba tidak lama lagi, tapi perjalanan ke negeri abadi memerlukan bekalan yang banyak. Kehidupan selepas mati adalah pasti.
Ya Allah, kami mohon petunjuk dan keampunan dari-Mu. Berikanlah kami kebaikan, di dunia dan di akhirat...

Moga ujian-ujianku, suatu hari nanti, tercantum menjadi sebuah pelangi yang terindah. Amin ya rabb..

Wallahua'alam.




No comments: