Mentari mengintai malu, sembunyi di balik bangunan-bangunan tinggi. Belum menunjukkan wajahnya yang bulat. Namun kehangatannya sudah mula terasa. Malam telah berlalu, pagi datang menemani hari, bersama mentari.
Setiap pagi Ahad, perkarangan Stadium Melawati selalunya dibanjiri ramai manusia. Pasar Tani yang juga dikenali 'Pasar Karat' sudah bertahun-tahun bertapak di situ. Ramai orang mengunjunginya, pelbagai ragam dan gelagat. Gera-gerai yang dibuka juga boleh tahan banyaknya. Ada bahagian kering dan ada bahagian basah yakni bahagian yang menjual barang-barang mentah untuk memasak seperti daging, ayam, ikan, sayur dan lain-lain.
Aku dan Kak Ngah tiba di situ kira-kira jam 7.30 pagi. Mengikut perancangan kami, Kak Ngah ingin masak laksa penang hari ini. Sudah lama aku tak merasa laksa penang Kak Ngah. Semangat aku membara, beria-ia mahu menemani Kak Ngah ke pasar pagi itu. Lagi pula, bukan selalu kami mempunyai kesempatan untuk menghabiskan masa berdua sahaja. Setelah hampir setengah jam meninjau dari gerai ke gerai, akhirnya darah mudaku mulai resah apabila tiada satu hasil pun yang telah kami perolehi.