+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, February 11, 2011

Budaya Injit-Injit Semut

 Kerana sesungguhnya, hidupku dan matiku, kerana Allah Swt.



Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam. Setelah lebih dua minggu, alhamdulillah hari ini kesihatan bertambah baik. Pergerakan tidak lagi terbatas, pertuturan tidak lagi terganggu, perbuatan juga insyAllah lebih teratur dan tersusun. Tidak lagi terburu-buru tanpa berfikir dengan sewajarnya.

Benarlah kata bijak pandai, kita akan ingat lima perkara setelah datang lima perkara. Antaranya, kita akan ingat waktu sihat bila tiba waktu sakit. Mungkin selama ini saya terlalu 'redha', nak demam pun demamlah, kononnya dapat menghapus dosa-dosa kecil. Tapi akhirnya, setelah keadaan berlarutan lebih daripada dua minggu, barulah saya menjadi seorang perindu, rindu keadaan diri ini ketika tubuh badan ini sihat walafiat.

Sungguh, tiap apa yang Allah ciptakan. Tiada yang sia-sia.
Baiklah. Agaknya dah banyak entri sebelum-sebelum ini, ada unsur-unsur melankolik. Al-maklumlah, penulisnya sedang tidak stabil keadaan fizikal dan emosinya. Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan diri ini. Mana yang baik, boleh di ambil untuk dijadikan pengajaran, mana yang buruk, minta tolong, buanglah jauh-jauh. Jangan biar ia membengkak, bernanah dan membusuk, memudaratkan diri kita sendiri. Naauzubillahiminzalik...

Isu kali ini. Tentang lagu 'injit-injit semut'.

Saya ingat lagi.Dulu-dulu arwah ayah selalu kata, saya ni ketika kecil suka benar menyanyi. Macam-macam lagu. Bagaimana rupa saya menyanyi ketika itu, wallahua'alam. Tapi saya kira, mungkin ia antara faktor kenapa saya menjadi anak kesayangan arwah ayah. Bayangkan ayah saya yang garang orangnya, tidak pernah menjentik saya, apatah lagi memukul atau merotan. Meninggikan suara pun boleh dihitung dengan sebelah jari. Pendek kata, terlalu sedikit. Begitulah istimewanya saya pada pandangan ayah. Terima kasih Allah atas segala anugerah dan nikmat yang Kau berikan kepada kami.

Antara lagu kegemaran saya ketika itu adalah lagu Tun Fatimah, Ikan Kekek, Air Pasang Dalam, Lenggang Kangkong, Inji-injit Semut dan banyak lagi. Lagu-lagu tersebut selalunya diiringi dengan gaya atau juga dimainkan dengan kawan-kawan. Contohnya lagu Injit-injit semut, dinyanyikan ketika bermain injit-injit semut. Permainannya sangat mudah. Tindih tangan secara berlapis-lapis. Orang yang paling atas adalah orang yang paling selamat kerana tiada orang yang akan 'menginjitnya' atau mencubitnya. Sebaliknya dia akan 'menginjit' orang di bawahnya dan orang di bawahnya pula akan menginjit orang yang seterusnya pula. Dan begitulah seterusnya hingga ke pemain yang paling akhir. Dia akan diinjit oleh banyak orang di atasnya dan dia tiada siapa-siapa yang boleh diinjit.

Moga dapat bayangkan bagaimana permainan injit-injit semut ini. Kalau tak boleh, minta tolong kawan yang arif untuk tunjukkan cara.. =)

Ketika kecil, saya hanya tahu bermain. Sangat jarang atau barangkali mustahil untuk saya fikirkan 'moral of the story' atau ibrah di sebalik permainan atau lagu yang saya nyanyikan.

Bila dah besar panjang, baru terfikir. Benarlah orang Melayu kaya dengan adab. Dalam berbicara sangat tertib, suka menggunakan kiasan dan bidalan. Perumpamaan dan peribahasa. Dalam lagu juga tersirat maksud yang tersembunyi di sebalik apa yang tersirat.

Rupanya budaya injit-menginjit bukan perkara baru.

Kebanyakan dari kita, lebih suka mementingkan diri sendiri. Asalkan diri sendiri tidak sakit, tak mengapalah sakiti orang lain. Asalkan diri kita tidak tenggelam, tak mengapalah pijak kepala orang lain. Asalkan kita tidak miskin dan dibawah selamanya, tak mengapalah menganiaya orang lain.

Mentaliti dan suatu konsep yang seharusnya diperbetulkan.

Sedangkan Allah telah berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat yang ke-2;
"Hendaklah kamu tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras dalam hukuman-Nya."

Dan Nabi Muhammad saw pula bersabda;

"Sesiapa yang berusaha untuk menunaikan hajat saudaranya, sesungguhnya Allah akan menunaikan hajatnya juga. Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan yang menimpa seorang Muslim, Allah akan melepaskannya dari satu kesusahan di hari kiamat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di Hari Kiamat." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Mari tunaikan hak-hak saudara kita. Jauhi sikap dengki-mendengki, khianat-mengkhianati, menindas orang lain, injak-menginjak atau saling menjatuhkan. Islam melarang kita berbuat keburukan semata-mata untuk kita mendapatkan kesenangan. Dan kita juga tidak digalakkan untuk bersifat pentingkan diri sendiri. Hidup kita bukan untuk diri kita semata-mata. Hidup kita bukan semata-mata membesar, belajar, bernikah, punya anak dan mati. Harus diingatkan juga, tentang peranan dan tanggungjawab kita terhadap ummah dan generasi akan datang. Apa yang telah kita lakukan untuk mereka? Apa sumbangan kita.

Mari. Buang jauh-jauh mentaliti dan budaya 'injit-injit semut' dalam kehidupan kita. Allah telah banyak berbuat baik kepada kita, maka seharusnya kita juga berbuat baik kepada makhluk Allah yang lain. Dan ingat juga Firman Allah, bahawa Dia akan membalas kebaikan kita dengan lebih banyak kebaikan. Maka, apa lagi yang kita harapkan, selain daripada keredhaan dan rahmat Tuhan?

Wallahua'alam

No comments: