+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, March 2, 2010

Kepada-Nya Kita Kembali

Bismillahirrahmanirrahim..

Pejam celik, kita sekarang sudah masuk bulan Mac, Alhamdulillah masih lagi diberi keizinan oleh-Nya untuk terus bernafas di muka bumi Allah yang indah ini, Maha Suci Allah.

Tanah yang kita pijak, langit yang kita junjung, air yang kita minum, udara yang kita sedut, makanan yang kita makan, semuanya anugerah dan pinjaman dari-Nya. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan berhak mengambilnya bila-bila masa sahaja, sesuai dengan kekuasaan-Nya.

Baru-baru ini, kita gempar dengan kejadian gempa bumi yang melanda Chile. Sebelum itu, Kepulauan Haiti juga hampir musnah, lumpuh keseluruhannya bila turut dilanda gempa bumi. Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa. Kun Fayakun, sekelip mata saja semuanya dimusnahkan.

Peringatan daripada Allah buat kita semua..

Allah yang menciptakan angin. Dengan kelajuan tertentu, membawa zarah-zarah air, menolak awan dari tempat basah ke tempat yang kering. Di situ, awan tumpahkan airnya. Membasahi bumi yang kontang. Memberi rahmat kepada seluruh hidupan. Namun, seandainya kelajuan angin dilajukan lebih sedikit dari biasa, ia akan menjadi taufan yang boleh menerbangkan bumbung-bumbung rumah, pokok-pokok.

Tidak cukupkah peringatan Allah kepada kita?

Malangnya, ramai manusia yang tidak menyedari kekuasaan Allah, tidak bersyukur, alpa dan leka. Lalu Allah datangkan lagi angin yang lebih laju, maka seluruh bumi akan menjadi musnah, dan bila tiba saat ini, semuanya sudah terlambat, tiada gunanya lagi penyesalan..

Allah telah banyak berbuat baik kepada kita.. Tapi kenapa kita masih tidak mahu bersyukur?

Allah ciptakan segalanya di muka bumi ini untuk kita manfaatkan, tapi kita sering mensia-siakan, malahan makan dan minum segala anugerah Allah dengan angkuh dan bongkak. Kononnya rezeki itu hasil titik peluh kita, kononnya makanan itu hasil kerja kuat kita. Astagfirullahalazim.. Kenapa manusia mudah benar lupa diri?

Kita selalu lupakan Allah bila kita berjaya. Kita bangga dengan harta kekayaan kita, dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, dengan suami/isteri yang kacak/lawa. Bangga dengan rumah yang besar, kereta besar, anak-anak yang comel. Kita bongkak, seronok bila dipuji. Kononnya kitalah yang terbaik. Kita lupa Allah yang Maha Pencipta. Kita lupa di dunia ini kita cuma hamba..

Natijahnya..

Bila semua pinjaman itu diambil semula oleh Allah, kita mula menyalahkan takdir. Mula memusuhi Allah. Hilang arah, hilang pedoman. Kerana kita benar-benar lupa, segalanya cuma pinjaman. Kita lupa pada takdir dan suratan Ilahi, pada qada' dan qadar. Kita lupa, selain kita, ada Dia yang Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Tertarik dengan kisah Ummu Sulaim.. Contoh isteri teladan..

Ditakdirkan Allah, anaknya meninggal dunia ketika suaminya tiada di rumah, dengan tabah dan tenang, beliau menguruskan jenazah anaknya, dimandikan, dikafankan dan diletakkan di tempat tidur seolah-olah dia sedang tidur, tiada apa-apa yang berlaku.

Sebaik sahaja suaminya pulang.. Ummu Sulaim melayani suaminya sebaik mungkin, di jamu makan dan dibiarkan suaminya tenang dahulu. Setelah yakin dengan keadaan suaminya, barulah dia memaklumkan kepada suaminya, bahawa anak mereka telah kembali ke rahmatullah..

Mulanya suaminya sedih dan marah..Namun Ummu Sulaim berkata..

"Adakah wajar kita marah apabila orang yang pinjamkan barang kepada kita mahu mengambil semula barangnya itu?"

Suaminya menjawab, "Tidak wajar".

Lalu Ummu Sulaim berkata.. "Innalillahiwainna ilaihirajiun"

Kemudian suaminya turut melafazkan Innalillahiwainnailaihirajiun.. Redha dengan ketentuan Ilahi.

Begitu mulianya sikap mereka. Tenang dan sabar ketika menghadapi musibah yang mendatang. Redha dengan apa jua takdir Ilahi.

Kita pula bagaimana?

Muhasabah diri, terlalu banyak kelemahan diri ini. Astagfirullahalazim.

No comments: