+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, March 26, 2010

Secubit Garam

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulilllah, Selasa lepas saya berkesempatan makan tengah hari bersama-sama rakan-rakan sekerja. Makan di kedai makan yang berhampiran dengan opis, makan masing-masing, bayar sendiri-sendiri. ^_^

Sambil-sambil makan kami bersembang, pelbagai isu antaranya mengenai kewangan, cara menguruskan wang, masalah anak-anak, orang gaji, kenaikan gaji dan sebagainya. Sekali-sekala berbeza pendapat namun itu lumrah yang sudahnya diakhiri dengan gelak tawa. Ketika bersembang, saya tertarik dengan kata-kata Kak Hamidah, perumpamaan yang beliau berikan sangat mencuri perhatian saya.


"Bandingkan secubit garam yang dimasukkan ke dalam cawan dengan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sebatang sungai"

Secubit garam.

Garam seperti yang kita tahu, fitrahnya larut dalam air dan rasanya masin. Jika dibandingkan air garam di dalam cawan dengan air garam di dalam sungai, tentu sekali air di dalam cawan jauh lebih masin sedangkan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sungai, lansung tidak memberi sebarang kesan. Setuju atau tidak?

Logiknya begitulah kerana ketumpatan dan kepekatan garam berkadar lansung dengan jisim garam tersebut dan berkadar songsang dengan isipadu air. Makin banyak air maka makin kurang ketumpatan dan kepekatan garam justeru makin kurang tahap kemasinannya. Sahih!

Garam vs Masalah

Aplikasikan secubit garam dengan kehidupan seharian kita. Andaikan garam itu adalah masalah yang sedang kita hadapi.

Setiap orang pasti mempunyai masalah masing-masing. Besar atau kecil sesuatu masalah itu bergantung kepada bagaimana kita menguruskan dan menyelesaikan masalah tersebut. Bergantung terhadap cara penerimaan kita, bagaimana kita berhadapan dengannya. 


Andaikan. Masalah ibarat secubit garam. Jika kita menganggapnya suatu masalah yang besar, maka besarlah ia, namun sebaliknya sekiranya kita menganggapnya suatu masalah kecil yang ada jalan keluarnya, insyaAllah, dengan izin Allah maka kecil jugalah masalah itu. Ia tetap masih lagi kekal sebagai secubit garam.

Secubit garam yang dimasukkan ke dalam air sungai tidak mampu memberi apa-apa kesan kepada sungai tersebut. Sesuatu masalah sekiranya diterima secara positif, optimis, berlapang dada dan berfikiran luas, insyaAllah tidak mampu memudaratkan tuan empunya diri. Ia sekadar datang dan kemudian berlalu dibawa waktu ibarat arus sungai yang mengalir menghanyutkan secubit garam itu.

Namun sebaliknya, sekiranya masalah yang serupa, sekiranya kita terima dengan dada yang sempit, terima dengan jiwa yang tertekan, hati yang tidak tenang, berfikiran negatif dan pesimis maka tidak mustahil, secubit garam itu mampu membinasakan keseluruhan air di dalam cawan. Masin! 

Benar. Masalah itu mempunyai kemampuan untuk memusnahkan hidup seseorang yang lemah dan tidak mempunyai daya tahan yang kuat untuk melawan segala ujian dan cabaran yang menimpa dalam kehidupannya. Tewaslah dan kecundanglah. Hanya kerana secebis masalah yang mendatang, yang tidak dapat ditangani dengan baik. Pelbagai impak negatif yang menanti di hadapan. Naauzubillah. Moga kita dijauhi.

Syukurlah kita sebagai ummat Islam, yang percaya kepada Allah dan hari kiamat. Percaya kepada Qada' dan Qadar Ilahi. InsyaAllah, walau apa jua ujian dan dugaan yang menimpa, selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, dengan izin Allah, semuanya akan dapat ditangani dengan baik. Sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Tiada penyakit (masalah) yang tiada penawar melainkan tua dan mati. Dan ingat, setiap apa jua yang kita lakukan, tidak kira baik atau buruk, semuanya ada balasan dari Allah. Walaupun sebesar zarah.

Mungkin ditakdirkan di dunia ini bukanlah tempat untuk kita menuai bahagia mengutip senyuman dan gelak tawa, tapi ingat, mati itu pasti, hari akhirat itu benar, syurga itu benar. Apalah sangat sakitnya di dunia ini, hidup cuma sementara namun yang abadi adalah akhirat sana.

Mungkin di dunia ini kita tidak kaya dengan harta atau wang ringgit, tidak punya kereta besar atau rumah besar, tapi ingat, pada pandangan Allah bukan harta kekayaan yang menjadi ukuran. Di sisi Dia, hanya Iman dan Takwa yang membeza-bezakan kita semua. Pilihlah. Mana mahu mu?

Terserah kepada kita untuk memilih, samada mahu memasukkan secubit garam ke dalam cawan atau ke dalam sungai kerana salah satu nikmat Allah yang Allah anugerahkan kepada kita, yang tiada pada makhluk ciptaannya yang lain adalah kita diberi kebebasan untuk memilih. Kanan atau kiri, baik atau buruk, kita berhak memilih tidak seperti pokok yang berterusan menghasilkan oksigen atau sungai yang berterusan mengalir. 

Apa gunanya anugerah yang diberikan andai kita tidak memanfaatkannya sebaik yang mungkin? Fikir-fikirkanlah. Antara syurga dan neraka sesungguhnya perbezaannya benar-benar terang dan jelas.

Ampun maaf saya pinta andai ada salah dan silap. Mohon ingatkan saya andai saya terlupa. Mohon doa daripada semua sahabat agar kita semua capai bahagia, bukan sahaja untuk di dunia, malahan untuk di akhirat sana.

Dengan lafaz mulia, Assalamualaikum wbt.. Saya berhenti dulu di sini.

Wassalam.





No comments: