+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, February 24, 2011

Bukan Seperti PSP

Ketika zaman kanak-kanak saya dahulu kala, tiada Game Boy, tiada PSP, tiada computer, tiada video games. Kalau ada pun waktu itu, orang tersebut tentunya sangat kaya. Video games dan brick games sudah wujud pada ketika itu. 

Memandangkan saya orang susah, dan kawan-kawan saya pun tiada yang punya permainan canggih-manggih itu, maka kami membesar waktu itu dengan cara kami sendiri.


 

Waktu itu, seluruh kampung adalah taman permainan kami. Tidak kira sawah padi, ladang getah, tebing sungai mahupun halaman rumah, di situlah tempat kami bermain. Kami membesar bersama-sama. Ada Ayu, Ila, Ita, Mimi, Siti, Sarah, Hajar, Mirul, Eddy, Yusi, Kimi, Azman, Mael, Pokdik, Hafiz dan ramai lagi.

Mungkin kami tidak sama seperti kanak-kanak zaman ini.

Permainan kami waktu itu antaranya adalah lompat getah, batu seremban, congkak, ibu ayam dan musang, buaya dan sang kancil, polis dan pencuri, bola kaki tiga, lompat teng-teng dan banyak lagi. Uniknya permainan kami waktu itu, hampir kesemuanya dimainkan secara ‘berjemaah’. Lebih dari seorang. Paling tidak, main congkak pun perlukan dua orang pemain.

Banyak yang saya belajar daripada kesemua permainan itu. Antaranya, mahu menang harus bersungguh-sungguh. Harus ada usaha gigih. Harus bijak mengatur strategi. Juga kalau mahu menang, harus ada kerjasama dan kesepakatan antara ahli kumpulan. Tidak boleh bertindak seorang-seorang. Sendiri-sendiri. Nanti cepat kalah.

Kalau kalian tahu permainan ini. Ayam, pagar dan musang.

Cara mainnya mudah. Tapi perlu dimainkan secara berkumpulan. Seorang jadi ayam. Seorang jadi musang. Yang lain-lain jadi pagar untuk melindungi si ayam.

Lumrah musang akan menangkap si ayam. Jadi, si ayam harus tahu menyelamatkan diri, sembunyi dalam pagar. Si musang juga harus bijak mengatur strategi, berlari lebih laju untuk menangkap si ayam, atau berusaha lebih gigih untuk merobohkan pagar untuk menceroboh masuk ke dalamnya lalu menangkap si ayam. 

Dan begitu juga si pagar, juga ada perananannya. Bagaimana si pagar boleh melindungi si ayam? Atau perlukah biarkan saja pagar menjadi roboh agar si musang mudah menangkap si ayam?

 Bismillahirrahmanirrahim..

"Tunjukkan KAMI jalan yang lurus" -  Al-Fatihah : 6

Dan pernahkah kita terfikir. Kenapa 'kami', kenapa bukan 'saya'?

Allah Maha Mengetahui atas segalanya, namun ada baiknya kita sebagai hamba-Nya yang lemah, berusaha untuk memperbaiki diri, mengambil iktibar, ibrah dan hikmah dari segala kejadian dan suruhan serta larangan-Nya.

Terfikirkah kita. Sedar atau tidak, Islam amat menggalakkan kita sebagai ummatnya agar bertindak dan bergerak secara berjemaah dan berkumpulan. 

Agak-agaknya mengapa?

Solat secara berjemaah juga diberikan ganjaran pahala yang jauh lebih besar. 
Bukan calang-calang.



Apakah kita batu-bata itu? Apakah kita saling membantu dan menyokong? Apakah kita bersatu seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh? Atau kita sekadar seketul batu di tepi jalanan? Di sepak orang ke hulu dan ke hilir. Ada atau tiada, tak siapa peduli.

Sedarlah. Kita insan terpilih. Kita dikurniakan nikmat Islam dan Iman, sedangkan masih ramai yang berkelana tercari-cari hala tuju. Kita insan terpilih, kita ummat Muhammad saw. Kita insan terpilih, memikul dan menyampaikan dakwah. Mengajak orang melakukan kebaikan dan mencegah orang melakukan kejahatan, tapi apakah kita mampu melakukannya seorang diri???

Apakah ayam akan selamat tanpa perlindungan dari pagar?

Dan apakah ayam akan selamat kalau pagarnya goyah tidak kukuh?

Kita mahu jadi pagar yang macam mana?

Andaikan, setiap dari kita adalah bata yang membentuk pagar, musang adalah musuh-musuh islam dan 'ayam' itu adalah Islam agama kita, apakah kita sanggup membiarkan 'ayam' itu diterkam, digigit, dipijak dan dimakan 'si musang'?

Kita seorang diri adalah cuma seketul batu, jika dan hanya jika bersatu barulah kita menjadi pagar. Kita tidak boleh berdiam diri, buat tidak tahu atau bersikap tidak endah. Kita juga tidak boleh bertindak seorang diri tanpa berkerjasama dan saling menyokong. Seketul bata tidak mungkin mampu menjadi benteng yang kukuh!

Ayuh! Jangan hanya jadi seketul batu. Bersatulah agar menjadi sebuah pagar. Yang kukuh dan teguh. Yang melindungi dan menyelamatkan. Dengan izin Allah. Kita mampu membela agama kita. Percayalah!

Owh, rupa-rupanya permainan ayam, musang dan pagar ini bukan sekadar satu permainan. Bukan seperti PSP. Syok sendiri-sendiri. Saya juga baru tahu. Tak mengapa, bukankah lambat itu lebih baik daripada tidak pernah?

Hey anda! Ya, anda yang selalu main PSP. Cuba cerita apakah hikmah sebalik permainan itu. Boleh?

Wallahua'alam.


2 comments:

SARS said...

PSP = Kalau main game genre RPG, belajar tentag strategi, belajar English, dan bersabar (nak habiskan game tu punyalah lama)..

Tapi best permainan kampung dulu2.. hahha

AsNiza said...

malu nak mengaku, sebenarnya sy tak penah main PSP.. :p