Kak Ngah membelek-belek ikan yang disusun dan dilambak di atas meja. Aku ikut sama membelek walaupun hakikatnya aku sendiri tidak tahu apa yang ingin aku cari pada jasad seekor ikan yang telah mati.
'Ah. Sama saja. Ada mulut, ada dua mata, ada ekor. Ikan kat sini semuanya sama,' bisikku di dalam hati. Benar-benar tidak mengerti
“Kak Ngah, macam mana nak pilih kalau tak tahu apa-apa? Adik tak retilah kak.. ” Tulus aku bertanya. Kak Ngah masih sibuk memilih ikan.
“Haa.. Sebab tu kena belajar, tambah ilmu pengetahuan, tambah pengalaman, barulah tahu membezakan, mana yang elok, mana yang tak elok.. Kak Ngah dulu pun sama juga macam adik, tak tahu apa-apa.. Main beli saja.. ” Kak Ngah menjawab kemudian menunjukkan aku bagaimana cara memilih ikan-ikan yang segar. Tekun aku mendengar dan akhirnya aku bersyukur setelah semua barang-barang yang ingin dibeli sudah berjaya kami beli. Sambil menjinjit bakul dan beg plastic, kami berjalan menuju ke tempat letak kereta.
“Kak Ngah, adik nak Tanya sikit boleh tak?” Aku memberanikan diri untuk bertanya. Kak Ngah sedang focus pada pemanduannya.
“Ya Cik Adik Nurul Natasya, mahu Tanya apa?” Kak Ngah membalas. Wajahnya manis dengan senyuman.
“Erm, janji tau jangan marah,” Aku takut-takut.
“Kenapa ni? Macam serius je bunyinya..” Suara Kak Ngah bertukar nada.
“Agak serius jugalah. Hehe.. “ Balas aku pula.
“Apa yang serius sangat nie, cuba bagi tahu Kak Ngah. InsyaAllah Kak Ngah tak marah, okey?” Kak Ngah cuba memujuk aku agar meneruskan niatku.
“Adik peliklah kenapa Kak Ngah tak kahwin-kahwin lagi. Kak Long, Kak Uda, Kak Chik semua dah lama kahwin, dah ada anak dah pun. Akak bila lagi? Tak teringin ke naik pelamin?” Akhirnya aku memberanikan diri untuk bertanya. Di dalam hati bimbang juga kalau-kalau Kak Ngah tersinggung.
“Owh. Pasal itu kah? Hmm. Adik malu ke sebab ada kakak yang belum berkahwin?” Kak Ngah pula yang bertanya. Aku menggelengkan kepala. Laju.
“Adakah Kak Ngah berdosa sebab tak kahwin?” Tanya Kak Ngah lagi.
Aku menjawab, “Tidak..”
“Adik nampak Kak Ngah tak bahagia dengan hidup sekarang?” Sekali lagi aku gelengkan kepala, tapi agak perlahan.
“Adik tahu Kak Ngah bahagia dengan hidup Kak Ngah. Akak redha dan terima segalanya dengan penuh rasa syukur, tapi adik harap sangat Kak Ngah juga dapat menikmati kebahagiaan yang sama seperti orang lain kecapi..” Perlahan suaraku menuturkan kata.
“Adik, kalau kebahagiaan hanya diukur dengan ikatan pernikahan, dengan kehadiran suami atau isteri. Atau dapat disukat setara dengan jumlah anak. Penduduk India seharusnya orang yang paling bahagia kerana mereka punya ramai anak. Tapi hakikatnya tidak semudah itu. Bahagia itu letaknya di sini, di dalam dada kita..” Tangan kiri Kak Ngah menekan dadanya, sambil tangan kanannya terus tetap memegang stereng kereta.
“Ramai orang yang bernikah, tapi mereka pun menderita. Allah juga berfirman, kadang-kadang kita diuji dengan harta, dengan anak. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya, untuk Kak Ngah, jadi Kak Ngah redha atas segalanya dan syukuri setiap apa yang Allah tetapkan untuk Kak Ngah. Manalah tahu kan, mungkin nanti bila dah bergelar ibu, Kak Ngah sibuk dengan anak-anak hingga sampai terlupa Tuhan. Kak Ngah pun tak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Jadinya, apa yang nyata di hadapan mata sekarang ini, kenalah hargai sebaik yang mungkin. Kalau dah kahwin harus jadi isteri yang solehah. Sementara belum diijab dan Kabul, harusnya akak jadi anak yang solehah. Berbakti kepada emak dan ayah kita. Pada keluarga. Pada masyarakat.. Sementara masih ada peluang.. “ Panjang lebar Kak Ngah berceloteh. Suaranya tenang menyentuh gegendang telingaku.
“Tuhan bagi dugaan pada hamba-Nya yang mampu. Mungkin Kak Ngah lebih mampu mengharungi ujian hidup sendirian daripada diuji dengan anak dan suami..” Sambungnya lagi sebelum akhirnya diam membisu. Masih focus terhadap pemanduannya.
Kereta terus meluncur laju. Beberapa kali berhenti di lampu isyarat merah kemudian meneruskan perjalanan apabila lampu bertukar menjadi hijau. Manusia memang selalunya mementingkan diri sendiri. Tanpa lampu isyarat kesesakan teruk mungkin terjadi. Dan mungkin akan mengakibatkan kemalangan apabila masing-masing tidak mahu bertolak ansur.
“Betullah kata Kak Ngah. Tapi kan. Bukankah bernikah itu sunnah nabi. Dengan pernikahan dapat melahirkan zuriat yang halal, meramaikan ummat Nabi Muhammad saw. Menyempurnakan fitrah dan kehendak seseorang manusia. Yang perlukan teman dan punya tuntutan nafsu. Ada naluri dan ada perasaan yang perlu diladeni. Allah juga berfirman dalam Surah Ar-Ruum, " Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” Aku pula berhujjah, masih belum berpuas hati dengan penjelasan Kak Ngah.
“Wah. Adik akak dah besar ya.. Hebat juga bab-bab ni. Dah ada calon ke?” Kak Ngah tersengih, seronok menyakat aku. Aku buat-buat merajuk, menarik muka.
“Kak Ngah ni, main-main pula. Adik seriuslaa.. “ Aku mencubit peha kiri Kak Ngah perlahan. Dia ketawa kecil.. Senang aku melihatnya begitu.
“Yela-yela. Gurau sikit je pun… Urm.. Apa yang adik cakap tadi tu pun betul jugak. Bukanlah maksud akak pernikahan itu suatu yang patut dielakkan. Bukan juga niat Kak Ngah tak mahu bernikah. Cuma, sekarang ini jodoh Kak Ngah belum tiba dan Kak Ngah terima segalanya dengan hati yang terbuka. Manfaatkan apa yang akak miliki waktu ini, waktu bujang ni dengan sebaik mungkin..”
“Tak sepatutnya Kak Ngah harus menangis bersedih meratapi nasib diri yang tak laku-laku nih. Atau tak boleh juga Kak Ngah membuang rasa malu, abaikan maruah diri semata-mata ingin digelar isteri orang. Harus ada batas-batasnya dan Kak Ngah percaya pada Qada’ dan Qadar. Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya sudah ditetapkan oleh-Nya. Tinggal akak perlu usaha dan berdoa saja. Mana lah tahu. Dah tertulis dalam takdir Kak Ngah, akak mati dulu sebelum sempat diijab dan kabulkan. Siapa tahu kecuali Allah?”
“Adik pun tahu kan? Bilamana kita mati nanti. Semuanya akan terputus dari kita. Harta yang banyak tak mampu merasuah malaikat Izrail supaya menangguhkan kematian kita. Anak-anak yang ramai tak mampu menghalang Izrail mencabut nyawa kita. Bila dah masuk kubur, semuanya kita tinggalkan. Yang boleh membantu kita Cuma doa anak-anak yang soleh dan solehah. Buat masa ini, Kak Ngah tak punya kesempatan ini. Tapi Allah Maha Adil. Allah tak zalim. Selain doa anak-anak yang soleh, ilmu yang dimanfaat dan sedekah jariah juga boleh meringankan azab kita di dalam kubur kelak. Membantu kita bila kita sudah mati. ALhamdulillah dan InsyaAllah akak takkan sia-siakan peluang yang Allah berikan ini,” Jelas Kak Ngah lagi sambil tersenyum.
"Kak Ngah tak mahu jadi orang yang rugi. Yang dikejar entah bila kan dapat, yang dikendong pula jatuh berciciran. Rugi tau.." Sambung Kak Ngah lagi. Jelas Kak Ngah kelihatan matang dalam bab ini, mungkin pengalaman benar-benar mendewasakannya.
Aku yang duduk di sebelahnya hanya diam membisu. Mengutip setiap bait kata seorang kakak dan cuba merakamnya kemas dalam ingatan.
"Dah, jangan fikir lagi. Jangan risaukan Kak Ngah ya. Akak kan dah besar... Lagipun, tujuan kita hidup di dunia ini adalah untuk mengumpul bekalan ke negeri abadi, kan? Apalah sangat derita atau sengsara kita di dunia ini, kahwin ataupun tidak, semuanya hanya sementara. Allah kan dah kata dalam Surah Al-Ankabut, kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan semata-mata. Sesungguhnya negeri akhirat itulah..." Sampai di situ Kak Ngah mematikan kata. Menanti aku menyambung kata-katanya.
"Sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenar.. " Lemah aku menyambung terjemahan maksud Surah Al-Ankabut ayat yang ke-64 itu.
"Ya lah, Kak Ngah menang. Adik tahu Kak Ngah lebih tahu.. Adik minta maaf kalau-kalau adik tersilap kata, terguris hati Kak Ngah ya.." Ujarku menyambung bicara.
"Tapi akak jangan berputus asa ya. Selalu tak amalkan doa dari Surah Al-Furqan ayat ke-74 tu?"
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa"
"Ya adik Kak Ngah sayang, akak akan cuba amalkan, insyaAllah," Jawab Kak Ngah pula. Aku tersenyum riang.
"Kak Ngah lawa tau. Don't ever feel that you are not. Jangan rasa rendah diri, you are beautiful u know.. And i love you soooo much.. " Luahku dari lubuk hati yang paling dalam. Sungguh, aku benar-benar sayangkan Kak Ngah.
Biarpun kami ada lima orang adik beradik, aku paling rapat dengan Kak Ngah. Kak Ngah anak ke-dua dan aku anak yang paling bongsu. Jarak usia antara kami agak besar namun ia bukan menjadi penghalang mahupun jurang yang memisahkan kami. Mungkin juga kerana kakak-kakakku yang lain sudah bernikah, yang tinggal cuma Kak Ngah dan aku. Maka ia menjadi antara penyebab hubungan kami lebih rapat.
Bukan niatku sengaja untuk memilih kasih. Aku juga sayang semua kakak-kakakku yang lain. Aku juga kasihkan mereka. Namun demi Tuhan aku akui, di dalam hati ini, Kak Ngah bertaktha di suatu tempat yang lebih istimewa. Pada aku, Kak Ngah seorang yang benar-benar istimewa. Doaku sentiasa ada untuk Kak Ngah
'Terima kasih Tuhan, kerana pinjamkan aku seorang kakak seperti Kak Ngah..' doaku di dalam hati. Aku memejam mata beberapa detik kemudian membukanya semula. Sebaik sahaja mataku dibuka, suatu kelibat objek yang sangat besar kelihatan melayang ke arah kereta kami. Kak Ngah menekan brek kecemasan dan serentak itu aku menjerit memanggil namanya.
"Kak Ngah!!!!!"
"Allahuakbar!!!"
Alam menjadi kelam, pandanganku menjadi hitam...
-----------------------------------------------
InsyaAllah, akan disambung.. Nantikan episod yang ke seterusnya. Terima kasih kerana sudi membaca. =)
No comments:
Post a Comment