Mentari mengintai malu, sembunyi di balik bangunan-bangunan tinggi. Belum menunjukkan wajahnya yang bulat. Namun kehangatannya sudah mula terasa. Malam telah berlalu, pagi datang menemani hari, bersama mentari.
Setiap pagi Ahad, perkarangan Stadium Melawati selalunya dibanjiri ramai manusia. Pasar Tani yang juga dikenali 'Pasar Karat' sudah bertahun-tahun bertapak di situ. Ramai orang mengunjunginya, pelbagai ragam dan gelagat. Gera-gerai yang dibuka juga boleh tahan banyaknya. Ada bahagian kering dan ada bahagian basah yakni bahagian yang menjual barang-barang mentah untuk memasak seperti daging, ayam, ikan, sayur dan lain-lain.
Aku dan Kak Ngah tiba di situ kira-kira jam 7.30 pagi. Mengikut perancangan kami, Kak Ngah ingin masak laksa penang hari ini. Sudah lama aku tak merasa laksa penang Kak Ngah. Semangat aku membara, beria-ia mahu menemani Kak Ngah ke pasar pagi itu. Lagi pula, bukan selalu kami mempunyai kesempatan untuk menghabiskan masa berdua sahaja. Setelah hampir setengah jam meninjau dari gerai ke gerai, akhirnya darah mudaku mulai resah apabila tiada satu hasil pun yang telah kami perolehi.
“Kak Ngah ni betul-betul nak beli ikan ke saja nak cuci mata?” Laju aku bertanya sedangkan mata masih sibuk menoleh kiri dan kanan, melihat deretan gerai di hadapan. Banyak sudah gerai ikan yang telah kami singgah. Namun hingga kini, ke empat-empat tangan kami masih kosong. Satu apa pun masih belum terbeli sedangkan kaki aku sudah mula terasa penat.
“Adik penat la Kak Ngah,” Aku mula merengek bila melihat Kak Ngah hanya sekadar tersenyum.
“Sabarlah dik, mungkin gerai kat depan sana ada ikan yang lebih elok, yang Kak Ngah mahu,” Pujuk Kak Ngah lembut seperti selalu. Itulah satu-satunya kakak aku yang masih belum berumah tangga. Dari tahun ke tahun, usianya terus menginjak namun dia tetap setia hidup sendirian.
Kadang-kadang aku pun hairan, nak dikatakan Kak Ngah tak lawa, Kak Chik dan Kak Uda yang ‘biasa-biasa’ saja masing-masing dah bergelar ibu. Masing-masing dah disunting orang. Jujurnya pada aku, Kak Ngah lebih sedap mata memandang, dan yang paling penting, dia tidak lokek dengan senyuman. Sentiasa tersenyum biarpun baru terjaga dari tidur mahupun pipi basah dengan airmata.
Sejuk aku melihatnya. Mustahillah kalau lansung tiada lelaki yang terpikat padanya, atau apakah semua lelaki di dalam dunia ini sudah buta? Tidak nampak apa yang aku nampak.Haih. Aku bermonolog sendirian kemudian akhirnya menarik sebuah keluhan yang panjang.
‘Atau barangkali, Kak Ngah ni terlalu memilih, tengok nie, nak beli ikan pun punyalah cerewet!’ Aku mengomel sendirian. Tanpa sedar, rupa-rupanya Kak Ngah terdengar omelan aku.
“Adik cakap apa?” Kak Ngah menghentikan langkahnya, memandang tepat ke arahku. Aku mula menjadi panic. Bimbang juga kalau-kalau aku telah mengguris hatinya. Dia kakak yang aku sayangi, yang aku hormati. Tak tegar rasanya hati ini untuk melukai hatinya.
“Urm.. Adik kata, akak ni cerewet betul nak beli ikan. Kan semua ikan sama saja kat sini…. “ Aku cuba berselindung, mudah-mudahan Kak Ngah terima penjelasanku.
“Owh.. Mestilah cerewet. Takkan nak ambil yang sebarangan saja. Memanglah ikan semuanya sama kalau jenisnya sama. Tapi, ada ikan yang segar ada yang tidak. Ada pulak ikan yang nampak segar pada luarannya saja, tapi sebenarnya tak bagus untuk kita sebab dah dimasukkan bahan pengawet. Kita mesti mahu yang terbaik, kan? Sebab tu kena pilih,” Kata Kak Ngah kemudian menyambung langkahnya sebelum singgah ke gerai yang seterusnya. Aku sekadar menurut langkah kakinya. Dalam diam cuba untuk mengerti apa yang dicelotehkan oleh si kakak, namun ternyata ianya agak sukar bagiku.
Kak Ngah membelek-belek ikan yang disusun dan dilambak di atas meja. Aku ikut sama membelek walaupun hakikatnya aku sendiri tidak tahu apa yang ingin aku cari pada jasad seekor ikan yang telah mati.
'Ah. Sama saja. Ada mulut, ada dua mata, ada ekor. Ikan kat sini semuanya sama,' bisikku di dalam hati. Benar-benar tidak mengerti.
No comments:
Post a Comment