Segala puji bagi Allah, Tuhan pencipta seluruh Alam. Alhamdulillah. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad Saw, moga kita semua diberkati dan dirahmati Allah.
Allah yang Maha Pengasih, Allah yang Maha Penyayang. Kerana limpah kasih-Nya kepada hamba ciptaan-Nya, maka di dunia ini Dia tidak ciptakan kita keseorangan. Kita punya teman-teman, sahabat dan saudara mara. Kita pelbagai kaum dan bangsa, juga ada jantan betina. Bukan untuk saja-saja, tapi agar kita dapat bergaul, saling mengenal dan saling melengkapi. Allahu Allah. Betapa Engkau Maha Bijaksana.
Betapa Allah dan rasul-Nya mengasihi dan menyayangi kita, kita pula bagaimana?
Kita juga tidak lahir dari sebatang buluh, kita tidak lahir dari seketul batu atau sekuntum bunga. Kita dilahirkan dari perut seorang wanita yang mulia, yang penuh kasih dan sayang. Sembilan bulan kita bersatu dengan jasadnya, tidur dalam keadaan yang paling lena. Bermimpi yang indah-indah. Dia yang paling dekat. Dialah yang sentiasa melindungi kita dengan izin Allah. Bukan sedikit kasihnya untuk kita. Dialah ibu yang melahirkan kita, membesarkan kita dan menyayangi kita sepenuh hatinya. Maha Suci Allah yang Maha Mencipta.
Dalam situasi yang agak sulit kebelakangan ini, sesungguhnya saya benar-benar bersyukur kerana saya dilahirkan dalam Islam. Kerana saya seorang Islam, saya yakin dan percaya, Allah sentiasa ada bersama saya. Saya yakin pada ketentuan Qada' dan Qadar Ilahi. Saya yakin dan percaya segala janji-janji Allah yang tercatit dalam Kitab Suci Al-Quran. Alhamdulillah, saya masih kuat kerana saya rasa saya disayangi Allah.
Tidak lupa juga ibu saya yang sedang meniti usia. Dari dulu hingga kini, sentiasa ada bersama saya. Sentiasa memberi kata-kata dorongan dan semangat untuk saya meneruskan kehidupan. Tidak pernah puas dan jemu untuk terus mendoakan saya dan anak-anaknya yang lain. Tempat saya berkongsi masalah. Yang pernah menangis kerana saya kemudian seikhlas hati memaafkan saya. Terima kasih Allah, terima kasih ibu, kerana sentiasa di sisi dan menyayangi diri ini.
Buat kakak dan adik-adik. Kita membesar sama-sama. Pernah susah bersama-sama. Pernah ketawa dan menangis bersama. Mandi sungai dan tali air, tangkap ikan di sawah. Panjat pokok rambutan dan manggis. Sesat di hutan bersama-sama. Walaupun kenangan zaman kecil kita tidak seindah sahabat-sahabat yang lain, namun itulah yang paling berharga buat diri ini. Mengajar kita erti kehidupan. Bukan semuanya manis. Ada pahit dan masinnya. Terima kasih kerana tidak henti menasihati, dan bimbangkan diri ini. Daku juga menyayangi kalian, di dunia ini kalianlah kakak dan adik-adikku.
Alya dan Ashraf, pengarang jantung, buah hati Mak Ngah. Bagai mimpi, kalian kini membesar di depan mata. Dari sebesar tapak tangan, kini hampir sama tinggi dengan Mak Ngah. Kadang-kadang buat perangai namun selalunya kalian membahagiakan. Walau bertemu setiap minggu tetap saling merindui. Seronok melayan keletah kalian. Dipeluk dan dimanja. Benar-benar diri ini rasa disayangi.
Juga kepada semua sahabat yang sentiasa ada saat susah dan senang. Yang rasa sakit bila diri ini sakit, yang mengerti dan memahami. Yang cuba membantu selagi terdaya. Sahabat yang sentiasa memberi dorongan dan kata-kata semangat. Sudi mendengar dan membaca segala permasalahan diri yang timbul.
Sahabat yang menghiburkan hati ini dan menenangkan jiwa ini. Walaupun ada yang tidak pernah bertemu tapi tetap terasa dekat. Terima kasih duhai sahabat, moga tautan ukhwah yang terbina dirahmati Allah. Terima kasih kerana mengizinkan diri ini merasai indahnya nikmat disayangi saudara seagama. Alhamdulillah.
Sebelum berundur, lagu ini untuk semua yang menyayangi diri ini..
Bila Diri Di Sayangi
Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut nama-Mu
Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan
Kasih merubah takdir
Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap nama-Mu, terasa diriku
Kembali dipandu
Engkau yang pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang-Mu
Ku berserah diri
Wassalam
No comments:
Post a Comment