+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, February 5, 2011

Kerana Sebuah Senyuman

Sejak mula melangkah masuk melepasi pintu pagar utama, matanya melilau kiri dan kanan. Bagai tercari-cari sesuatu, atau mungkin seseorang. Cepat langkahnya di atur, menuju mesin 'thumb print'. Dia menjulurkan ibu jari kanannya kemudian menekan ke atas skrin kecil, tanda waktu bekerja sudah bermula.

Dia bukan seorang, di belakangnya kelihatan kelibat beberapa orang pekerja lain. Ada lelaki, ada perempuan. Ada Melayu, ada Cina dan ada India. Di situ, mereka sama-sama mencari makan. Tempat mereka memerah otak dan keringat, demi mendapatkan rezeki yang halal.

Selain mereka, warganegara Malaysia, ada banyak lagi pekerja-pekerja lain yang ikut tumpang sebumbung mencari rezeki di situ. Ada yang datang dari Bangladesh, Nepal, Vietnam, Indonesia dan lain-lain tempat. Jauh mereka merantau, tinggalkan anak isteri. Keluarga dan kampung halaman. Demi melihat mereka, bertambah-tambah aku bersyukur pada Ilahi, kerana setidaknya, aku masih di sini, bersama orang-orang yang aku sayangi. Tidak seperti pekerja-pekerja asing yang terpaksa merantau beribu batu jauhnya demi mencari sumber pendatan. Alhamdulillah. Aku bersyukur seadanya.

Jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Suasana mulai sunyi, barangkali kebanyakan dari pekerja sudah memulakan tugas masing-masing. Tapi dia masih berdiri di situ. Menoleh kanan dan kiri. Sendirian. Ini bukan kali pertama aku melihat dia begitu. Bahkan kebelakangan ini, berkali-kali aku melihat dia penasaran di situ. Aku yakin, dia sedang mencari-cari seseorang. Tapi siapa? Aku tidak pasti.

"Assalamualaikum wbt.." Aku mendekatinya dari belakang, lalu menghulurkan salam.

"Waalaikumsalam wbt.." Dia menjawab perlahan, tanpa menolehkan wajahnya ke arahku. Masih membelakangi aku. Aku percaya, ada sesuatu yang ingin dia sembunyikan padaku.

"Aku tahu apa yang kau ingin tahu, usah tanya kerana aku tak akan menjawabnya," Belum sempat aku membuka mulut, dia segera memintas. Mulutku tertutup semula. Aku diam. Tapi masih tetap berdiri di belakangnya. Aku memang begini, sentiasa ada untuknya. Biar susah atau senang. Tak kira sama ada dia sedang menangis atau tertawa riang. Aku adalah dia. Dan dia adalah aku.

Di belakangnya aku diam membisu. Sekadar memerhatikan gelagatnya tanpa bertanya sepatah kata. Hari ini aku nekad, nak jadi apa jadilah. Tapi aku harus mendapat tahu apakah gerangan yang membuatnya penasaran. Atau siapakah yang telah berjaya mencuri perhatiannya. Aku harus. 

Setiap langkah tapak kakinya aku jejaki. Dia ke kanan, aku ikut ke kanan. Dia ke depan, aku ikut ke depan.

Akhirnya aku lihat garis senyuman terukir di wajahnya tatkala dia terpandang seorang lelaki sedang menyorong sesuatu di tepi bangunan pentadbiran. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri. Setelah beberapa ketika dan pasti tiada orang melihatnya di situ, dia mempercepatkan langkahnya menghampiri lelaki itu.

Setelah jaraknya menjadi dekat, dia menghadiahkan senyuman ke arah lelaki itu. Tanpa sempat lelaki itu berkata apa, dia menghulurkan sesuatu ke arah lelaki berbaju biru tua itu. 

"Saya kasi, buat makan," katanya. Lelaki itu tersenyum lalu mengucapkan terima kasih. Dia membalas senyum lalu terus meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga. Dan aku juga terpinga-pinga.

"Kenapa baru hari ini kau buat begini?" Kali ini aku tidak mampu diam lagi. Aku pula yang jadi penasaran. Cepat aku bertanya sebaik sahaja dia melangkah meninggalkan lelaki itu.

"Saja," Dia menjawab sambil menjungkitkan kedua belah bahunya.

"Bukankah sebelum ini kau berkali-kali bertembung dengannya, kenapa tidak bagi?" Soal aku lagi.

"Oh. Waktu itu ramai orang. Aku bimbang nanti aku disalah erti, atau mana tahu, pakcik tu dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan kerana salah faham, sedangkan niat aku cuma satu, aku kasihankan pakcik tu dan aku ingin hiburkan dia," Akhirnya dia bersuara membuat penjelasan. Nadanya riang, aku tahu dia bahagia.

"Tapi kenapa pakcik tu?" Aku bertanya lagi.

Dia menghentikan langkahnya. Masih lagi tersenyum senang. Kemudian rona wajahnya bertukar corak. Garis senyuman hilang dari wajahnya.

"Sebab pakcik tu tukang sapu. Dia kelihatan sudah berusia. Terpaksa pula berjauhan dengan keluarga sedangkan seharusnya waktu begini diluangkan bersama anak dan cucu di rumah. Lihat saja badannya, kurus saja. Kasihan aku tengok," Ujarnya dengan suara yang sayu. Simpati.

"Aku tahu.. Tapi bukankah ramai lagi yang patut dikasihankan? Pekerja lain juga jauh tinggalkan keluarga, anak isteri, mak ayah masing-masing. Memang ada yang muda-muda tapi ada juga yang sudah berusia. Mereka juga bekerja 7 hari seminggu, 12 jam sehari, mereka juga patut dikasihani, kan?" Aku menyoal bertalu-talu. Masih tidak berpuas hati.

"Sebab, beberapa hari lepas, aku ternampak dia mengangkat sebuah kotak yang berat. Dan aku lihat dia senyum." Begitu dia menjawab. Aku bertambah penasaran.

"Kerana dia senyum???" Aku meninggikan suaraku secara tidak sengaja. 

"Ya, kerana dia senyum." Dia pula mengulangi kata-kataku  dengan intonasi yang berbeza. Jelas suaranya melantun bait-bait kata itu.

"Banyak orang yang aku kenal, yang jauh lebih beruntung dari pakcik itu. Tapi mukanya selalu masam. Mencuka.Hidup bersama orang-orang tersayang dan dikelilingi dengan kemewahan, tapi senyumannya terlalu mahal. Tapi pakcik itu, hidupnya sarat dengan penderitaan tapi murah dengan senyuman. Subhanallah. Aku benar-benar tersentuh, cukup untuk aku menginsafi betapa selama ini aku juga kurang mensyukuri nikmat dan pemberian Ilahi. Betapa selama ini aku tidak menghargai segala apa yang aku miliki." Dia menyambung lagi. Aku diam, mencerna tiap patah perkataan yang terucap dari bibirnya. Biar bisa tersimpan kemas dalam kotak ingatanku. Aku ingin begitu.

"Aku bimbang. Entah bagaimana agaknya aku, andai aku di tempat pakcik itu. Apakah aku masih mampu tersenyum?" Suaranya hampir tenggelam, namun aku  bisa mendengarnya  dengan jelas kerana ia lahir dari sudut hatinya yang paling dalam.  Tempat aku bernaung. Sampai di situ, dia mematikan kata.

Dan akhirnya aku mengerti. Akan nilai sebuah senyuman, pada insan yang mengerti.




3 comments:

faiez said...

Nieja....citer ni menyentuh hati...superb..

AsNiza said...

Thanks faiez sudi baca.. =)
Tengok yg tua kurus kering tu senyum lagi menyentuh hati.. huhu.. kita yg byk nikmati lebih byk anugerah Tuhan ni kadang2 sangat kedekut nak senyum.. Jom senyum banyak2.. Sedekah :)

Anonymous said...

~~~cerita yang sangat menyentuh hati say~~coz saya selalu bermasam muka bila melakukan kerja ~~hope lpas bce nie saya akn perbaiki diri~~dan lebih mensyukuri nikmat allah~~