+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, February 14, 2011

Setulus Cinta Mentari - Part Akhir

Aku membuka kedua belah mataku perlahan-lahan. Kelopak mataku terasa berat sekali. Bau ubat-ubatan menusuk hidungku. Biarpun sukar aku gagahkan jua mengangkat ke dua belah kelopak mataku. 

"Adik.. Adik..." Suara halus memanggil-manggil aku. Aku mendengarnya sayup namun tidak dapat mengecam suara itu milik siapa. 

Mataku dibuka lebih luas. Kini aku dapat melihat dengan lebih jelas, susuk-susuk tubuh yang hadir di dalam bilik sempit itu. Dekat dengan kepalaku aku nampak ibu sedang menangis bagai tidak mahu berhenti. Di sebelah ibu aku lihat Kak Uda sedang mendukung anaknya Suria. Pipinya juga basah dengan airmata. 



Manakala di sebelah kiriku pula aku lihat Kak Long dan Kak Chik. Mata mereka merah dan bengkak. Tentunya mereka juga menangis teruk. 'Allahu.. Apa yang telah terjadi.. Mana Kak Ngah?' Hati kecilku berbisik. Ingin aku bertanya namun butir suara tidak terkeluar dari rongga kerongkong aku.

Aku meninjau keadaan bilik kecil itu semahuku. Tidak jauh dari katilku, ada Mak Long, Mak Ngah, Mak Teh. Ada abang-abang iparku memimpin dan mendukung anak masing-masing. Aku masih belum berpuas hati. Wajah Kak Ngah tetap tidak kunjung tiba di hadapan mataku. 'Mana Kak Ngah?' Aku merintih lagi. Tanpa aku sedari, air jernih mengalir laju dari kedua-dua kelopak mataku. 

Ibu mengenggam jari-jemariku erat. Bagai mengerti gelora apa yang bermain-main di benakku. 

"Sabar adik.. Kak Ngah kat ward sebelah. Adik belum sihat lagi, nanti dah sihat kita jumpa Kak Ngah ya?" Ibu cuba memujuk aku. Sukar untuk aku percaya kerana mustahil semua orang ada di bilikku dan meninggalkan Kak Ngah sendirian, namun aku juga tidak mahu percaya bahawa Kak Ngah sudah tiada lagi. Aku memujuk diriku sendiri agar percaya kata-kata ibu. Namun sungguh hati ini sukar dipujuk. Airmata mengalir kian laju.

Berkali-kali aku menggeleng-gelengkan kepala. Bukan sehari dua aku kenal ibu. Ibu tidak pernah bohong tapi kali ini aku dapat rasakan dengan pasti, ibu sedang berdusta. 'Ibu penipu!' bentak hatiku.

"Kak Ngah!!" Akhirnya kata-kata itu terungkap jua dari bibirku. Aku memanggil nama Kak Ngah berulang-ulang kali. Suasana di dalam bilik sempit itu menjadi haru-biru. Kak Chik terus menangis teresak-esak. Ibu apatah lagi. Aku sempat melihat Abang Long keluar dari bilik memanggil-manggil doktor. Sebaik sahaja doktor menghampiriku bersama beberapa orang jururawat, aku kembali memejam mataku. Gelap gelita. Sepi.

---------------------------------------------------


Terjemahan Quran berwarna merah jambu aku tatap untuk ke sekian kalinya. Airmataku bagaikan sudah kering, tiada lagi manik putih mengalir keluar di kedua belah pipiku. Aku kini telah belajar untuk terima segala suratan takdir dengan hati yang redha. Jika sebelas tahun yang lepas aku menangis kerana kehilangan seorang ayah, kini aku menangis lagi kerana kakak yang aku kasihi juga telah kembali ke rahmahtullah. 

Jika dulu aku masih terlalu kecil untuk memahami hakikat sebenar sebuah kematian, kini aku sudah dewasa. Aku mengerti, ajal maut, semuanya sudah ditentukan oleh Ilahi. Setiap yang berhidup pasti akan mati. Malaikat Izrail akan mencabut nyawa bila tiba masanya, tidak pernah terlewat atau terawal satu detik pun. Cuma aku terkilan kerana tidak sempat menatap wajah Kak Ngah untuk kali yang terakhir. Aku terkilan kerana belum sempat mengucapkan terima kasih kepada Kak Ngah untuk segalanya yang dia telah berikan padaku. Aku terkilan kerana tidak mampu menjadi adiknya yang terbaik. 'Allahu. Apakah hati ini benar-benar redha? Ampunkanlah dosaku Ya Allah, berikanlah aku kekuatan..' Bisikku sendirian.. Kolam mataku mula bergenang semula, namun cepat-cepat aku seka airmataku, jangan menangis lagi!

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (Dengan merasai) kelaparan, dan (Dengan) berlakunya kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Surah Al-Baqarah : Ayat 155 & 156

Berulang-kali aku membaca ayat-ayat ini. Bagai memujuk hatiku sendiri. 'Innalillahiwainnailahirajiun.. Semoga Kak Ngah berbahagia di sana..' akhirnya aku mampu melafazkannya kemudian cuba bangkit dari tempat dudukku. Aku ingin mengambil wudhuk untuk menunaikan solat fardu Asar.

Tiba-tiba tubuhku bagai melayang. Aku hilang keseimbangan lalu terjatuh ke bawah.

"Allah!" Aku menjerit, merintih kesakitan. Aku jatuh meniarap di atas lantai. Kak Long barangkali mendengar bunyi bising dari arah bilikku, segera berlari mendapatkan aku. 

"Adik! Kenapa nie?" Suaranya cemas bilamana melihat aku jatuh  meniarap di atas lantai. Bersusah payah dia mengangkat aku kembali ke atas katil.

"Maaf Kak Long. Adik dah susahkan Kak Long, adik terlupa kaki adik sudah tiada.." Tidak semena-mena airmata mengalir laju sekali lagi. 'Ya Allah, beratnya dugaan buatku Ya Allah, tabahkanlah hati hamba-Mu ini..' sempat aku memohon pada Ilahi. Kak Long yang cuba membantu aku tidak mampu menahan sebak. Airmatanya mencurah-curah bagai hujan di musim tengkujuh.

"Tak, adik tak susahkan pun," Ujar Kak Long sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. 

"Kak Long sayang adik, Allah lagi sayangkan adik.." Sambung Kak Long lagi dalam linangan airmata.

"Tapi Allah lebih sayangkan Kak Ngah, Dia jemput Kak Ngah pergi dulu. Kenapa Dia tak ambil nyawa adik?" Bagai hilang pertimbangan, suaraku tersekat-sekat.

"Astaghfirullah, adik jangan cakap macam nie. Istighfar dik.." Kak Long memeluk aku kemudian mengusap-usap kepalaku. Bagai tersedar dari mimpi, aku ikut istighfar. Memohon keampunan dari-Nya.

"Adik tahu kan, Ibu, Kak Long, Kak Chik, Kak Uda semua sayang adik. Tambah-tambah lagi Kak Ngah.. Dia yang paling sayang adik. Sejak arwah ayah tiada, dia banyak berkorban untuk adik. Untuk lihat adik berjaya, dia juga mahu adik jadi anak yang solehah, yang dapat pimpin tangan ibu dan ayah ke syurga kelak.. Adik jangan sia-siakan pengorbanan Kak Ngah.. Adik kena kuatkan semangat.. " Pujuk Kak Long lagi. 

"Tapi kenapa selama ini tiada siapapun yang beritahu pada adik? Kenapa selepas Kak Ngah dah tiada, baru adik tahu semua ini? Betapa besar pengorbanan Kak Ngah untuk adik. Sanggup abaikan kepentingan diri sendiri demi adik. Adik rasa bersalah Kak Long.. Adik tak mampu buat apa-apa untuk selamatkan Kak Ngah. Adik tak mampu balas jasa Kak Ngah.." Aku merengek bagai anak kecil. Segala yang terbuku di dalam dada ingin aku luahkan, agar tidak membengkak dan bernanah. Agar tidak membinasakan aku.

"Adik kan sakit... Kak Ngah tak sampai hati tengok adik sakit. Dia lakukan semuanya untuk melindungi adik. Sejak tahu adik sakit jantung, berulang-ulang kali, tak putus-putus dia cakap dengan emak, dengan kami semua agar dia bisa gantikan tempat adik, agar dia bisa menanggung kesakitan adik. Dia juga selalu berpesan supaya dermakan jantungnya kepada adik kalau ditakdirkan Allah ajalnya sudah tiba...." Kini Kak Long pula yang menangis teresak-esak, kami saling berpelukan. Pipi basah dengan airmata.

'Ya Allah, tempatkanlah kakakku bersama mereka yang Kau kasihi Ya Allah..'

Kemalangan yang menimpa kami ketika perjalanan pulang dari Pasar Tani 3 bulan lepas adalah suatu suratan buat aku dan Kak Ngah. Suatu ketentuan yang kami tidak mampu menolaknya. Takdir yang telah tertulis, pada saat itu, hari itu, aku kehilangan kakak yang tersayang dan juga kedua belah kakiku. Takdir yang memisahkan aku dengan insan yang aku kasihi. Takdir yang menentukan kontrak pinjaman kakiku akan berakhir pada hari itu. Semuanya milik Allah, Kak Ngah juga milik Allah.

Biar setinggi mana kasihku padanya tak mungkin mampu menolak ajal. Sudah tertulis dalam takdir hidup Kak Ngah. Itu hari terakhir  dia bernafas di bumi indah ciptaan Ilahi. Itu hari terakhir aku  diberi keizinan untuk berbicara dengannya. Itulah hari terakhir aku menatap wajahnya, senyumannya.

Dan itu jugalah hari pertama, aku hidup dengan menggunakan jantung Kak Ngah. Itu jugalah hari pertama jantungnya berdegup di dalam dadaku. Maha Suci Allah yang menentukan segalanya indah. Biarpun pahit, pasti ada manisnya.. Disebalik kesulitan, pasti ada kesenangan.. Di sebalik duka, pasti ada suka. Di sebalik derita, pasti ada bahagia.

Biarpun dia kini tiada lagi di bumi yang fana ini, namun kenangan bersamanya tetap segar dalam ingatan. Rantaian doa sentiasa ku kirim buat Kak Ngah yang aku kasihi. Dengan bantuan jantung ini juga, akan aku perbanyakkan ibadatku, amalanku, zikirku, doaku, agar sahamnya turut sama dinikmati oleh Kak Ngah di alam sana. Dengan izin Allah, mudah-mudahan.


Hanya seorang Kak Ngah dalam diari hidupku. Dialah satu-satunya. Dialah sang mentari yang begitu tulus mencintai aku sepanjang hayatnya ada. Membakar diri demi menghangatkan seluruh alam, memberi cahaya ke seluruh pelosok dunia. Dialah sang mentari yang tetap setia ingin berbakti walau malam tiba. Biarpun bulan mendapat nama, cahayanya tetap bersinar.
'Terima kasih Allah, untuk segalanya.'

--------------------------------

Tamat.


2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum..cerpen ini btol2 mengusik hati saya..semoga kta sume sentiasa berada di bawah payung rahmatNya. great sharing!

AsNiza said...

waalaikum salam wbt.. terima kasih anony sudi singgah dan baca cerpen saya.. juga tenkiu utk doanya.. saya aminkan ya =)